Berikut adalah kenyataan penuh syarikat itu:
Sejak akhir-akhir ini, terdapat laporan media yang mengelirukan dan memberi persepsi kurang baik terhadap YTL Communications dan Frog Virtual Learning Environment (Frog VLE) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah sejak tahun 2011.
Kami turut merasa terganggu dengan kenyataan yang tidak tepat yang disiarkan di dalam media dan kenyataan separa rasmi mengenai pelantikan Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis bagi menggantikan YTL Communications sebagai pembekal perkhidmatan internet sementara dari 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019.
Berikut adalah fakta:
Pada Julai 2018, Kementerian Pendidikan (Kementerian) telah mengumumkan tender baru akan dikeluarkan awal tahun ini (2019) sebagai kesinambungan bekalan Internet kepada lebih kurang 10,000 sekolah di seluruh negara (yang ketika itu dibekalkan oleh YTL Communications).
YTL Communications telah berkali-kali memohon penjelasan dari kementerian mengenai status tender dan pada 23 April tahun ini, Kementerian Pendidikan telah mempelawa kami bersama Telekom Malaysia, Celcom Axiata, Maxis dan beberapa lagi syarikat pembekal perkhidmatan internet (ISP) untuk menghadiri mesyuarat di mana kami diberitahu bahawa mereka ‘belum bersedia untuk mengeluarkan tender bagi pelaksanaan 1 Jula’” di mana Fasa 2 kontrak bersama YTL Communications akan tamat.
Mesyuarat juga dimaklumkan terdapat kelewatan selama enam bulan di mana 10,000 sekolah yang mengambil bahagian akan terus menerima perkhidmatan internet sementara.
Kementerian juga memohon agar kami menyediakan perkhidmatan internet secara percuma disebabkan Kerajaan ‘tidak mempunyai bajet’ untuk membayar perkhidmatan yang disediakan.
Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab yang tidak mahu melihat perkhidmatan internet ke sekolah tergendala, YTL Communications menulis kepada Menteri Pendidikan, Maszlee Malik pada 31 Mei 2019 untuk memberi perakuan bahawa kami akan menyediakan solusi lengkap perkhidmatan internet percuma dan Frog VLE bagi tempoh sementara sehingga tender dikeluarkan dan diberikan.
Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pelajaran di sekolah tidak terganggu terutama waktu sesi pertengahan tahun. Bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang jawapan. Salinan surat kepada Menteri dikepilkan bersama kenyataan ini.
Oleh itu, pengumuman Kementerian pada 27 Jun 2019 bahawa Telekom Malaysia, Celcom Axiata dan Maxis telah ditawarkan untuk menyediakan perkhidmatan internet sementara memeranjatkan kami.
Kementerian telah menyingkir YTL Communications, memungkiri janji untuk memanggil tender terbuka dan sebaliknya bersetuju membayar bagi perkhidmatan internet kepada 3 ISP yang dilantik walaupun kami telah menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.
Sementara kami mencari penjelasan, kami sekali lagi dikejutkan dengan paparan yang mungkin disengajakan, dalam laman Facebook ‘Friends of Maszlee Malik’ yang memberi tujuh sebab mengapa projek 1BestariNet patut ditamatkan. Artikel yang mungkin menggunakan nama Menteri tanpa pengetahuannya, mengandungi rujukan yang kami anggap palsu dan berunsur fitnah.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE