Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah tersebut sebagai persediaan pihak sekolah mengambil tindakan segera sekiranya kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang berulang pada masa hadapan.
“Kementerian Pendidikan perlu mengambil pengajaran daripada kes pencemaran udara yang berulang di Pasir Gudang dengan mewujudkan SOP khas pencemaran udara bagi membolehkan sekolah dan guru tahu apa yang perlu dilakukan.
“Kementerian Pendidikan juga disarankan berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mewujudkan SOP berkaitan yang boleh diaplikasikan di sekolah jika berlaku lagi pencemaran udara di masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutupan Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini hari ini.
Lam Thye berkata, pihaknya menerima maklumat ada sebilangan ibu bapa di Pasir Gudang yang khuatir untuk menghantar anak mereka ke sekolah ekoran kejadian pencemaran udara berulang yang menyebabkan ramai pelajar alami trauma.
Pada 20 Jun lalu, ratusan murid dan pelajar di beberapa buah sekolah di kawasan Pasir Gudang mengalami simptom sesak nafas, muntah dan pitam akibat pencemaran udara bagi kali kedua.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE