Saturday 20 July 2019

ISU KEM PENGAKAP TERBIAR : MASZLEE MAHU JUMPA, BINCANG DENGAN PPM


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) melihat pelajar mengawal permainan robot ketika hadir Majlis Perasmian Penutup I-Challenge Sekolah Tun Fatimah di Dewan Bestari STF, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan mahu bertemu kepemimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu beberapa kem pengakap terbiar di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama PPM bagi melihat permasalahan isu berkenaan secara menyeluruh.
“Kita (kementerian) akan berbincang dengan Persekutuan Pengakap (mengenai isu kem terbiar),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan dan Pertandingan Akhir Tun Fatimah i-Challenge di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Maszlee enggan mengulas secara terperinci butiran perbincangan yang akan diadakan bersama PPM itu.
BH Ahad sebelum ini mendedahkan sekurang-kurangnya 12 kem utama pengakap di seluruh negara, yang pernah menjadi tumpuan ahlinya menjalankan aktiviti perkhemahan dan keraian secara berkala kini terbiar usang dan dipenuhi semak-samun.
Gambaran keindahan sesetengah kem pengakap seperti dikongsikan dalam laman web rasmi PPM pada hakikatnya sekadar ‘indah khabar daripada rupa’ apabila tinjauan di lokasi mendapati ia sebenarnya terbiar hingga pasukan itu sendiri tidak lagi menganjurkan program di situ.
Malah, pasukan beruniform lain yang berhasrat menyewa kemudahan tapak perkhemahan PPM terbabit juga, membatalkan hasrat mereka apabila melihat wajah sebenar kem pasukan itu.
Secara umumnya, kebanyakan kem yang dilawati didapati dilengkapi kemudahan dewan, chalet dan asrama, tapak perkhemahan, tandas serta bilik mandi, namun cukup menyedihkan apabila ia terbiar reput, selain ada yang sekadar menjadi projek gajah putih yang menunggu masa tersembam menyembah bumi.
Keadaan itu menyebabkan ahli dan pemimpin pengakap kini terpaksa mencari alternatif lain setiap kali mahu mengadakan aktiviti dan kursus, antaranya padang sekolah dan menyewa hotel, sekali gus mengehadkan pendedahan dalam aspek kemahiran, ketahanan diri dan pembangunan modal insan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment