Tuesday 2 July 2019

TANAM CENDAWAN CARI DANA SEKOLAH


AJK Guru dan AJK Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong menunjukkan hasil Cendawan Tiram Kelabu yang telah dituai di Bangsal Cendawan yang dibina dari kantin sekolah lama yang telah diubahsuai sejak lebih setahun lalu.
BACHOK: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong mengambil inisiatif mengusahakan projek tanaman cendawan bagi menampung perbelanjaan aktiviti dan prasarana sekolah sejak lebih setahun lalu.
Yang Dipertua PIBG, Azman Ag Noh, berkata projek itu adalah cetusan idea guru besar terdahulu, Fadhil Hasan dan Naib Yang Dipertua PIBG, Haslina Ya yang mahu membantu mencari sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti di sekolah.
“Melalui perbincangan yang diadakan dalam mesyuarat PIBG pada Mei tahun lalu, kami mencapai kata sepakat untuk memulakan projek ini. Sebagai permulaan Naib Yang Dipertua PIBG menyumbangkan 5,000 bongkah cendawan diletakkan di dalam bangsal kawasan sekolah seluas 74 meter persegi.

AJK Guru dan AJK Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Bakong bekerjasama membungkus Cendawan Tiram Kelabu yang telah dituai di Bangsal Cendawan sekolah tersebut sebelum dijual di pasar berdekatan

MEMERIKSA Cendawan Tiram Kelabu yang diusahakan dalam Bangsal Cendawan yang dibina dari kantin sekolah lama yang telah diubahsuai sejak lebih setahun lalu.
“Semua bongkah cendawan itu diletakkan di kantin lama sekolah yang diubah suai menjadi bangsal bagi mengusahakan tanam itu. Benih cendawan diambil dari Thailand dan Indonesia,” katanya ketika ditemui di bangsal tanaman cendawan di SK Bakong, di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi memastikan cendawan berada dalam keadaan baik dan tidak rosak, beliau sentiasa memantau suhu dan kelembapan di dalam bangsal sekurang-kurangnya dua kali sehari.
“Kita turut mendapat kerjasama daripada ibu bapa pelajar yang sama-sama menjaga tanaman ini termasuk mengutip hasil, menyiram dan membersihkan kawasan tanaman,” katanya.
Azman berkata, cendawan tiram kelabu dijual secara purata 15 kilogram (kg) sehari kepada pemborong di Pasar Jelawat dengan harga RM10 untuk satu kilogram.
“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih setahun mengusahakan projek ini, pihak sekolah mampu menjana keuntungan bersih sehingga RM15,000,” katanya.
Katanya, bagi menampung permintaan, kini pihaknya menanam 10,000 bongkah cendawan tiram kelabu dan bercadang untuk menambah 1,000 lagi bongkah benih cendawan dalam masa terdekat.
“Pada awal tahun ini kami juga menanam 500 bongkah cendawan kukur di bawah pentadbiran guru besar baharu, Amran Zakaria.
“Cendawan kukur dijual dengan harga RM40 sekilogram dan dalam tempoh itu kami memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM1,800,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment