Imej hiasan
ZAMAN dahulu, ada orang ‘tua-tua’, terutama di kampung menyebut ‘tetuang udara’ untuk radio, ‘sekolah gambar’ (muzium), ‘rumah pasung’ (balai polis), ‘rumah sakit’ (hospital) dan ‘kutubkhanah’ (perpustakaan).
Itu belum lagi membabitkan istilah harian masyarakat ketika itu yang sesetengahnya menyebut pasar sebagai ‘merket’ (market), seluar panjang untuk pantaloon, komisen bagi ‘kamsen’ dan askar sebagai ‘soja’ (soldier).
Bahasa Inggeris juga mengalami perubahan istilah, contohnya omnibus kepada bus (bas) dan pantaloon kepada pant. Ini menunjukkan istilah bahasa melalui evolusi mengikut zaman dan tuntutan masyarakat.
Perubahan semakin ketara dalam era teknologi maklumat (IT). Keperluan maklumat terkini, be-rita semasa, pencarian ilmu dan tular sensasi kini sekadar berlegar di hujung jari. Ketepatan fakta atau maklumat semasa pula kena seiring kecepatan masa.
Masyarakat dunia tanpa sempadan sekarang memburu maklumat, bukan menunggu bahan disajikan. Gajet dan internet menjadi rujukan kemestian, selain pelbagai istilah baharu dicipta dan dipopularkan warganet.
Berbalik masalah istilah, termasuk digunakan media massa berbahasa Melayu, terutama televisyen, akhbar, majalah dan buku, sememangnya istilah baku dan rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi panduan kerana laporan atau maklumat itu dijadikan dokumentasi untuk rujukan pelajar dan tujuan penyelidikan.
Dalam hal ini, BH yang mula diterbitkan pada 1 Julai 1957, sebagai perakam sejarah tanah air menjadi antara contoh fungsi bahasa dan penggunanya bagi memanfaatkan satu sama lain. Misalnya, istilah dan lenggok bahasa Melayu digunakan akhbar ini mengalami banyak perubahan sepanjang 62 tahun, terutama pendokumentasian pelbagai peristiwa penting.
Seiring peredaran masa dengan kehadiran media sosial dan kebanjiran maklumat dalam talian yang memerlukan kecepatan masa, kerap keperluan terminologi atau terjemahan tepat semakin penting untuk pelaporan peristiwa semasa. Kebanyakan yang terbabit dalam dunia berkaitan bahasa dan komunikasi massa berbahasa Melayu, sebenarnya tersepit antara ketepatan fakta dan kecepatan masa, selain berdepan isu bahasa standard DBP atau istilah popular warganet.
Terminologi atau peristilahan menjadi tonggak pembinaan bahasa, termasuk bahasa Melayu. Ini penting dalam usaha kita meningkatkan taraf dan memantapkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu pengetahuan sesuai statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan tonggak perpaduan, selain lingua franca serantau.
Penggubalan istilah secara terancang dibuat DBP sejak 1956 lagi. Bahasa penting sebagai pengisi kemerdekaan, termasuk dalam bidang pentadbiran awam, perkhidmatan, perniagaan, komunikasi, sosioekonomi dan pendidikan. Sehingga kini, DBP menghasilkan lebih sejuta istilah dalam pelbagai cabang ilmu, tetapi masih wujud ketidakselarasan istilah, terutama bersumber bahasa Inggeris.
Misalnya, baru-baru ini rakan wartawan, Zubir Mohd Yunus keliru dengan istilah sesuai untuk ‘jet ski’, sama ada kekal guna ‘jet ski’ seperti jargon popular atau istilah disyor DBP. Dia lebih selesa menggunakan istilah ‘jet ski’ tetapi dicadangkan menukarnya kepada ‘ski jet’ atau ‘luncur jet’, takrifan paling hampir diberikan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP yang menjadi rujukan sebagai kamus dalam talian.
Ketika mencari pengesahan istilah ‘jet ski’ atau ‘ski jet’, PRPM memaparkan ‘Carian kata tiada di dalam kamus terkini’. Sepatutnya, petugas PRPM kena lebih peka dan proaktif dengan menyelongkar istilah jargon popular dan slanga media sosial untuk mencari istilah lebih tepat sebelum timbul masalah pencariannya kelak.
Begitu juga ramai masih keliru dengan istilah ‘baharu’/ ‘baru’, ‘dulu’/‘dahulu’, ‘tapi’/‘tetapi’ serta ‘satu/suatu’. Memang setiap istilah atau perkataan mesti berlandaskan kewajaran linguistik untuk mengelak bahasa itu terlalu kaku atau longgar. Untuk jangka panjang wajar diseragamkan istilah, misalnya ‘baharu’/‘baru’ bagi memperkatakan sesuatu benda baharu atau keadaan masa. Banyak contoh istilah sama, tetapi mempunyai makna berlainan seperti ‘siang’ dan ‘pukul’.
Tesaurus bahasa Melayu juga perlu diperkayakan dengan pelbagai istilah popular. Misalnya istilah ‘tular’ dan ‘viral’ boleh digunakan seiringan kerana khalayak penutur dan pembaca yang menentukan hidup atau matinya sesuatu bahasa. Lantaran itu, terminologi tidak boleh kaku serta dipastikan terus dinamik agar bahasa sebagai nadi komunikasi berkembang subur. Jika tidak sesuatu istilah semakin dilupakan penuturnya, sama seperti nasib ‘rumah pasung’, ‘rumah sakit’, ‘sekolah gambar’ dan ‘kutubkhanah’ yang lama ‘pupus’ ditelan zaman.
Bagi memastikan bahasa Melayu terus praktikal dan dinamik, agensi berkaitan perlu tegas menguatkuasakan undang-undang, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama DBP bagi menobatkan kedaulatan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan dan penggunaan istilah sesuai pula perlu dimanfaatkan untuk kepentingan pasaran dan penggunanya, termasuk dalam nilai estetika dalam lagu, filem, novel serta karya seni lain.
Bak bait lagu nyanyian Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee....‘Tiada kata secantik bahasa, untuk kupuji adinda’ dalam filem Anakku Sazali, bahasa kita sememangnya indah dan mengindahkan lagi nilai kehidupan.
Bahasa juga persis aliran tenang air sungai, sesekali deras dan menukar aliran di celahan bongkah batu, sebelum menuju laut. Proses sama berulang berganti masa. Ini membuktikan bahasa menuntut pengubahsuaian ikut peredaran zaman dan keadaan. Umpama analogi pokok yang membesar dan merimbun bagi meneduhkan insan dan hidupan lain, ia mencambahkan benih untuk membiak dan menghijaukan semesta alam. Bahasa sebagai jiwa bangsa, biarlah ‘biasa-biasa’ tetapi tetap berbisa dan berjasa untuk penutur dan khalayaknya sepanjang zaman.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment