Monday, 29 July 2019

STRUKTUR BAHARU SEKTOR PENDIDIKAN SECARA BERPERINGKAT MULAI 1 JUN


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan struktur baharu organisasi sektor pendidikan secara berperingkat berkuat kuasa 1 Jun lalu, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.
Katanya, penstrukturan itu akan membabitkan penempatan semula sebahagian pegawai yang akan dilaksanakan secara ‘soft landing’ mengikut fasa sehingga Mei 2020 berdasarkan kepada kekosongan dan kesesuaian penempatan.
“Kementerian ingin memberi jaminan bahawa penstrukturan semula ini tidak akan mengakibatkan mana-mana pegawai kehilangan kerja, penurunan pangkat atau penurunan gred jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amin berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan kepimpinan melalui peningkatan gred perjawatan di pelbagai peringkat di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta mempercepatkan proses pembuatan keputusan serta komunikasi melalui struktur rata.
“Perubahan penempatan pegawai masih dalam persekitaran organisasi pendidikan dengan melaksanakan peranan dan fungsi pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan memberi pertimbangan khas untuk pegawai yang akan bersara sebelum atau sehingga 31 Mei 2020 untuk kekal di penempatan semasa sehingga ke tarikh persaraan.
Katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan penempatan khas bagi pegawai yang layak dipertimbangkan kenaikan pangkat secara ‘time-based’ (khas untuk penyandang) sehingga 31 Mei 2020 mengisi jawatan gred lebih tinggi tertakluk kepada kekosongan jawatan.
“Selain meningkatkan kecekapan pengurusan pendidikan, pelaksanaan struktur baharu itu juga selaras dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan kualiti sekolah,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan struktur baharu ini berjalan lancar, beliau berkata kementerian sudah mengadakan mesyuarat dan sesi taklimat bersama-sama JPN dan PPD serta pihak kesatuan perguruan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment