SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Guru pelatih
perlu dilatih supaya mereka mudah beradaptasi dengan perubahan sekeliling dari
segi teknologi dan memahami bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun
berkata pemahaman yang mendalam membolehkan mereka untuk mengajar dan menyampaikan maklumat kepada audien sasar
mereka disekolah dengan lebih tepat dan berkeyakinan tinggi.
"Generasi yang bakal dilahirkan dari
institusi pendidikan akan berdepan dengan situasi yang mencabar dalam pelbagai
bidang kerjaya yang menunggu mereka di dunia luar.
"Sudah pastilah, apa-apa sahaja bentuk
ilmu, sama ada yang berbentuk akademik, nilai-nilai insaniah, ilmu teknologi, inovasi atau apa sahaja yang
dipelajari akan membantu mereka ketika memasuki gerbang kerjaya," katanya
pada majlis perasmian Karnival Pendidikan Kerjaya dan Inovasi Revolusi Industri
4.0 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa
Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan
negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Pengarah IPG Kampus Raja Melewar Dr Nizam
Abd Latib.
Katanya persiapan menghadapi dunia nyata
yang penuh dengan cabaran dapat memastikan bahawa mereka tidak akan ketinggalan
atau mengalami siri tekanan dalam persaingan di peringkat lokal mahu pun
global.
Katanya kemahiran sebeginilah yang perlu
dikuasai dengan bersungguh-sungguh oleh para guru pelatih dari institusi
pendidikan guru.
"Saya yakin para pendidik khususnya
para pensyarah institut pendidikan guru sentiasa dekat dengan perubahan yang
berlaku," katanya.
Aminuddin berkata dalam mendepani dan
merealisasikan kehendak Revolusi Industri 4.0, dunia pendidikan sebagai
satu tapak utama kepada sebarang
perubahan perlu bersedia untuk mengubah proses pengajaran dan pembelajaran bagi
melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak industri pada masa
hadapan.
Namun, katanya pengajaran dan pembelajaran
ini tidak semestinya bergantung secara mutlak terhadap guna pakai teknologi semata-mata, bahkan juga lebih
berfokus kepada kreativiti dan inovasi dalam penyampaian maklumat oleh para
pensyarah dan guru.
Karnival dua hari itu merupakan kolaboratif
antara IPG Kampus Raja Melewar dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan
serta badan berkanun berkepentingan pendidikan seperti Lembaga Muzium Negeri
Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan serta juga pihak
swasta dan lain-lain.
Kerjasama ini sangat diperlukan demi
memastikan kelangsungan hayat pendidikan dalam mendepani kehendak semasa
khususnya yang berteraskan kepada inovasi dan penyelidikan.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment