Tuesday, 12 January 2021

PKP : HANYA PELAJAR DUDUKI PEPERIKSAAN UTAMA 2020, 2021 IKUTI PEMBELAJARAN BERSEMUKA

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, bercakap pada sidang media, hari ini.


KUALA LUMPUR: Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka, di sekolah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sesi persekolahan secara bersemuka di enam negeri terbabit, iaitu Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), akan bermula seawal seminggu selepas PKP ditamatkan.

Ia membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara bagi 2020 serta 2021.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM bagi 2020 dan 2021 di negeri terbabit PKP, dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada pelajar bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya pada sidang media, hari ini.

Sambil menjelaskan sesi persekolahan 2021 bermula 20 Januari ini, beliau berkata, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan PKP pula akan membabitkan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat di sekolah menengah, serta Semester Dua SVM Tahun 2020 dan Semester Dua DVM Tahun 2020.

Berhubung Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di kawasan PKP pula, katanya, tarikh terbabit bagi Tingkatan Satu ialah 20 hingga 29 Januari ini, manakala Tingkatan Empat pula 15 hingga 25 Februari depan.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

KAJI SEMULA PEMBUKAAN SEKOLAH, UNIVERSITI


KERAJAAN disaran mengkaji arahan pembukaan semula sekolah dan universiti yang dijadualkan tidak beberapa lama lagi.

KERAJAAN disaran mengkaji arahan pembukaan semula sekolah dan universiti yang dijadualkan tidak beberapa lama lagi.

Kita tidak tahu sampai bila jumlah kes COVID-19 yang tinggi akan terus dilaporkan berlaku di negara ini.

Justeru, wajarkah sekolah dan universiti dibuka memandangkan senario ini?

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengumumkan semua sekolah, termasuk swasta dan antarabangsa dibuka semula mengikut kalendar akademik 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula mengumumkan untuk membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa seawal 1 Mac ini.

Bagaimanapun, KPM dan KPT perlu wujudkan pelan B jika jumlah kes masih tidak menunjukkan penurunan yang mewajarkan pembukaan sekolah serta universiti.

Pelan B ini perlu dihebahkan kepada masyarakat dengan segera supaya mereka dapat mengambil langkah awal melakukan persediaan.

Pembukaan sekolah boleh mengundang implikasi besar kepada pelajar dan ibu bapa, terutama aspek kewangan seperti pembelian peralatan dan pakaian persekolahan.

Begitu juga pembukaan universiti kerana penuntut, terutama yang jauh dari tempat pengajian. Jika sekolah dan universiti terpaksa ditutup kelak selepas segala perbelanjaan, pembelian dan perjalanan pulang dilakukan, ia menyusahkan ramai serta menyebabkan keadaan kelam-kabut.

Adalah penting aspek keselamatan dan kesihatan pelajar diberi keutamaan. Semua pihak harus bersiap sedia dari segi mental dan emosi jika diarah terus menggunakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Kerajaan khususnya KPM dan KPT perlu merangka polisi jangka panjang untuk menjadikan PdP dalam talian sebagai dasar sistem pendidikan negara dan digunakan berterusan.

Walaupun sudah terdapat sedikit usaha diambil kerajaan sejak beberapa tahun lalu, tidak semua pihak menggunakannya.

Hanya apabila terpaksa akibat penularan COVID-19, baru semua pihak menggunakan pelbagai kemudahan aplikasi serta teknologi untuk menjalankan aktiviti harian termasuk PdP dalam talian.

PdP dalam talian perlu dilaksana sepenuhnya bukan sahaja bagi membendung penularan COVID-19 atau sebarang virus pada masa depan, malah ia banyak memberi faedah kepada semua terutama pelajar.

Proses PdP dalam talian boleh memberi banyak kemudahan kepada pelajar untuk melakukan proses pembelajaran secara fleksibel tanpa perlu bergerak ke banyak tempat untuk mengikuti sesi pengajaran daripada guru ataupun pensyarah.

Kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal dapat meringankan beban pelajar. Ia juga dapat menjamin aspek keselamatan dan kesihatan pelajar.

Ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu risau terhadap tahap keselamatan dan kesihatan diri anak ke sekolah atau kampus setiap hari. Ia juga dapat menjimatkan wang saku.

Proses PdP dalam talian juga dapat mengurangkan penggunaan bahan seperti kertas kerana tugasan diberi dilaksanakan melalui alam maya.

Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran. Pada masa sama, pelajar dapat didedahkan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat serta kemahiran untuk menghadapi dunia moden.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dikesan sepanjang PdP dalam talian seperti kekurangan akses internet dan ketiadaan kemudahan atau aplikasi, ia tidak seharusnya dijadikan batu penghalang.

Kerajaan terutama kementerian berkaitan perlu mengkaji segala rungutan guru, pensyarah dan pelajar serta melakukan penambahbaikan segera bagi menjayakan PdP moden ini.

Dr Muzaffar Syah Mallow
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 11 January 2021

PKP : HANYA PELAJAR DUDUKI PEPERIKSAAN UTAMA KE SEKOLAH


Hanya pelajar duduki peperiksaan utama perlu ke sekolah.

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka di enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia membabitkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa setara.

"Pelajar sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu, dibenarkan pulang ke asrama mulai Sabtu ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan sekolah bagi membolehkan mereka merentas negeri atau daerah pulang ke asrama.

"Semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dalam negeri dikenakan PKP, akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini.

"Ketetapan ini juga terpakai kepada pelajar Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional," kata kenyataan itu.

Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan Satu, kata kenyataan itu, calon berdaftar yang belum menduduki pentaksiran akan mengikutinya antara 20 hingga 29 Januari ini.

Bagi kemasukan ke Tingkatan Empat, KPM berkata, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021 dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran ditetapkan.

"Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

"Guru yang terbabit dengan senarai peperiksaan utama 2020 dan 2021 dalam kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.

KPM berkata, pelajar Kolej Matrikulasi dalam kawasan PKP yang kini berada di kolej, perlu kekal di asrama masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Katanya, bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai Ahad ini.

"Semua taman didikan kanak-kanak (TADIKA) swasta yang berdaftar dengan KPM, boleh terus beroperasi secara bersemuka," katanya.

Sementara itu, KPM berkata, bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), pengoperasian institusi pendidikan di bawah kementerian itu dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar, termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

KPM menyarankan semua ketetapan ini turut diikuti sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.

"KPM akan sentiasa mengambil langkah perlu, selaras Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

PKP : PELAJAR, CALON SPM BOLEH HADIR SEKOLAH

Kementerian Pendidikan akan memperincikan SOP untuk pelajar, calon peperiksaan utama termasuk SPM hadir sekolah


KUALA LUMPUR: Pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat terutama di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama itu.

"Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP ini," katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.

Pembukaan penggal pertama persekolahan 2021 bagi sekolah di seluruh negara dijadualkan pada 20 Januari ini.

Selain itu, SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditetapkan pada 22 Februari depan manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula pada 8 Mac.

BERITA HARIAN ONLINE


Tuesday, 5 January 2021

PENDIDIKAN BERKUALITI PEMANGKIN PEMBANGUNAN LESTARI

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri.

KEHADIRAN COVID19 memberi impak sangat tinggi kepada setiap insan tidak kira usia, pangkat dan bangsa.

Seperti sektor lain, bidang pendidikan juga turut terkena tempias dan terkesan dengan kehadiran wabak ini. Kehadiran pandemik membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal bukan sahaja pada peringkat sekolah, malah universiti turut terjejas.

Hasilnya, aktiviti PdP terpaksa dijalankan secara dalam talian dengan tanggapan semua pelajar mempunyai akses internet sempurna.

Namun, hakikatnya, tidak semua pelajar mempunyai capaian internet yang baik untuk menjalani aktiviti PdP secara dalam talian. Jika dilihat dari sudut pandangan yang positif, kehadiran pandemik ini membuka mata banyak pihak mengenai ketersediaan Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keempat, iaitu pendidikan berkualiti.

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri.

Diberi situasi seorang pelajar tercicir dalam pelajaran ketika pandemik ini dengan alasan tidak mempunyai capaian internet yang bagus.

Senario ini bercanggah dengan matlamat keempat dalam SDGR, iaitu pendidikan berkualiti, di mana setiap insan akan diberi hak untuk mendapatkan pendidikan tidak kira dalam apa juga situasi.

Tular pada awal 2020 mengenai seorang gadis yang terpaksa berkampung dan memanjat bukit demi mendapatkan capaian internet yang stabil bagi membolehkannya menjawab peperiksaan peringkat universiti secara dalam talian.

Ini menunjukkan bahawa ada lompong yang besar terhadap ketersediaan Malaysia dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti terhadap rakyatnya.

Jika dilihat melalui skop lebih besar, masih banyak kawasan luar bandar yang menghadapi atau mengalami masalah pautan internet yang tidak stabil.

Kehadiran wabak COVID-19 bukan sahaja membuka mata banyak pihak, malah ia juga merangsang pemikiran pihak yang bertanggungjawab untuk berfikir secara kritikal dan kreatif bagi mengisi lompong yang ada.

Langkah pantas diambil kerajaan untuk menyelesaikan isu capaian internet dengan meningkatkan infrastruktur jaringan telekomunikasi di kawasan berkenaan. Langkah ini tidak seharusnya hanya terhenti di kawasan terbabit sahaja, malah perlu diperluaskan ke seluruh kawasan pedalaman dan luar bandar di Malaysia.

Ini mengambil kira bahawa di kawasan terbabit juga terdapatnya pelajar yang menderita dengan masalah sama.

Dengan berbuat sedemikian, Malaysia dilihat mengambil langkah proaktif dan akan lebih maju setapak ke hadapan dalam melaksanakan SDG yang keempat, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti dengan memastikan semua rakyat mendapat hak untuk memperoleh ilmu.

Ini sekali gus menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang intelektual dan berpendidikan demi kemajuan negara.

Huda Sofea Hazuari,
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 4 January 2021

USAH LAGI PERTIKAI BILANGAN PENJAWAT AWAM

Komitmen tidak berbelah bahagi penjawat awam terhadap negara dan rakyat perlu dihargai.

Isu bilangan penjawat awam kembali diperdebatkan apabila seorang bekas diplomat mencadangkan kerajaan mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Alasan diberi urusan pentadbiran negara masih dapat dilaksanakan dengan hanya 30 peratus kakitangan bekerja di pejabat.

Ironinya pandangan ini seolah-olah tidak menyedari sumbangan dan peranan 70 peratus lagi kakitangan awam yang bekerja dari rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Hakikatnya kita dapat memastikan semua urusan pentadbiran negara dan agensi kerajaan lancar dan efisien hasil gabungan kerja kakitangan di pejabat dan dari rumah.

Apa yang pasti bilangan penjawat awam kita tidak berlebihan. Jangan dilupa fakta satu pertiga daripada 1.58 juta penjawat atau 540,000 adalah guru. Kira-kira 130,000 lagi anggota keselamatan dengan jumlah sama membabitkan anggota tentera.

Penting untuk kita fahami data ini kerana perkhidmatan awam turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang lazimnya tidak diambil kira sebagai kakitangan awam di negara lain.

Ringkasnya, pada ketika ini nisbah penjawat awam dengan penduduk Malaysia ialah 1:21 yang dilihat ideal dan bersesuaian untuk menyampaikan perkhidmatan efisien kepada rakyat.

Justeru, pandangan bahawa kita mempunyai penjawat awam berlebihan adalah kurang tepat.

Dalam konteks ini kita perlu berfikir lebih rasional dan matang dengan mengambil kira peranan dimainkan semua penjawat awam sejak PKP dalam persekitaran kerja norma baharu.

Hakikatnya, operasi perkhidmatan awam adalah pada kadar 100 peratus di mana kakitangan awam bertugas secara bergilir, sama ada di pejabat secara fizikal (30 peratus) mahupun bekerja dari rumah (70 peratus).

Jadi tidak timbul soal bilangan penjawat awam berlebihan, mereka dicutikan atau tidak bekerja sepanjang tempoh PKP, mahupun PKPB.

Percayalah, 70 peratus kakitangan awam bekerja dari rumah mempamerkan sikap tanggungjawab dan amalan integriti cukup tinggi.

Ini dapat dilihat ketika negara diancam wabak dan kerajaan terpaksa menguatkuasakan PKP, penjawat awam terus bekerja dari rumah dengan amanah dan disiplin tinggi sehingga semua perkhidmatan kerajaan berjalan lancar.

Hasilnya, rakyat tidak merungut, sebaliknya terus mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan baik secara fizikal mahupun dalam talian.

Kita akui PKP membuka lebih banyak peluang kepada perkhidmatan awam memperkenalkan perkhidmatan dalam talian, di mana kerajaan juga berusaha keras mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Namun, itu bukan bermaksud kita perlu mengurangkan bilangan penjawat awam kerana harus diingat masih banyak tugasan memerlukan sentuhan fizikal seperti semakan dokumen dan borang permohonan pelbagai perkhidmatan yang perlu ditentukan kesahihan.

Malah, perkhidmatan sosial seperti pegawai kebajikan masyarakat juga masih perlu turun padang secara fizikal membuat pemeriksaan dan menghulurkan bantuan kepada rakyat ditimpa pelbagai musibah.

Tegasnya, penjawat awam terus berkhidmat cemerlang dengan memberikan komitmen tidak berbelah bahagi selaras nilai 'Kepercayaan Untuk Berkhidmat' dan dipacu prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient seperti sering dianjurkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Harapannya, jangan ada lagi pihak membangkitkan soal bilangan penjawat awam, sebaliknya hargai segala inisiatif dan kerja keras golongan ini yang membantu memastikan perkhidmatan awam beroperasi seperti biasa walaupun ketika krisis.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 2 January 2021

INSTITUSI PENDIDIKAN KPM AKAN DIBUKA IKUT TAKWIM PENGGAL PERSEKOLAHAN

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi pendidikan swasta (IPS) berdaftar dengan kementerian itu, termasuk sekolah antarabangsa, akan dibuka berdasarkan takwim penggal persekolahan serta institusi pendidikan bagi 2021.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, takwim berkenaan boleh dirujuk dalam laman sesawang: www.moe.gov.my/takwim, manakala takwim bagi IPS pula adalah berdasarkan tarikh penggal persekolahan institusi masing-masing.

"Pembukaan ini membabitkan institusi pendidikan di seluruh negara, termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

KPM menegaskan, pengoperasian semua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi Dalam Norma Baharu.

Katanya, KPM akan sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian institusi pendidikan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan. 

BERNAMA ONLINE