Tuesday, 16 July 2019

IPG DISARAN LEBIH PROAKTIF SELARAS PEMBELAJARAN ABAD KE 21

KAJANG, 16 JUL: Institut Pendidikan Guru (IPG) disaran membuat anjakan paradigma menerusi kaedah penyampaian di dalam bilik darjah selaras tuntutan pembelajaran abad ke 21.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan juga perlu mengambil kira proses pembelajaran dan pengajaran.
“Kejayaan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran adalah dipengaruhi oleh kualiti yang terdapat dalam individu guru. Ini kerana, kemahiran pembelajaran abad diperlukan oleh pelajar untuk bersaing di alaf baru.
“Ini juga menuntut guru lebih komited dan kompeten dalam pelaksanaan kurikulum di sekolah tanpa mengabaikan penyelidikan dan inovasi,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Dr Amin Senin.
Ucapan berkenaan disampaikan di Karnival Akademik Penyelidikan dan Inovasi peringkat Kebangsaan 2019, di IPG Kampus Pendidikan Islam, di sini.
Maszlee berkata, guru-guru juga dikehendaki menguasai isi kandungan, mengesan perkembangan murid dan menguasai kemahiran psikologi pembelajaran.
Pada masa sama, beliau menyarankan nilai kasih sayang dan hormat menghormati diterjemahkan dalam ekosistem di IPG bagi memastikan siswa akan terus kekal berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif (thinking out of the box).
“Senario ini secara tidak langsung menuntut siswa pendidik melipatgandakan usaha bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dan mencipta pelbagai cetusan idea dalam sistem penyampaian.
“Justeru, diharap warga pendidik dapat mencipta kejayaan dalam mengetengahkan pelbagai idea penyelidikan dan projek inovasi dengan cara bekerja dalam berpasukan,” katanya.
Selain itu, Maszlee turut berharap supaya IPG Kampus Pendidikan Islam dapat terus berkembang di peringkat antarabangsa sebagai pusat latihan guru negara timur tengah.
“Saya gembira dengan perkembangan terbaharu IPG Kampus Pendidikan Islam yang kini bukan sahaja menjadi pusat latihan guru bahasa Arab dan Pendidikan Islam dalam negara, bahkan mula melatih guru persediaan di Timur Tengah,” katanya.

SELANGORKINI

No comments:

Post a Comment