Thursday 11 July 2019

BINCANG WAJIB PENDIDIKAN SEHINGGA USIA 17 TAHUN


TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi mewajibkan pendidikan asas sehingga usia 17 tahun.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata ia adalah antara usaha kerajaan bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur di negara ini.
“Kenapa remaja tidak ada di sekolah tetapi memulakan keluarga pada usia awal. Bila kita lihat perundangan sedia ada, pendidikan asas atau wajib di negara ini hanya sehingga usia 12 tahun saja iaitu di peringkat sekolah rendah.
“Justeru, kita berbincang dengan Kementerian Pendidikan sejak tahun lalu untuk melihat bagaimana kita nak wajibkan (pendidikan asas sehingga usia 17 tahun),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan ‘Seminar Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia’ dan melancarkan buku ‘Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan di Malaysia’ di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hannah berkata, bagi mewajibkan perkara itu, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti penyediaan infrastruktur di luar bandar supaya ia mencukupi.
“Kita perlu bincang dengan terperinci sebelum menetapkan perkara ini, bagaimanapun ia tidak boleh membabitkan kementerian kita saja tetapi juga semua pihak lain yang berkaitan,” katanya.
Berhubung isu pencabulan kanak-kanak, Hannah berkata kementeriannya kini banyak memberi tumpuan kepada masalah keruntuhan institusi keluarga yang menjadi antara punca utama jenayah itu.
“Kita tumpu kepada isu keibubapaan dan meningkatkan kesedaran kerana kita mahu mengajar anak supaya membuat laporan supaya penguatkuasaan dapat dilaksanakan,” katanya.
BERITA  HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment