Sunday 21 July 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN, KPDNHEP KERJASAMA BANTERAS VAPE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memandang serius isu jualan bahan terlarang seperti rokok elektronik dan vape kepada pelajar.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras penjualan barang berkenaan kepada pelajar sekolah.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata, berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima, bahan seperti rokok elektronik dan vape dijual di luar kawasan sekolah.
“Bagi memastikan perbuatan itu tidak terus berleluasa, kementerian akan berkerjasama erat dengan KPDNHEP untuk membendung jualan bahan berkenaan, terutama kepada murid sekolah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan turut mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan mengenai larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan itu daripada aspek kesihatan.
“Selain itu, ibu bapa diingatkan supaya memantau kegiatan anak-anak mereka yang menjurus ke arah kegiatan berkenaan,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.
Isu itu mendapat reaksi banyak pihak, termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang mahu tindakan proaktif diambil segera untuk menangani isu berkenaan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment