JASIN, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat mengumpul maklumat dan pandangan pelbagai
pihak berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching
berkata langkah itu diambil bagi melakukan penambahbaikan terhadap dasar
berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh.
Beliau berkata setakat ini, pihak sekolah
boleh memilih sama ada untuk menyertai ataupun tidak 'Dual Language Programme'
(DLP) yang diperkenalkan oleh KPM yang mana memberi peluang kepada pihak
sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
"Beri kita sedikit masa untuk
melakukan kajian dan mendapatkan maklum balas (secara komprehensif) berhubung
isu PPSMI memandangkan KPM tidak mempunyai sebarang tempoh yang tertentu
terhadap pelaksanaan semula dasar itu," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan bangunan baharu bernilai RM600,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
Jasin Lalang, di sini hari ini.
Terdahulu, Teo turut melakukan lawatan
kerja ke projek pembinaan makmal komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar
Shah di sini yang dijangka siap pada 11 Nov depan dengan kos RM676,000.
Turut serta dalam lawatan itu Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Wong Fort Pin dan Exco Komunikasi,
Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka,
Kerk Chee Yee.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata pelaksanaan semula dasar itu sedang
dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran
melalui teknologi maklumat (IT) agar pengajaran yang direkod oleh guru terbaik
akan diguna di setiap sekolah sekali gus dapat dinikmati oleh semua murid dan
pelajar.
Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003
telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa
Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment