Saturday, 11 June 2022

KPM SIAP KERTAS KERJA TINGKAT INTERNET SEKOLAH

Radzi (kanan) menyempurnakan simbolik pelancaran FELDA Digital Maker Hub Coding & Robotic di SK Sahabat 4, sambil diperhatikan Idris (dua, kanan)

LAHAD DATU: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan pada mesyuarat Kabinet menteri berkaitan keperluan meningkatkan kemudahan internet di semua sekolah di negara ini, supaya selari dengan pelaksanaan pendigitalan pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata proses penyediaan kertas kerja itu kini di peringkat akhir yang turut membabitkan pandangan semua pihak dalam kementerian.

"Kita mahu melaksanakan satu rangkaian internet di sekolah yang lebih meluas, berbanding sekarang yang hanya ada di tiga tempat iaitu bilik sekolah, pusat sumber dan pejabat sekolah.

"Jika bercakap mengenai pendigitalan pendidikan, perkara paling penting adalah untuk memastikan akses internet sekolah lebih meluas khususnya dalam kawasan bilik darjah, asrama dan seluruh sekolah," katanya selepas majlis pelancaran FELDA Digital Maker Hub- Coding and Robotic (FDMH) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat 4, FELDA Sahabat dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh.

Radzi berkata, proses menaik taraf internet membabitkan lebih 10,000 sekolah di negara ini memerlukan perbelanjaan bernilai berbilion ringgit.

Ketika berucap, beliau memuji usaha dan komitmen FELDA mewujudkan landskap pendidikan digital di luar bandar dengan pelaksanaan FDMH di 19 SK di kawasan FELDA setakat ini dan memberi manfaat 3,483 murid sekolah.

"Dalam tempoh dua tahun setengah ini, saya harap semua 270 sekolah di FELDA terbabit FDMH," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, pelaksanaan inisiatif FDMH membabitkan kos RM4.05 juta yang akan diperoleh melalui kaedah penajaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi menyemarakkan pembabitan komuniti dalam pendidikan generasi baharu FELDA.

"Penajaan ini bagi menyediakan kelengkapan asas robotik dengan kos RM15,000 bagi sebuah sekolah.

"Inisiatif ini menjadi sebahagian aktiviti kokurikulum akan dijalankan melalui kelab robotik sekolah dan mampu menjadi platform meningkatkan kecemerlangan murid," katanya.

Beliau berkata, KPM akan bertanggungjawab memastikan pelaksanaan aktiviti itu dijalankan dengan baik, manakala FELDA akan menyediakan latihan kepada guru reka bentuk dan teknologi berkaitan, bagi memastikan penyampaian serta pelaksanaan aktiviti kepada murid dibuat secara berkesan.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 9 June 2022

2 SEKOLAH MALAYSIA TERSENARAI 10 TERATAS ANUGERAH SEKOLAH TERBAIK DUNIA




KUALA LUMPUR: Dua Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang, tercalon bagi kategori 'Inovasi' manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor tercalon bagi kategori 'Menangani Cabaran'.

T4 Education dalam kenyataan hari ini, berkata anugerah dilancarkan pada tahun ini dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai AS$250,000.

Katanya, tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Pemenang bagi setiap kategori yang akan diumum pada Minggu Pendidikan Dunia pada 16 hingga 21 Oktober depan akan menerima AS$50,000.

Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata, sekolah disenarai pendek itu dipilih menerusi penceritaan kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid, membawa perubahan sebenar kepada komuniti dan menjadi sekolah contoh kepada orang ramai.

"Saya mengucapkan tahniah kepada SK Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan.

"Kini, pendidik di seluruh dunia akan dapat belajar daripada sekolah Malaysia yang cemerlang ini," katanya. 

BERNAMA ONLINE


Wednesday, 8 June 2022

PBS LEBIH INKLUSIF, MENYELURUH NILAI PELAJAR

KUALA LUMPUR: Kaedah pembelajaran baharu menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat lebih inklusif dan menyeluruh dalam menilai potensi sebenar pelajar di peringkat sekolah untuk membina generasi baharu yang hebat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Kokurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata penilaian menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) mampu memberi indikasi tepat bagi pencapaian dan kelemahan pelajar.

Beliau berkata, pentaksiran berdasarkan tiga komponen itu melalui proses pembelajaran secara berterusan (formatif) dan peperiksaan akhir tahun membolehkan guru serta ibu bapa mengambil langkah intervensi bagi memperkasa pencapaian pelajar.

"Guru akan memberi ulasan dan penilaian berdasarkan pencapaian serta usaha anak murid dalam sesuatu mata pelajaran. Ia akan dihimpunkan oleh guru kelas menjadi satu bentuk laporan penilaian kepada guru dan ibu bapa.

"Sama juga dengan PAJSK, dari segi pembabitan sukan, kokurikulum, pertandingan, semua akan dinilai dan diberi gred.

"Setiap murid akan ada laporan penilaian bersifat tulen. Jadi, ibu bapa akan tahu anaknya menguasai mata pelajaran apa, kemahirannya dan apa perlu ditambah, sama juga kepada pendidik murid itu di peringkat seterusnya," katanya ketika mengulas topik Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2022 dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan ujian PT3 yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini.

PT3 sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19.

Pada April tahun lalu, Radzi mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021, sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS, manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Pkharuddin berkata usaha itu juga mampu memantapkan sistem pendidikan negara ke tahap lebih berkualiti dengan adanya standard baharu menerusi pelaksanaan Bank Soalan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan menghimpunkan soalan berkualiti daripada guru di seluruh negara.

Mengulas persediaan KPM mendepani perubahan baharu itu dalam sistem pendidikan, beliau berkata, panduan pentaksiran untuk guru dan kesiapsiagaan di peringkat struktur sudah dilaksana.

"Dari segi struktur, kita sudah ada pegawai kokurikulumnya, mereka akan bantu guru tafsir. Kita ada pelatih untuk beri bimbingan kepada guru. Panduan dan dokumen juga kita sudah ada. Benar, mungkin ada cabaran tetapi saya yakin guru kita mempunyai keupayaan tinggi.

"Guru kita boleh dilatih dan diberi kemahiran baharu dan saya yakin mereka akan menjaga integriti untuk tafsir. Apabila kita sudah lihat penilaian formatif dan sumatif itu, ketika itu saya yakin ibu bapa akan sedar sistem dan pelaporan yang baharu ini jauh lebih berkualiti," katanya.

Pkharuddin berkata, PBS bukan saja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran menyeronokkan kepada pelajar dengan pendekatan bersifat eksplorasi, malah berpotensi melahirkan generasi berkeyakinan tinggi.

Beliau berkata, sistem pendidikan di negara maju seperti Finland, Jepun, Australia dan New Zealand juga memfokus kepada pembentukan sahsiah murid dari peringkat awal, pembelajaran melalui eksplorasi, inkuiri dan berasaskan projek bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif.

BERNAMA ONLINE

Monday, 16 May 2022

KPM ANGKAT INSIATIF, INOVATIF GURU

Radzi bersama sebahagian penerima anugerah pada Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok

BACHOK: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi perhatian terhadap segala inovasi dan inisiatif yang dihasilkan oleh guru, untuk diperkembangkan kepada sekolah lain.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia berikutan usaha yang dilakukan setiap guru terbabit kini hanya kekal di sekolah berkenaan sahaja.

"Semalam saya hadir Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald's dan hari ini Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di mana hasil usaha kreatif guru diangkat dengan pemberian anugerah.

"Justeru, kementerian akan mengambil pendekatan untuk melihat usaha terbaik yang dilakukan guru pemenang anugerah ini, sekiranya sesuai untuk dikembangkan di sekolah lain, supaya ilmu itu dapat disampaikan secara menyeluruh.

"Apa yang kita lihat terdapat inovasi yang dilakukan guru-guru ini boleh digunakan secara meluas kerana kos yang tidak tinggi, mengambil masa yang cepat serta pendekatan yang mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad YGMB, Aminudin Adam.

Pada majlis berkenaan, Radzi turut menyampaikan anugerah kepada 27 guru membabitkan enam kategori anugerah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, dalam konteks pendidikan, Malaysia bukan bersaing di dalam negara sahaja sebaiknya perlu bersaing di peringkat dunia.

"Jika negara lain bergerak ke hadapan dan kita masih kekal dengan budaya, sikap dan pendekatan yang lama, maka kita akan terus ketinggalan.

"Kita ketinggalan bukan kerana kita di belakang, sebaliknya negara lain terus ke hadapan. Sebab itu apa yang penting dalam kita menyambut Hari Guru, ini adalah masa untuk kita membuat perubahan dalam struktur pendidikan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 15 May 2022

BAKTI GURU NADI TRANSFORMASI PENDIDIKAN


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Khidmat bakti, pengorbanan dan usaha guru negara ini yang menjadi pendukung utama pelbagai transformasi pendidikan terutama ketika pandemik COVID-19, wajar dikenang serta dihargai semua pihak.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, berkata penularan COVID-19 menyebabkan pendidikan anak-anak terkesan dengan cabaran dalam era pandemik yang menyaksin perubahan penyampaian pengajaran dan pembelajaran.

"Atas keprihatinan dan tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM), pendidikan anak-anak perlu diteruskan dengan pelbagai kaedah termasuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian, luar talian atau off-site.

"Pengalaman PdPR memberi ruang dan peluang kepada guru dalam meningkatkan kemahiran teknologi digital, juga kepada murid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 2022, hari ini.

Nor Zamani berkata, peningkatan kemahiran digital dalam kaedah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) turut berlaku apabila pengoperasian sekolah dibuka secara bersemuka.

"Penggunaan aplikasi teknologi digital diteruskan dalam PdPc supaya pendidikan negara kekal relevan seiring perkembangan teknologi tanpa mengabaikan nilai murni dalam kehidupan kita.

"Sehubungan ini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut memberi penekanan kepada pembudayaan amalan baik untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif melalui Anjakan Ketiga iaitu 'Melahirkan Rakyat yang Menghayati Nilai'," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai matlamat melahirkan insan yang seimbang, harmoni dan sejahtera, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA.

Katanya, ia merangkumi 14 elemen iaitu selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

"Konsep ini bertujuan memupuk dan membudayakan amalan nilai murni dalam kalangan warga sekolah serta mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

"Saya yakin suasana sekolah yang selamat, aman, selesa dan menggembirakan dapat menarik minat serta semangat murid hadir ke sekolah setiap hari.

"Ini penting supaya suasana sekolah yang kondusif dan menyeronokkan menjadi tarikan untuk anak-anak mengikuti PdPc serta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kokurikulum bagi memastikan kemenjadian murid," katanya.

Beliau berkata, konsep Sekolahku SEJAHTERA turut bermatlamat menambah baik peranan guru sebagai pemboleh daya penerapan elemen SEJAHTERA.

Katanya, penerapan elemen SEJAHTERA dalam kalangan murid perlu dilaksanakan secara menyeluruh di dalam dan luar sekolah yang membabitkan aktiviti berstruktur meliputi kurikulum dan kokurikulum.

BERITA HARIAN ONLINE

GURU TUNJANG UTAMA EKOSISTEM PENDIDIKAN

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menerap nilai murni dalam kalangan murid menjadikan guru sebagai tunjang penting ekosistem pendidikan, khususnya ke arah menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemilihan 'Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA' sebagai tema Sambutan Hari Guru tahun ini bertepatan dalam menghargai peranan guru secara menyeluruh.

"Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, malah berusaha memastikan murid mempunyai sahsiah yang baik serta daya saing yang tinggi.

"Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51, hari ini.

Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.

SEJAHTERA merangkumi 14 elemen iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jatidiri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi.

Radzi berkata, penerapan melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA dapat disampaikan melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah, secara langsung atau tidak.

Katanya, elemen 'Selamat' memastikan persekitaran sekolah aman, tenteram dan terpelihara daripada ancaman serta bahaya, manakala 'Sihat' memastikan penjagaan kesihatan fizikal dan mental khususnya dalam aspek pemakanan serta kebersihan diri dan persekitaran.

"Dalam menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA ini, peranan guru bukan hanya tertumpu menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi juga membimbing murid membentuk keperibadian unggul.

"Saya yakin generasi yang dilahirkan oleh guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, tetapi turut memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara," katanya.

Beliau turut berharap penghayatan terhadap tema Hari Guru tahun ini meningkatkan usaha golongan pendidik untuk membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.

"Guru adalah ikon penting yang diamanahkan untuk mendidik, mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid yang berkeperibadian unggul.

"Penerapan elemen SEJAHTERA secara semula jadi sejak dari peringkat awal persekolahan akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi generasi berikutnya," katanya.

Radzi turut meminta guru terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 11 May 2022

13,370 GURU PENGAMBILAN 'ONE-OFF' SUDAH BERADA DI SEKOLAH

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seramai 13,370 pegawai pendidikan gred DG41 melalui pengambilan khas guru secara 'one-off' sudah ditempatkan di sekolah di seluruh negara setakat hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata, ini menjadikan sebanyak 87 peratus daripada keperluan asal guru sudah diisi.

"Keperluan kita adalah 18,702 orang. Sehingga 11 Mei 2022, kita telah tempatkan 13,370 orang guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Jadi saya ucapkan tahniah kepada yang berjaya dan buatlah yang terbaik dalam mendidik anak-anak didik di sekolah kalian," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memutuskan pengambilan 2,400 orang guru kontrak perkhidmatan (COS) untuk mengisi keperluan berkenaan.

"Tidak semua baki (daripada jumlah keperluan guru) akan diisi oleh COS, hanya 2,400 tempat. Ini menjadikan secara keseluruhan, 87 peratus daripada keperluan asal seramai 18,702 orang akan dapat dipenuhi dengan pengambilan ini," katanya.

Radzi turut memberitahu, baki guru yang diperlukan iaitu seramai 2,932 orang lagi diperuntukkan khusus untuk pengambilan guru bagi mata pelajaran yang termasuk dalam keperluan mendesak.

"Baki ini untuk mata pelajaran yang kita sukar mendapat bekalan daripada pasaran termasuk mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Pendidikan Seni Visual dan mata pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC), itu antaranya," katanya.

Bagi pengambilan guru untuk keperluan khusus itu, Radzi berkata, tawaran kepada calon yang berjaya akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum 31 Mei ini.

Pada Jun tahun lalu, Mohd Radzi mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara 'one off' untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Beliau dilaporkan berkata, KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai 2021 dan penempatan secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober iaitu pengambilan guru paling terbesar setakat ini.

BERITA HARIAN ONLINE