Oleh Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim
Naib Canselor UiTM
SAYA masih ingat ketika di bangku sekolah dahulu, di Sekolah Kebangsaan Clifford. Ada seorang Cikgu yang mengajar mata pelajaran Ilmu Alam, kalau dia masuk ke kelas, semua murid akan senyap. Bukan sahaja kelas kami, kelas sebelah pun akan senyap.
Takut? Mungkin juga. Tapi naluri saya ketika itu lebih cenderung kepada rasa hormat kepada beliau. Sama juga perasaan yang dirasakan kawan lain. Hormat bercampur rasa sayang bersulam dalam diri kami.
Inilah yang dimaksudkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, baru-baru ini apabila menyatakan formula bagi membina atmosfera teraputik dalam pembelajaran di sekolah dan universiti serta lain-lain institusi pendidikan adalah kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati.
Pada perspektif dan sudut pandang saya, ketiga-tiga kata kunci ini sewajarnya ada dalam suasana pembelajaran kita yang menjadi nadi kepada perkembangan pendidikan di sekolah. Terkadang, ia seolah-olah dilihat sebagai kurikulum tersembunyi bagi setiap pendidik.
Suatu masa, yang mana ‘anak murid’ adalah ‘anak cikgu’, silap murid cikgu merasakan seperti silap anak sendiri. Sedih murid, ditangani terus, tidak mahu sedih mereka berpanjangan. Naluri, guru adalah naluri ibu dan ayah.
Semua orang mahukan kebahagiaan. Ibu dan bapa mahukan kebahagiaan yang datang daripada kecemerlangan anak yang hebat. Bangga sungguh seorang ibu apabila keputusan anaknya mencapai kejayaan yang membanggakan.
Begitulah dengan guru, seronok apabila pelajar yang diharapkan mencapai kejayaan. Namun, terdetikkah pada perasaan kita sebagai pendidik apabila ada antara pelajar kita yang tidak mencapai keputusan diharapkan?
Bagaimanakah perasaan mereka apabila tahu yang mereka bukan harapan sekolah? Semua perasaan ini berbaur dan akhirnya memusnahkan kebahagiaan di sekolah. Bagaimana di rumah pula? Justeru, kebahagiaan perlu kita suburkan di alam pembelajaran dan pendidikan agar semua insan mempunyai peranan masing-masing.
Hentikan sifat melabel dan merendah-rendahkan diri anak murid kita. Pada masa sama, sifat kasih sayang juga yang menjadi fitrah kurniaan Allah SWT perlu dipupuk dalam diri setiap daripada kita. Kita semua akui perasaan yang baik membuahkan hidup yang harmoni.
Teringat saya kepada dorongan seorang tokoh psikologi yang bernama Carl Ransom Rogers. Pakar terapi pemusatan ini amat menekankan kasih sayang jika mahu orang lain berubah. Belailah orang lain sebagai insan, belailah orang lain sebagaimana mereka seadanya.
Manusia ada maruah, manusia ada nilai dan manusia ada harga diri yang perlu kita layan dengan sebaik-baiknya. Semua ini akhirnya akan mendatangkan rasa empati dalam hubungan kemanusiaan. Rasullullah SAW amat menitikberatkan aspek kasih dan sayang demi menyuburkan perhubungan seperti sabda Baginda SAW: “Barang siapa tidak berasa belas kasihan terhadap sesama manusia, Allah pasti tidak akan menaruh belas kasihan kepadanya.” (Riwayat Al-Tirmizi).
Kita juga perlu sama-sama refleksi akan budaya hormat-menghormati. Saling menghormati jika diamalkan secara padu dalam masyarakat tentunya membuahkan hasil yang bukan kepalang ranumnya. Menghidupkan kembali budaya ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun bukan juga mustahil mencapainya, asalkan semua pihak berasakan ia tanggungjawab bersama.
Begitulah yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan yang sentiasa berusaha umpama menabur baja ke arah suasana hormat-menghormati ini. Pada pandangan saya, amalan ini dapat melahirkan suatu tamadun yang berjaya, cemerlang dan insan yang penuh dengan nilai-nilai murni dalam diri.
Murid hormat pada guru, guru hormat pada murid, murid hormat sesama murid, guru hormat sesama guru. Semua ini dipasakkan dalam kehidupan dan suasana pembelajaran. Istiqamahlah beramal dengan sifat kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati ke arah mewujudkan keharmonian dan kelangsungan dalam atmosfera pendidikan.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment