Monday, 11 January 2021

PKP : PELAJAR, CALON SPM BOLEH HADIR SEKOLAH

Kementerian Pendidikan akan memperincikan SOP untuk pelajar, calon peperiksaan utama termasuk SPM hadir sekolah


KUALA LUMPUR: Pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat terutama di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama itu.

"Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP ini," katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Pembukaan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara dijadualkan pada 20 Januari ini.

Selain itu, SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditetapkan pada 22 Februari depan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula pada 8 Mac.

BERITA HARIAN ONLINE


Tuesday, 5 January 2021

PENDIDIKAN BERKUALITI PEMANGKIN PEMBANGUNAN LESTARI

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri.

KEHADIRAN COVID19 memberi impak sangat tinggi kepada setiap insan tidak kira usia, pangkat dan bangsa.

Seperti sektor lain, bidang pendidikan juga turut terkena tempias dan terkesan dengan kehadiran wabak ini. Kehadiran pandemik membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal bukan sahaja pada peringkat sekolah, malah universiti turut terjejas.

Hasilnya, aktiviti PdP terpaksa dijalankan secara dalam talian dengan tanggapan semua pelajar mempunyai akses internet sempurna.

Namun, hakikatnya, tidak semua pelajar mempunyai capaian internet yang baik untuk menjalani aktiviti PdP secara dalam talian. Jika dilihat dari sudut pandangan yang positif, kehadiran pandemik ini membuka mata banyak pihak mengenai ketersediaan Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keempat, iaitu pendidikan berkualiti.

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri.

Diberi situasi seorang pelajar tercicir dalam pelajaran ketika pandemik ini dengan alasan tidak mempunyai capaian internet yang bagus.

Senario ini bercanggah dengan matlamat keempat dalam SDGR, iaitu pendidikan berkualiti, di mana setiap insan akan diberi hak untuk mendapatkan pendidikan tidak kira dalam apa juga situasi.

Tular pada awal 2020 mengenai seorang gadis yang terpaksa berkampung dan memanjat bukit demi mendapatkan capaian internet yang stabil bagi membolehkannya menjawab peperiksaan peringkat universiti secara dalam talian.

Ini menunjukkan bahawa ada lompong yang besar terhadap ketersediaan Malaysia dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti terhadap rakyatnya.

Jika dilihat melalui skop lebih besar, masih banyak kawasan luar bandar yang menghadapi atau mengalami masalah pautan internet yang tidak stabil.

Kehadiran wabak COVID-19 bukan sahaja membuka mata banyak pihak, malah ia juga merangsang pemikiran pihak yang bertanggungjawab untuk berfikir secara kritikal dan kreatif bagi mengisi lompong yang ada.

Langkah pantas diambil kerajaan untuk menyelesaikan isu capaian internet dengan meningkatkan infrastruktur jaringan telekomunikasi di kawasan berkenaan. Langkah ini tidak seharusnya hanya terhenti di kawasan terbabit sahaja, malah perlu diperluaskan ke seluruh kawasan pedalaman dan luar bandar di Malaysia.

Ini mengambil kira bahawa di kawasan terbabit juga terdapatnya pelajar yang menderita dengan masalah sama.

Dengan berbuat sedemikian, Malaysia dilihat mengambil langkah proaktif dan akan lebih maju setapak ke hadapan dalam melaksanakan SDG yang keempat, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti dengan memastikan semua rakyat mendapat hak untuk memperoleh ilmu.

Ini sekali gus menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang intelektual dan berpendidikan demi kemajuan negara.

Huda Sofea Hazuari,
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 4 January 2021

USAH LAGI PERTIKAI BILANGAN PENJAWAT AWAM

Komitmen tidak berbelah bahagi penjawat awam terhadap negara dan rakyat perlu dihargai.

Isu bilangan penjawat awam kembali diperdebatkan apabila seorang bekas diplomat mencadangkan kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Alasan diberi urusan pentadbiran negara masih dapat dilaksanakan dengan hanya 30 peratus kakitangan bekerja di pejabat.

Ironinya pandangan ini seolah-olah tidak menyedari sumbangan dan peranan 70 peratus lagi kakitangan awam yang bekerja dari rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Hakikatnya kita dapat memastikan semua urusan pentadbiran negara dan agensi kerajaan lancar dan efisien hasil gabungan kerja kakitangan di pejabat dan dari rumah.

Apa yang pasti bilangan penjawat awam kita tidak berlebihan. Jangan dilupa fakta satu pertiga daripada 1.58 juta penjawat atau 540,000 adalah guru. Kira-kira 130,000 lagi anggota keselamatan dengan jumlah sama membabitkan anggota tentera.

Penting untuk kita fahami data ini kerana perkhidmatan awam turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

Ringkasnya, pada ketika ini nisbah penjawat awam dengan penduduk Malaysia ialah 1:21 yang dilihat ideal dan bersesuaian untuk menyampaikan perkhidmatan efisien kepada rakyat.

Justeru, pandangan bahawa kita mempunyai penjawat awam berlebihan adalah kurang tepat.

Dalam konteks ini kita perlu berfikir lebih rasional dan matang dengan mengambil kira peranan dimainkan semua penjawat awam sejak PKP dalam persekitaran kerja norma baharu.

Hakikatnya, operasi perkhidmatan awam adalah pada kadar 100 peratus di mana kakitangan awam bertugas secara bergilir, sama ada di pejabat secara fizikal (30 peratus) mahupun bekerja dari rumah (70 peratus).

Jadi tidak timbul soal bilangan penjawat awam berlebihan, mereka dicutikan atau tidak bekerja sepanjang tempoh PKP, mahupun PKPB.

Percayalah, 70 peratus kakitangan awam bekerja dari rumah mempamerkan sikap tanggungjawab dan amalan integriti cukup tinggi.

Ini dapat dilihat ketika negara diancam wabak dan kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKP, penjawat awam terus bekerja dari rumah dengan amanah dan disiplin tinggi sehingga semua perkhidmatan kerajaan berjalan lancar.

Hasilnya, rakyat tidak merungut, sebaliknya terus mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan baik secara fizikal mahupun dalam talian.

Kita akui PKP membuka lebih banyak peluang kepada perkhidmatan awam memperkenalkan perkhidmatan dalam talian, di mana kerajaan juga berusaha keras mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Namun, itu bukan bermaksud kita perlu mengurangkan bilangan penjawat awam kerana harus diingat masih banyak tugasan memerlukan sentuhan fizikal seperti semakan dokumen dan borang permohonan pelbagai perkhidmatan yang perlu ditentukan kesahihan.

Malah, perkhidmatan sosial seperti pegawai kebajikan masyarakat juga masih perlu turun padang secara fizikal membuat pemeriksaan dan menghulurkan bantuan kepada rakyat ditimpa pelbagai musibah.

Tegasnya, penjawat awam terus berkhidmat cemerlang dengan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi selaras nilai 'Kepercayaan Untuk Berkhidmat' dan dipacu prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient seperti sering dianjurkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Harapannya, jangan ada lagi pihak membangkitkan soal bilangan penjawat awam, sebaliknya hargai segala inisiatif dan kerja keras golongan ini yang membantu memastikan perkhidmatan awam beroperasi seperti biasa walaupun ketika krisis.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 2 January 2021

INSTITUSI PENDIDIKAN KPM AKAN DIBUKA IKUT TAKWIM PENGGAL PERSEKOLAHAN

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi pendidikan swasta (IPS) berdaftar dengan kementerian itu, termasuk sekolah antarabangsa, akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan serta institusi pendidikan bagi 2021.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, takwim berkenaan boleh dirujuk dalam laman sesawang: www.moe.gov.my/takwim, manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

"Pembukaan ini membabitkan institusi pendidikan di seluruh negara, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

KPM menegaskan, pengoperasian semua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.

Katanya, KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan. 

BERNAMA ONLINE

Monday, 28 December 2020

PERHALUSI MEKANISME BELAJAR DALAM TALIAN

Beberapa isu perlu diambil kira pendidik dan pelajar ialah kekangan dihadapi ketika mengendalikan kelas dalam talian. 

COVID-19 mengubah landskap pendidikan pada semua peringkat pengajian. Guru dan pelajar menggunakan sepenuhnya pembelajaran dengan pelbagai aplikasi digunakan.

Beberapa isu perlu diambil kira pendidik dan pelajar ialah kekangan dihadapi ketika mengendalikan kelas seperti ini. Ia seperti mudah dan ringkas, tetapi hakikatnya bebanan baharu yang mencengkam kedua-dua belah pihak - pendidik dan pelajar.

Tiga perkara utama perlu ditangani iaitu keperluan asas, liputan dan kos data internet.

Tidak semua pelajar memiliki komputer peribadi yang sesuai keperluan pendidikan semasa. Ia halangan utama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kita tidak pasti berapa ramai pelajar tidak memiliki alatan asas komputer mahupun telefon pintar bagi tujuan pembelajaran.

Dalam sebuah rumah, bukan hanya seorang yang belajar, mungkin dua dan tiga. Semuanya memerlukan komputer peribadi, memerlukan data dan alatan asas internet.

Bayangkan kepayahan berebut menggunakan sebuah komputer yang termampu disediakan dalam sesebuah keluarga. Bagaimana agaknya sesi pembelajaran dapat berjalan dengan baik?

Ia belum dikira jika ibu bapa juga bekerja secara dalam talian. Bagaimana keupayaan mereka menangani masalah seperti ini.

Keupayaan pelajar melanggan data internet juga perlu diambil kira. Berapakah data minimum diperlukan seorang murid sekolah rendah atau menengah yang menghadapi peperiksaan utama, atau siswa siswi universiti yang tentunya memerlukan data lebih besar dan konsisten.

Minimum kos diperlukan RM100 sebulan bagi pelajar di institusi pengajian tinggi, malah ada yang lebih berdasarkan kursus mereka ambil. Golongan B40 tentunya lebih terkesan dengan kos internet yang meningkat kepenggunaannya.

Masalah liputan menjadi isu utama pembelajaran dalam talian. Tidak semua pelajar mendapat laluan mudah melayari internet. Ramai menumpang di kedai makan dan pusat komersial bagi mendapat laluan konsisten.

Ia belum dikira yang terpaksa mendaki bukit, memanjat pokok dan berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain.

Di sini kita lihat pentingnya pendidik lebih prihatin kepada pelajar. Tidak semua pelajar sudi berkongsi kesusahan mereka menjayakan pembelajaran dalam talian.

Oleh itu, pendidik perlu merancang proses pembelajaran supaya tidak terlalu lama. Kelas diperuntukkan dua jam, tidak semestinya dikendalikan sepenuhnya dalam talian kerana ia mungkin menjejaskan kemampuan mereka yang tidak mampu.

Ada subjek tertentu memadai menggunakan Telegram dan WhatsApp sebagai medium pembelajaran. Rakaman suara, biarpun tidak secanggih bersemuka, mampu mengurangkan penggunaan kos data peribadi pelajar.

Kementerian Pendidikan, pihak universiti mahupun komuniti setempat perlu menyediakan prasarana asas pembelajaran kepada pelajar. Agensi kerajaan yang ada kemudahan internet seharusnya membuka ruang kepada anak-anak B40.

Ia tidak semudah A, B, C, tetapi perancangan jangka panjang boleh dilakarkan bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar.

Dasar kita ialah pendidikan untuk semua dan semua berhak mendapat pendidikan sama.

Berupayakah kita menangani jurang pendidikan era Revolusi Industri Keempat (IR4.0) jika keperluan asas masih dipersoalkan?

Ahmad Nawawi Yaakob
Profesor Madya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Segamat, Johor

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 27 December 2020

COVID-19 : MANGKIN PERUBAHAN CORAK PEMBELAJARAN BAHARU DALAM TALIAN

Foto dirakamkan pada 5 Disember 2020 menunjukkan Nufaiel Qaiesz, 10, mengikuti kelas Bahasa Inggeris secara dalam talian dikendalikan guru Sekolah Kebangsaan Telok Menegon susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor

KUALA LUMPUR: Tirai 2020 bakal dilabuhkan yang menyaksikan pelbagai perubahan dinamik belum pernah berlaku terhadap corak pendidikan negara, sehingga menyebabkan sesi persekolahan dan universiti ditangguhkan sementara, berikutan penularan pandemik COVID-19.

Situasi itu juga turut 'memaksa' jutaan pelajar di seluruh negara untuk memanfaatkan sepenuhnya komputer riba atau peranti elektronik mereka sebagai medium untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

Persoalannya, bersediakah Malaysia untuk mengharungi era corak pembelajaran yang baharu ini?

Begitupun, kesan pandemik itu memungkinkan teknologi memainkan peranan penting dalam mengubah corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) sistem pendidikan negara, sekali gus menyaksikan kerajaan berusaha untuk meningkatkan kebolehcapaian internet terutamanya di kawasan yang mengalami akses internet yang terhad.

Gelombang pertama jangkitan COVID-19 di negara ini mula dikesan pada 24 Januari dengan 22 kes dilaporkan meliputi 12 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara dan wilayah yang terjejas jangkitan berkenaan. Lapan kes mempunyai kontak rapat, manakala dua dijangkiti ketika misi kemanusiaan.

Pada 30 Januari, Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei, China dan menyekat kawasan sekitar di semua institusi pendidikan di negara ini, sebagai langkah memerangi virus berkenaan.

Ketika gelombang kedua melanda negara pada 27 Februari, KPM mengarahkan penangguhan semua program membabitkan perhimpunan ramai seperti program sukan dan kegiatan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara, mulai 13 Mac.

Kerajaan kemudiannya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac yang mengakibatkan penutupan semua institusi pendidikan termasuk taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan sekolah rendah, menengah dan prauniversiti, kolej dan institusi pengajian tinggi.

Rentetan penutupan itu, guru disarankan untuk mengaplikasikan corak PdP secara maya di rumah sebagai kaedah baharu dan terbaik, disebabkan kekangan dan situasi semasa penularan COVID-19 di dalam negara.

Hakikatnya, terdapat halangan untuk melaksanakan PdP secara maya dari rumah dengan KPM mendapati daripada maklum balas 670,000 ibu bapa dan kira-kira 900,000 murid menunjukkan hanya enam peratus memiliki komputer peribadi, tablet (5.76 peratus), komputer riba (sembilan peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Sementara 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai peranti.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin yang menerajui KPM mulai 10 Mac, berkata guru seharusnya mengambil berat masalah dan kekangan yang dihadapi murid untuk mengikuti PdP dari rumah serta menentukan kaedah terbaik dalam melaksanakan proses PdP secara dalam talian.

Selepas sekatan pergerakan dilonggarkan dan kes harian COVID-19 merekodkan angka yang menurun setelah menikmati cuti persekolahan selama berbulan-bulan lamanya, kerajaan memutuskan supaya sesi PdP sekolah menengah di seluruh negara dibuka semula pada 24 Jun, khusus untuk pelajar yang menduduki peperiksaan awam tahun ini.

Ini termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan yang setaraf dengannya.

Pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat dan Kelas Peralihan serta murid Tahun Lima dan Tahun Enam, kembali ke sekolah mulai 15 Julai sementara murid Tahun Satu hingga Tahun Empat, memulakan sesi pembelajaran di sekolah pada 22 Julai. Ini meliputi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar di bawah KPM.

Kerajaan juga membuat penjadualan semula tarikh SPM, SVM dan STAM ke 22 Feb 2021 dan STPM akan diadakan pada 8 Mac 2021. Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pula telah dibatalkan bagi tahun ini.

Malangnya, ibu bapa yang prihatin berpendapat bahawa keputusan memulakan sesi persekolahan itu dibuat dengan tergesa-gesa kerana mereka bimbang kes COVID-19 akan melonjak tinggi apabila sekolah dibuka semula.

Ternyata, mimpi ngeri ibu bapa itu, akhirnya menjadi kenyataan. Gelombang ketiga COVID-19 melanda negara ini pada hujung September selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sebagai reaksi segera, kerajaan pada 8 November, mengumumkan sekolah dan kolej vokasional akan ditutup pada keesokan harinya (9 Nov) hingga berakhirnya kalendar sesi akademik 2020.

Bagi pelajar IPT awam dan swasta, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa semua kuliah wajib dijalankan secara maya tanpa dibenarkan pelajaran secara bersemuka mulai 27 Mei hingga 31 Disember dengan pengecualian kepada lima kategori akademik yang membabitkan pelajar.

Pengumuman itu telah mendorong pelajar universiti wajib membudayakan normal baharu dalam PdP secara dalam talian.

Rentetan itu, kebanyakan pelajar memohon supaya yuran pengajian dikurangkan memandangkan mereka tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di universiti.

Prihatin dengan maklum balas dan gesaan pelajar serta ibu bapa yang pendapatan isi rumahnya terjejas teruk oleh wabak itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bayaran asrama dan kemudahan di semua universiti awam untuk semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15 peratus.

Langkah itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM72 juta, dengan RM20 juta diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan RM52 juta lagi adalah daripada peruntukan dalaman universiti.

Yang pasti, tahun 2020, menyaksikan anjakan paradigma dalam sektor pendidikan negara khususnya dalam dalam mengadaptasi proses PdP normal baharu yang banyak bergantung terhadap teknologi sama ada dalam kalangan pelajar, pensyarah, guru malah semua yang terbabit dalam institusi sektor pendidikan.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk perubahan sedemikian?

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 16 December 2020

TV PENDIDIKAN PERLU DITAMBAH BAIK

Teo Nie Ching ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan perlu menambah baik kualiti dan masa yang diperuntukkan dalam pembelajaran menerusi Televisyen Pendidikan (TVP) bagi mengurangkan jurang digital.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menambah baik kualiti dan masa yang diperuntukkan dalam pembelajaran menerusi Televisyen Pendidikan (TVP) bagi mengurangkan jurang digital dalam kalangan pelajar.

Bersandarkan jadual siaran program menerusi dua saluran yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan, Teo Nie Ching (PH-Kulai) berkata beberapa kesimpulan mengenai keberkesanan TVP berupaya dibuat.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata hasil penelitian selama minggu, iaitu dari 5 hingga 12 November lalu, beliau berkata, peruntukan masa yang disediakan menerusi TVP ialah hanya mewakili 14 peratus berbanding tempoh sebenar pembelajaran di sekolah.

"Untuk Tingkatan Enam, hanya tiga subjek yang diajar, iaitu fizik (selama 55 minit), ekonomi (27.5 minit) dan sejarah (27.5 minit).

"Lagi teruk Tingkatan Dua, tiada mata pelajaran dalam saluran yang saya sebutkan, berbanding sekolah rendah, darjah 1, hanya satu subjek disiarkan, iaitu matematik (30 minit).

"Sepatutnya, satu minggu mereka boleh belajar matematik selama 300 minit, tetapi dalam TVP, kita hanya sediakan 30 minit.

"Sama juga untuk Tahun Tiga apabila pengajaran matematik (30 minit), Bahasa Melayu (150 minit) dan Bahasa Inggeris (30 minit) yang sekali gus menjadikan peruntukan masa sebanyak 210 minit, iaitu tempoh lebih baik berbanding Tahun Satu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

BERITA HARIAN ONLINE