Friday, 12 July 2019

KEHADIRAN MURID ORANG ASLI KE SEKOLAH MENINGKAT


Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SEPANG: Kementerian Pendidikan yakin mencapai sasaran 90 peratus kehadiran murid Orang Asli ke sekolah menjelang akhir tahun ini seperti ditetapkan dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian itu.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata sehingga Jun lalu, pencapaian purata peratusan kehadiran murid Orang Asli ke sekolah ialah 89.48 peratus.
Katanya, peratusan itu secara tidak langsung menunjukkan peningkatan 3.23 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2016 sekitar 86.25 peratus.
“Masih ada sedikit jurang dari sasaran ditetapkan oleh kementerian, diharapkan dengan beberapa program yang dilakukan oleh pihak sekolah kehadiran murid Orang Asli dapat ditingkatkan.
“Antara program itu ialah Ziarah Cakna di mana ia menggalakkan guru membuat lawatan ke rumah murid bagi mengetahui punca mereka tidak ke sekolah.
“Melalui ziarah itu, guru dapat memberi kefahaman kepada ibu bapa mengenai pentingnya pendidikan kepada anak mereka,” katanya kepada media selepas lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bakong, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, SK Bukit Bakong turut menerima sumbangan buku dari Pelangi Sdn Bhd sempena sambutan ke-40 tahun penubuhan syarikat penerbitan buku itu.
Nie Ching turut menyerahkan sumbangan peribadi seperti buku rujukan kepada 23 murid Tahun Enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini.
“Dengan adanya sumbangan ini, saya harap ia dapat membantu murid untuk persediaan menghadapi UPSR serta memberi semangat kepada mereka untuk belajar,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment