Wednesday, 17 July 2019

15 UNIVERSITI DAN AGENSI JALIN KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

NILAI, 16 Julai (Bernama) -- Lima belas universiti dan agensi hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama dengan kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Pendidikan (Institut Pendidikan Guru-IPG) di IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek di sini.

Universiti terlibat ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sultan Azlan Shah, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Kolej Universiti Islam Melaka dan Cyberlink International College.

Agensi pula membabitkan Dewan Bahasa dan Pustaka, LeapEd Services Sdn Bhd dan Malaysian Research and Innovation Society.

MoU dan Nota Kerjasama itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamad yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Gazali Abas, dengan wakil-wakil universiti dan agensi terbabit.

Gazali dalam ucapannya berharap dengan termeterainya MoU dan Nota Kerjasama ini akan membolehkan IPG bekerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, latihan, kumpulan pemikir dan konsultasi dalam tempoh lima tahun akan datang dijelmakan untuk manfaat bersama demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

"Diharapkan agar usaha dan kolaboratif ini akan membuahkan hasil sebagaimana hasrat, matlamat dan misi yang ditetapkan. Perkara ini amat penting kerana telah menjadi matlamat strategik Kementerian Pendidikan bagi melonjakkan kecemerlangan IPG sebagai institusi latihan guru terkemuka dalam pentas antarabangsa dan arena global.

"Semoga jalinan kerjasama ini akan memberi impak tinggi kepada negara dan generasi akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara," katanya menerusi ucapan yang dibacakan Kamel.


BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment