MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik malancarkan Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 di Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Lima bidang utama termasuk akses kepada pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencatatkan peningkatan memberangsangkan selepas enam tahun dilaksanakan.
Empat aspek lain ialah meningkatkan kualiti dalam pendidikan, ekuiti dalam pendidikan, membangunkan nilai dan sahsiah murid dan memperkukuhkan perpaduan melalui pendidikan serta meningkatkan kecekapan dalam pendidikan.
Berdasarkan Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di sini, hari ini, kadar enrolmen bagi peringkat prasekolah menunjukkan peningkatan kepada 85.4 peratus pada tahun lalu berbanding 84.7 peratus pada 2017.
Peratusan keciciran murid dan pelajar pula menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 0.15 peratus tahun lalu bagi peringkat sekolah rendah berbanding 0.28 peratus pada 2017, manakala 1.21 peratus bagi peringkat menengah pada tahun lalu berbanding 1.36 peratus pada 2017.
Bagi aspek meningkatkan kualiti dalam pendidikan, kadar literasi dan numerasi menerusi Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS 2.0) mencatatkan peningkatan membanggakan.
Literasi Bahasa Melayu meningkat kepada 97.9 peratus pada tahun lalu berbanding 90.87 peratus pada 2017, Bahasa Inggeris (2018: 95.8 peratus, 2017: 86.11 peratus) manakala kadar numerasi merekodkan 98.5 peratus pada tahun lalu berbanding 93.72 peratus pada 2017.
Dalam memartabatkan bahasa Melayu, seramai 2,208 guru bahasa Melayu menerima latihan meningkatkan kemahiran pedagogi dan pembinaan ala ‘Programme for International Students’ Assessment (PISA)’.
Malah, sebanyak 189 sekolah mencapai tahap cemerlang pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pada tahun lalu berbanding hanya 13 sekolah pada 2017.
Usaha mentransformasi pendidikan Orang Asli dan Pribumi turut mencatatkan keputusan yang baik apabila kadar transisi murid Orang Asli di peringkat rendah ke menengah menunjukkan peningkatan sebanyak 76.7 peratus pada tahun lalu berbanding 73.1 peratus pada 2017.
Sementara itu, sebanyak 394 sekolah daif dinaik taraf dalam meningkatkan kecekapan pembelajaran dan pengajaran selain 1,216 makmal sains turut dinaik taraf di 560 sekolah di seluruh negara.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment