Tuesday, 2 July 2019

PROGRAM SEKOLAH AMANAH BERI SINARAN DALAM PENDIDIKAN NEGAREA


KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Program Sekolah Amanah (TSP 1.0) telah memberi manfaat kepada 65,000 pelajar sejak mula dilancarkan pada 2011, dengan 91 peratus sekolah rendah dan 88 peratus sekolah menengah menyaksikan pengalaman pembelajaran yang lebih baik.

Melalui program ini, terdapat peningkatan keyakinan, komunikasi, kreativiti, pemikiran kritikal dan kewujudan bersama di kalangan pelajar yang terlibat bersama dalam program ini, kata Pengarah Urusan LeapEd Services Sdn. Bhd, Zulhaimi Othman.

Di bawah program ini, sekolah awam dikendalikan bersama oleh lembaga pengelola sekolah dan rakan sektor swasta yang berkelayakan bersama LeapEd Services, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, yang bertanggungjawab membangunkan TSP1.0.

"Selama sembilan tahun yang lalu, kami telah bekerjasama dengan rakan strategik kami seperti Kementerian Pendidikan dan Yayasan AMIR untuk membangun dan melaksanakan program ini di semua sekolah di Malaysia, melengkapkan pelajar dengan kemahiran hidup kritis serta mentransformasikan sekolah secara holistik dengan menyesuaikan amalan terbaik antarabangsa, " katanya pada sesi dialog dengan media di sini hari ini.

Zulhaimi berkata program itu telah dilaksanakan di 83 sekolah di seluruh Malaysia.

Selain itu, kemahiran belajar melalui program ini juga membantu mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar kerana guru menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menangani masalah tersebut.

Ketua Pembangunan dan Latihan LeapEd Antoinette Zammit berkata pelajar terlibat dalam masalah disiplin kerana mereka tidak terlibat dalam kelas dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan guru mereka.

"Selain itu, apabila guru berjaya dalam berkomunikasi dengan pelajar mereka, mereka akan melihat pendekatan yang berbeza untuk menangani pelajar-pelajar ini," katanya.

Susulan kejayaan secara keseluruhan, TSP 2.0 akan dilancarkan tahun ini di sekolah awam terpilih untuk mengekalkan dan nemastikan program ini kekal transformatif dan berskala.

Model ini juga akan menekankan kepada kumpulan-kumpulan khusus seperti masyarakat orang asli dan kumpulan minoriti, pelajar yang mempunyai keperluan khas serta sekolah luar bandar.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment