KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) --
Penggabungan Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sarawak akan mengambil kira
pandangan ibu bapa, murid dan komuniti setempat sebelum ia dilaksanakan, kata
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Beliau berkata kementerian melalui Jabatan
Pendidikan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri sedang dalam proses
melaksanakan libat urus bersama ibu bapa dan komuniti setempat bagi mendapatkan
persetujuan berhubung perkara itu.
“Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya
membuat keputusan untuk menggabungkan SKM tanpa persetujuan ibu bapa, murid dan
komuniti setempat kerana bagi kita akses kepada pendidikan itu adalah paling
penting,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan
Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berkaitan jumlah sekolah menengah dan
rendah yang bakal dicantum di Sarawak dan adakah perbincangan dibuat dengan
masyarakat setempat berhubung perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Teo berkata sehingga kini
kementerian tiada cadangan untuk menggabungkan sekolah menengah yang berstatus
kurang murid manakala bagi sekolah rendah, pihaknya tidak menetapkan bilangan
sebenar sekolah rendah yang perlu digabungkan kerana pertimbangan ditangani
secara kes demi kes.
Katanya, ia tertakluk kepada kriteria
seperti enrolmen yang sangat rendah dan tidak optimum dari segi pengurusan
sekolah, keadaan fizikal atau persekitaran sekolah yang tidak selamat atau
kondusif selain terdapat sekolah yang sama aliran dalam jarak yang boleh
diakses.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment