Sunday 14 July 2019

EKSKLUSIF : KEM PENGAKAP TERBIAR


Keadaan Kem Pengakap negeri di Kampung Pengkalan Badak, Melaka yang terbiar ketika tinjauan NSTP. Ketidakcekapan jawatankuasa sebelum ini dipercayai mengakibatkan Kem Pengakap Melaka gagal diurus dengan sempurna hingga terpaksa ditutup sementara. - NSTP/Khairunisah Lokman

Kem Pengakap Tiku di Tawau daif dan terbiar, selain ditumbuhi semak samun. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
KUALA LUMPUR: Keanggotaan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang berdaftar secara langsung atau menerusi Kementerian Pendidikan mencapai 1.07 juta ahli, terdiri daripada murid sekolah berusia sembilan tahun hingga golongan dewasa.
Namun, jumlah terbabit sekadar angka di atas kertas kerana tidak mampu menyelamatkan kebanyakan kem utama pasukan berkenaan di seluruh negara, yang kini terbiar musnah akibat kegagalan penyelenggaraan.
Tinjauan BH di seluruh negara, mendapati sekurang-kurangnya 12 kem utama PPM yang pernah menjadi tumpuan ahlinya menjalankan aktiviti perkhemahan dan keraian secara berkala, kini terbiar usang hingga ada yang ditenggelami semak samun.
Gambaran keindahan sesetengah kem pengakap seperti dikongsikan dalam sesawang rasmi PPM, hakikatnya sekadar ‘indah khabar daripada rupa’ apabila tinjauan di lokasi, mendapati ia sebenarnya terbiar hingga pasukan itu sendiri tidak lagi menganjurkan program di situ.
Malah, pasukan beruniform lain yang berhasrat menyewa kemudahan tapak perkhemahan PPM terbabit juga, membatalkan hasrat mereka apabila melihat wajah sebenar kem pasukan itu.
Secara umumnya, kebanyakan kem PPM yang ditinjau BH, dilengkapi kemudahan dewan, chalet dan asrama, tapak perkhemahan, tandas serta bilik mandi.
Malangnya, semua kemudahan terbabit kini terbiar reput, selain ada yang sekadar menjadi projek gajah putih yang menunggu masa tersembam menyembah bumi.
Keadaan itu menyebabkan ahli dan pemimpin pengakap kini terpaksa mencari alternatif lain setiap kali mahu mengadakan aktiviti dan kursus, antaranya padang sekolah dan menyewa hotel, sekali gus mengehadkan pendedahan dalam aspek kemahiran, ketahanan diri dan pembangunan modal insan.
Kedaifan kemudahan kem itu juga menyebabkan PPM kehilangan peluang memperoleh pendapatan menerusi sewaan tapak setiap kali kemudahan itu dimanfaatkan pihak lain bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
Tinjauan di Kem Temasya Rimba Templer, Rawang yang menjadi kem rasmi PPM Selangor boleh diibaratkan ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana kemudahannya yang daif serta usang.

Keadaan fasiliti yang daif di Kem Pengakap Temasya Rimba Templer, Selayang. - NSTP/Aizuddin Saad

Pintu masuk ke Kem Pengakap Temasya Rimba Templer di Selayang. - NSTP/Aizuddin Saad
Keadaan kem berusia 32 tahun itu juga sedikit sebanyak mencacatkan imej kawasan persekitaran taman rekreasi dan sekolah antarabangsa terletak berhampiran yang menjadi tumpuan orang ramai.
Kem Pengakap Batu 21, Pagoh yang terletak di tepi laluan Muar-Labis, juga ditumbuhi belukar dengan beberapa binaannya sudah usang. Begitu juga, bangunan pejabat Kem Pengakap Tiku, Sabah juga dilihat sudah uzur dan hanya menunggu masa untuk roboh.

Keadaan kem Pengakap Daerah Muar yang terbiar dan usang ketika tinjauan di Batu 21, Pagoh. - NSTP/Adi Safri
Mengalami keadaan sama ialah kem pengakap di Bukit Putus, Seremban, apabila ia didapati tidak terjaga berikutan kawasan itu dipenuhi semak.
Kem Kijang Kelantan yang dahulunya menjadi pilihan utama sebagai tapak perkhemahan badan beruniform, terutama pengakap juga kini dilihat suram kerana infrastruktur yang lama dan usang.
Mengalami keadaan sama ialah kem pengakap di Bukit Putus, Seremban, apabila ia didapati tidak terjaga berikutan kawasan itu dipenuhi semak.
Kem Kijang Kelantan yang dahulunya menjadi pilihan utama sebagai tapak perkhemahan badan beruniform, terutama pengakap juga kini dilihat suram kerana infrastruktur yang lama dan usang.

Kem Kijang terpaksa menggunakan kayu pokok yang sedia ada di situ bagi menggantikan lantai dan dinding asrama kerana kurang peruntukan dari kerajaan negeri mahupun pusat. - NSTP/Zaman Huri Isa
Di Kem Pengakap Negeri Perlis di Sungai Batu Pahat pula, ia dikatakan tidak dapat diselenggara dengan teratur berikutan kekangan kewangan menyebabkan rumput yang meninggi hingga paras betis, tidak dipotong.

Keadaan tapak perkhemahan Kem Pengakap Perlis di Sungai Batu Pahat yang tidak diselenggara dengan baik. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Sementara itu, Pulau Pinang mempunyai ceritanya tersendiri apabila kem pengakap yang terletak di Kebun Bunga, Georgetown terpaksa dilepaskan pada 2006 berikutan kerajaan negeri mahu melaksanakan pembangunan bagi meluaskan pembinaan Taman Botani untuk riadah awam.

Tinjauan keadaan terkini Wisma Pengakap Negeri Pulau Pinang kelihatan bersih dan cantik di Solok Scotland, Georgetown, Pulau Pinang. - NSTP/Ramdzan Masiam
Mengulas kemusnahan pelbagai kemudahan latihan dan kem pengakap itu, bekas Pesuruhjaya Latihan Negara PPM, Datuk Abdul Shukor Mohsin, mendakwa kerosakan dan kedaifan kebanyakan kem utama pasukan itu di seluruh negara selepas dibina dengan peruntukan jutaan ringgit, berlaku sejak lima tahun lalu, didakwa akibat kepincangan pengurusan tertinggi organisasi itu.
Beliau yang mengakui bertanggungjawab terhadap pembinaan beberapa kem utama pengakap, kecewa melihat keadaan terkini infrastruktur pasukan itu seperti Kem Dr Shafie Salleh di Bagan Lalang, Sepang, milik Ibu Pejabat PPM yang dibangunkan bagi menggantikan Kem Saadon Zubir di Balakong yang dirobohkan bagi pembinaan pusat membeli belah.

Kem pengakap di Pantai Bagan Lalang, Sepang terus terbiar dan tiada lagi aktiviti dijalankan. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
“Dahulu keadaannya teruk sebelum diberi kepada PPM yang mana kita cantikkan sehingga mempunyai lima chalet dan dewan sendiri, tetapi keadaannya sekarang amat mengecewakan dan terbiar begitu sahaja.
“Difahamkan ada pasukan beruniform lain berminat untuk menyewanya, tetapi membatalkan hasrat itu selepas melihat keadaannya, ia merugikan bukan sahaja kepada ahli bagi menjalankan aktiviti tetapi sumber pendapatan pengakap itu sendiri,” katanya yang bersara pada 2014.
Abdul Shukor berkata, kerajaan seharusnya tampil membantu untuk memperbaiki semula kem pengakap yang menjadi instrumen tambahan kepada pembelajaran dalam bilik darjah dan membantu melahirkan pemimpin utama negara dan agensi kerajaan.
“Sayang kalau fungsinya tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ramai pemimpin negara dan pegawai tertinggi kerajaan mendapat pendedahan ketika menjadi ahli pengakap, sekolah pun seperti merajuk dan buat aktiviti di padang sekolah yang membosankan.
“Bagi saya kerajaan harus membantu dan mengumumkan kepemimpinan PPM yang baharu supaya ada perubahan kepada pengakap bagi membolehkannya menjadi badan beruniform disegani seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Ibu Pejabat (PRO) PPM, Mohd Shahril Abdul Rani, berkata kerajaan perlu melantik Ketua Pengakap Negara yang baharu bagi membolehkan badan beruniform itu mampu bergerak lancar termasuk menyelesaikan isu kem pengakap yang daif.
“Sekarang ini tidak jelas kerana hanya ada ‘bekas’ Ketua Pengakap Negara kerana tauliahnya sudah tamat pada 2010, kenapa kem itu ada masalah? Sudah tentu kerana tiada pemimpin untuk menguruskannya.
“Macam mana hendak lantik pemimpin untuk menguruskannya, sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian,” katanya.

Kem perkhemahan pengakap di Bukit Putus, Negeri Sembilan dipenuhi semak dan tidak terjaga. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Tinjauan BH juga mendapati, tidak semua kem berada dalam keadaan teruk. Wisma Pengakap Klang misalnya, bangunannya seperti baru dicat, manakala halamannya bersih, menunjukkan kemudahan itu dijaga dengan baik.
Kem Tengku Muhammad Ismail di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, pula layak diangkat sebagai model kepada kem pengakap lain di seluruh negara. Selain itu, Pusat Kokurikulum Pahang Sultan Ahmad Shah di Kampung Pandan, Kuantan dan Kem Pengakap Perak di Ipoh, masing-masing masih berada dalam keadaan baik.
Usaha BH mendapatkan penjelasan Ketua Pengakap Negara, Tan Sr Dr Shafie Salleh, untuk mengulas isu kemusnahan kem terbabit belum berhasil, sebaliknya diarah membuat permohonan secara rasmi.
Aset generasi muda musnah angkara salah guna kuasa
Keindahannya menjadi kebanggaan hingga dikongsikan dalam sesawang Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), namun hakikatnya Kem Pengakap Dr Shafie Salleh berdekatan Pantai Bagan Lalang, Sepang, bukan sahaja suram, malah terus terbiar hingga kini.
Sebahagian besar strukturnya yang rosak dikenal pasti menjadi punca utama ketiadaan aktiviti di kem berkenaan sehingga memburukkan pemandangan di kawasan pantai peranginan itu.

Keadaan Kem Pengakap yang tidak terurus di Pantai Bagan Lalang. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Tinjauan BH mendapati kemudahan seperti tandas rosak, manakala keadaan pondok pengakap didapati sebahagian struktur berbumbung tercabut serta membahayakan pengguna.
Chalet yang dibina di situ juga kelihatan uzur dengan sebahagian strukturnya ada yang sudah runtuh, pintu tercabut dan bahagian dinding berlubang disebabkan reput dan tidak diselenggara.
Difahamkan, kem yang dibuka sejak 1990 dan dinamakan sempena nama Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Mohd Shafie Mohd Salleh itu menyediakan kemudahan tapak perkhemahan, dewan terbuka kecil, tandas dan chalet untuk sewaan.
Walaupun pernah mendapat jolokan sebagai antara kem terbaik di negara ini, Kem Pengakap Melaka yang terletak di Kampung Pengkalan Badak, Bukit Katil, kini hanya tinggal tapak bangunan usang.
Kem yang dulunya ‘gah’ dengan pelbagai aktiviti serta kemudahan pusat latihan bertaraf antarabangsa, kini sudah menjadi ‘hutan belantara’ dengan struktur bangunan terbiar sepi.
Faktor salah guna kuasa, ketirisan dan penyelewengan didakwa menjadikan ia sebagai ‘korban’ sehinggakan aset berharga generasi muda membina jati diri serta sifat kepemimpinan itu musnah sama sekali gara-gara kerakusan pihak berkepentingan.
Kem yang dibina atas kawasan seluas 6.4 hektar pada 1994 dengan pelbagai kemudahan latihan, dewan utama, pondok aktiviti, dewan makan, asrama dan tapak perkhemahan itu kini ibarat sebuah penempatan tinggal.
Tinjauan BH menyaksikan sendiri betapa tapak kem yang suatu ketika dahulu mampu memuatkan hingga lebih 5,000 peserta itu kini sudah terbiar, dengan banyak kerosakan pada struktur bangunan, bumbung serta kemudahan prasarana yang tidak boleh digunakan.
Nasib sama menimpa Kem Pengakap Sarawak di Matang yang terletak kira-kira 22 kilometer dari bandar raya Kuching, meskipun dinaik taraf dengan kos RM3 juta bagi menyambut 6,000 pengakap dari seluruh Asia Tenggara pada tahun 2000, kini tenggelam dalam semak samun.

Kem pengakap Sarawak di kaki Gunung Serapi, Matang, Kuching juga terbiar tanpa penjagaan sempurna. - NSTP/Mohd Roji Kawi
Ketika itu, sebuah bangunan utama berbentuk Baruk (rumah tradisional masyarakat Bidayuh), sebuah rumah panjang masyarakat Iban sepanjang 20 pintu serta kemudahan lain, termasuk menara di bina di situ.
Ketika jambori berlangsung, kem itu disifatkan antara yang tercantik di negara ini kerana lokasinya terletak di kaki gunung yang indah, berdekatan air terjun serta tidak jauh dari pantai. Malah pada 1989, keindahan kawasan terbabit pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Hollywood Farewell to the King.
Namun, kawasan kem seluas 4.8 hektar di kaki Gunung Serapi dalam kawasan Taman Negara Kubah itu terbiar hingga kini dengan sebahagian besar strukturnya musnah.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment