Tuesday, 16 July 2019

KERAJAAN KAJI PERKENAL SEMULA PPSMI


Dr Mahathir menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menggunakan sistem baharu.
Perdana Menteri berkata, menerusi sistem dengan penggunaan teknologi maklumat (IT) itu, pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah.
Dengan penggunaan IT, katanya, kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.
“Kementerian Pendidikan turut mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris kerana bahasa antarabangsa itu diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian.
“Malah, penguasaan bahasa Inggeris turut diambil kira dalam peluang bekerja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung PPSMI, sama ada akan diteruskan semula dalam bentuk sama atau dengan pembaharuan.
Berbeza subjek seperti Geografi dan Sejarah, Dr Mahathir berkata, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasa dibuat dalam bukan bahasa Melayu.
“Untuk menguasai ilmu baharu, bahasa Inggeris menjadi penting manakala terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dalam bahasa Sains Melayu dan Inggeris serta memahami ilmu baharu yang ingin dialih bahasa.
“Sebaliknya, jika seseorang fasih dalam bahasa Sains Inggeris, ia dapat akses secara langsung kepada ilmu yang baharu,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Fahmi sama ada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) memberi pandangan berhubung PPSMI, Perdana Menteri berkata, majlis itu ada menyatakan pendapat.
Dr Mahathir berkata, penyelidikan dan kajian MPPK mendapati ramai mahukan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, namun ada juga pihak berkeras mahu ia dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
“Sains dan Matematik bukan ilmu yang diteroka dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa lain.
“Kalau kita tidak faham, maka sukar untuk kita terjemah ke bahasa Melayu. Oleh itu, peneroka ilmu baharu perlu ada akses secara langsung dalam bahasa berkenaan.
“Zaman dulu, bahasa ilmu adalah Greek dan orang Arab turut membaca dalam bahasa Greek dan bahasa lain.
“Mereka (orang Arab) menguasai ilmu ini sehingga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.
“Apabila orang Arab menolak Sains dan Matematik, orang Eropah memperkenalkan ilmu baharu dalam bahasa mereka sehingga menjadi ilmu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, rakyat tidak boleh menunggu orang lain menterjemahkan ilmu Sains dan Matematik ini ke dalam bahasa Melayu semata-mata kerana kedua-keduanya pantas berkembang seperti pengenalan IT dan ilmu kecerdasan buatan (AI).
Justeru, Dr Mahathir berkata, bahasa Inggeris perlu dipelajari dan dikuasai secara mendalam.
“Jika tidak, sukar untuk kita mendapatkan terjemahan ilmu ke dalam bahasa kita. Perasaan kebangsaan mungkin mendorong kita mengekalkan bahasa sendiri, namun ini menyebabkan bangsa kita tidak berkembang maju,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment