Penulis berkesempatan mengunjungi seorang rakan lama, baru-baru ini dan kami berbual santai di bangku luar rumah. Tidak berapa jauh, sekumpulan budak dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun sedang ligat bermain.
Perasaan kami agak terganggu, bukan kerana keriuhan remaja terbabit menunjukkan kehebatan beraksi dengan basikal masing-masing, tetapi kekasaran bahasa mereka yang baru umur setahun jagung itu.
Sambil bergelak tawa, mereka tidak lekang memanggil ‘bodoh’ dan melemparkan perkataan carut antara satu sama lain, seolah-olah penggunaan bahasa kesat walaupun dalam khalayak terbuka, bukan lagi hal luar biasa atau memalukan.
Pada usia mentah, remaja berkenaan mungkin berilusi bahawa keberanian untuk celupar adalah lebih bergaya, menampakkan keyakinan diri dan simbol kemesraan sesama mereka, manakala amalan tutur kata sopan hanya bagi golongan ‘nerd’ serta membosankan.
Lebih menghairankan, beberapa ibu bapa yang turut bersantai-santai di situ, kelihatan seperti tidak terkesan dengan budi bahasa miskin ditonjolkan walaupun anak dipanggil ‘bodoh’ dan dicarut berkali-kali oleh kawan tanpa segan di hadapan orang tua sendiri.
Tidak dapat dipastikan sama ada ibu bapa berkenaan memang ‘merestui’ dan hanya memandang remeh perilaku tanpa adab itu sekadar trend biasa dalam pergaulan budak sekarang, justeru tiada apa yang perlu dicemaskan.
Namun, juga tidak mustahil jika mereka sebenarnya takut untuk menegur kerana bukan sedikit anak remaja sekarang yang agak terlambat dilentur sehingga biasa bersikap kurang ajar terhadap ibu bapa dan orang lebih berusia.
Pada masa sama, tidak dinafikan semakin ramai ibu bapa kini yang ‘terlebih sporting’ melayan anak sekalipun membabitkan perkara jelas salah. Mereka lebih mementingkan perasaan dan kehendak anak, selain tidak mahu dilabel sebagai orang tua kolot kerana tidak seiring dengan aliran sosial generasi muda.
Malangnya, mereka juga akan melenting dan tidak dapat menerima apabila ada orang luar cuba tolong mendidik atau ‘ajarkan’ anak mereka, malah sebaliknya menyalahkan tindakan yang diambil.
Apabila anak terus dibiarkan bebas berperilaku biadab dalam keluarga dan pergaulan harian dengan rakan, antara yang paling menerima tempias kesannya ialah guru mereka di sekolah.
Guru bukan saja memikul beban tugas penyampaian ilmu semakin mencabar, tetapi juga terpaksa menangani pelbagai kerenah ratusan pelajar, termasuk mereka yang terbawa-bawa dengan kebiasaan sikap tidak beradab.
Mahu tidak mahu, kesabaran guru kini diuji sebilangan pelajar yang semakin berani melawan dan kurang ajar dengan mereka, malah secara berdepan atau bersemuka. Perkembangan mutakhir itu memang menyedihkan, namun bukan lagi mengejutkan.
Baru-baru ini, tular satu lagi episod krisis hubungan pelajar-guru. Seorang ibu tidak berpuas hati sehingga membuat laporan polis terhadap guru anak perempuannya di sebuah sekolah menengah di Johor.
Wanita itu mempertikaikan tindakan guru lelaki berkenaan merotan anaknya yang dilaporkan bersikap kurang ajar melemparkan perkataan biadab terhadap beliau secara bersemuka. Ibu terbabit kemudian menarik balik laporan polis itu sehari selepas ia dibuat dan mereka juga sudah saling memohon maaf pada pertemuan diaturkan di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.
Namun hakikatnya, kejadian seumpama itu bukanlah yang pertama dan dilihat besar kemungkinan juga bukan yang terakhir.
Setiap kali tular isu sebegini, ada suara netizen menyarankan guru ‘play safe’ dengan memadai menjalankan tugas mengajar dan tidak perlu mengambil risiko atau bersusah payah mendidik anak orang sehingga membawa masalah kepada diri sendiri.
Penulis pasti ada ibu bapa cemas dengan usul sebegitu kerana masih ramai memiliki kesedaran tinggi bahawa guru tempat mereka bergantung untuk membantu mendidik anak menjadi insan berakhlak tinggi seiring kecemerlangan akademik.
Keterbatasan masa bersama anak dalam kehidupan harian yang sibuk, menuntut keprihatinan guru sebagai ‘ibu bapa kedua’ untuk membentuk keinsanan pelajar.
Justeru, ‘loceng penggera’ sudah lama berbunyi untuk semua pihak berkaitan sama-sama berbincang dan melihat semula langkah yang benar-benar dapat melindungi kepentingan guru dalam berdepan cabaran tugas di sekolah.
Kebajikan guru bukan hanya terhad kepada aspek tangga gaji dan perjawatan tetapi juga ketenangan jiwa serta ruang untuk mereka melaksanakan tanggungjawab mengajar dan mendidik dengan yakin. Martabat mulia seorang guru yang menjalankan amanah tugasnya dengan sepenuh integriti, harus dihormati tanpa kompromi.
Juga sudah tiba masanya untuk keseluruhan guru diberi lebih banyak pendedahan menangani disiplin pelajar secara berkesan mengikut aliran semasa, bukan hanya menumpukan latihan dari segi kemahiran pedagogi.
Kebijaksanaan mengendalikan disiplin pelajar kini dengan strategi dan pendekatan baharu yang lebih ‘licik’, amat diperlukan semua guru. Realiti dunia sekarang tidak lagi memungkinkan peranan kritikal itu hanya diserahkan kepada guru disiplin, warden dan kaunselor, demi memastikan bumi bertuah ini terus terpelihara dalam tangan generasi pewaris yang terdidik dengan jati diri sebenar.
Oleh Syuhada Choo Abdullah
Penulis adalah Penulis Khas, Berita Harian.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment