Friday, 19 July 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN GIAT KUMPUL MAKLUMAT PELAKSANAAN SEMULA PPSMI


JASIN, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat mengumpul maklumat dan pandangan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata langkah itu diambil bagi melakukan penambahbaikan terhadap dasar berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh.

Beliau berkata setakat ini, pihak sekolah boleh memilih sama ada untuk menyertai ataupun tidak 'Dual Language Programme' (DLP) yang diperkenalkan oleh KPM yang mana memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Beri kita sedikit masa untuk melakukan kajian dan mendapatkan maklum balas (secara komprehensif) berhubung isu PPSMI memandangkan KPM tidak mempunyai sebarang tempoh yang tertentu terhadap pelaksanaan semula dasar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu bernilai RM600,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jasin Lalang, di sini hari ini.

Terdahulu, Teo turut melakukan lawatan kerja ke projek pembinaan makmal komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah di sini yang dijangka siap pada 11 Nov depan dengan kos RM676,000.

Turut serta dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Wong Fort Pin dan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata pelaksanaan semula dasar itu sedang dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT) agar pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah sekali gus dapat dinikmati oleh semua murid dan pelajar.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.


BERNAMA ONLINE

Wednesday, 17 July 2019

KPM SAMBUT BAIK SARANAN TUN M BERKAITAN ISU PPSMI


Dr. Maszlee Malik
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata pihaknya sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara ini dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.
"KPM sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan anak-anak kita supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.
"Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, KPM sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula dasar PPSMI selaras dengan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).
Perdana menteri berkata melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.
SINAR HARIAN ONLINE

PENSTRUKTURAN PEGAWAI PENDIDIKAN PERLU DIPERHALUSI

Noor Effandi Ahmad

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri berharap Kementerian Pendidikan perhalusi kaedah penstrukturan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Gred DG42 ke bawah

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad berkata, pegawai yang berusia 55 tahun ke atas dilihat tidak sesuai untuk bertukar jawatan sebagai tenaga pengajar di sekolah dah seharusnya diberikan pengecualian pertukaran.

Menurutnya, pihaknya bimbang penstrukturan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada Disember depan akan memberikan impak negatif, bukan sahaja kepada individu terlibat, malah tidak mustahil kepada kecemerlangan prestasi sekolah.

"Jika pegawai Gred DG42 dan ke bawah itu dipindahkan untuk mengajar, ia akan menjejaskan motivasi mereka selain semangat ketidaksediaan untuk mengajar kerana majoriti mereka telah meninggalkan dunia pengajaran lebih 10 tahun dan hampir bersara.

"Apa yang kita risaukan, ia akan memberi kesan pada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), mungkin juga akan menimbulkan pelbagai isu hingga boleh mengganggu sistem pendidikan negara," katanya.

Effandi berkata demikian kepada pemberita di luar dewan selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Katanya, walaupun pelaksanaan berkenaan tidak membabitkan jumlah yang ramai iaitu sekitar 10 peratus daripada 500 pegawai yang berkhidmat di JPN serta tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Melaka, namun ia perlu diberikan perhatian.

Effandi yang juga Adun Telok Mas berkata, kerajaan negeri bagaimanapun menyokong penuh inisiatif Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan penstrukturan semula PPPM bagi memastikan kualiti pendidikan terjamin dan dapat diperkasakan.

"Namun, kita harap golongan hampir bersara ini tidak diabaikan dan dikekalkan dengan jawatan mereka yang sedia ada," katanya.

SINAR HARIAN ONLINE

KEMENTERIAN PENDIDIKAN KUMPUL PANDANGAN MENGENAI PPSMI

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan kajian terperinci berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Sambil menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat berhubung berhubung isu berkenaan.
Katanya, ia termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.
“Kementerian sememangnya sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara ini dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.
“Kementerian juga sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan anak-anak kita supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.
“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Dr Mahathir ketika menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, berkata kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem baharu.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, menerusi sistem dengan penggunaan teknologi maklumat (IT) itu, pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah.
Dengan penggunaan IT, katanya, kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.
Kementerian Pendidikan juga, kata Perdana Menteri, mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris kerana bahasa antarabangsa itu diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian.
BERITA HARIAN ONLINE

15 UNIVERSITI DAN AGENSI JALIN KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

NILAI, 16 Julai (Bernama) -- Lima belas universiti dan agensi hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama dengan kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Pendidikan (Institut Pendidikan Guru-IPG) di IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek di sini.

Universiti terlibat ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sultan Azlan Shah, Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Kolej Universiti Islam Melaka dan Cyberlink International College.

Agensi pula membabitkan Dewan Bahasa dan Pustaka, LeapEd Services Sdn Bhd dan Malaysian Research and Innovation Society.

MoU dan Nota Kerjasama itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamad yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Gazali Abas, dengan wakil-wakil universiti dan agensi terbabit.

Gazali dalam ucapannya berharap dengan termeterainya MoU dan Nota Kerjasama ini akan membolehkan IPG bekerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, latihan, kumpulan pemikir dan konsultasi dalam tempoh lima tahun akan datang dijelmakan untuk manfaat bersama demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

"Diharapkan agar usaha dan kolaboratif ini akan membuahkan hasil sebagaimana hasrat, matlamat dan misi yang ditetapkan. Perkara ini amat penting kerana telah menjadi matlamat strategik Kementerian Pendidikan bagi melonjakkan kecemerlangan IPG sebagai institusi latihan guru terkemuka dalam pentas antarabangsa dan arena global.

"Semoga jalinan kerjasama ini akan memberi impak tinggi kepada negara dan generasi akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara," katanya menerusi ucapan yang dibacakan Kamel.


BERNAMA ONLINE

UMUR MENGUNDI 18 TAHUN




UMUR MENGUNDI 18 TAHUN
Sumber : Parlimen Malaysia & Bernama


Tuesday, 16 July 2019

KERAJAAN KAJI PERKENAL SEMULA PPSMI


Dr Mahathir menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menggunakan sistem baharu.
Perdana Menteri berkata, menerusi sistem dengan penggunaan teknologi maklumat (IT) itu, pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah.
Dengan penggunaan IT, katanya, kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.
“Kementerian Pendidikan turut mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris kerana bahasa antarabangsa itu diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian.
“Malah, penguasaan bahasa Inggeris turut diambil kira dalam peluang bekerja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan berhubung PPSMI, sama ada akan diteruskan semula dalam bentuk sama atau dengan pembaharuan.
Berbeza subjek seperti Geografi dan Sejarah, Dr Mahathir berkata, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasa dibuat dalam bukan bahasa Melayu.
“Untuk menguasai ilmu baharu, bahasa Inggeris menjadi penting manakala terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dalam bahasa Sains Melayu dan Inggeris serta memahami ilmu baharu yang ingin dialih bahasa.
“Sebaliknya, jika seseorang fasih dalam bahasa Sains Inggeris, ia dapat akses secara langsung kepada ilmu yang baharu,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Fahmi sama ada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) memberi pandangan berhubung PPSMI, Perdana Menteri berkata, majlis itu ada menyatakan pendapat.
Dr Mahathir berkata, penyelidikan dan kajian MPPK mendapati ramai mahukan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, namun ada juga pihak berkeras mahu ia dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
“Sains dan Matematik bukan ilmu yang diteroka dalam bahasa Melayu, sebaliknya bahasa lain.
“Kalau kita tidak faham, maka sukar untuk kita terjemah ke bahasa Melayu. Oleh itu, peneroka ilmu baharu perlu ada akses secara langsung dalam bahasa berkenaan.
“Zaman dulu, bahasa ilmu adalah Greek dan orang Arab turut membaca dalam bahasa Greek dan bahasa lain.
“Mereka (orang Arab) menguasai ilmu ini sehingga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.
“Apabila orang Arab menolak Sains dan Matematik, orang Eropah memperkenalkan ilmu baharu dalam bahasa mereka sehingga menjadi ilmu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, rakyat tidak boleh menunggu orang lain menterjemahkan ilmu Sains dan Matematik ini ke dalam bahasa Melayu semata-mata kerana kedua-keduanya pantas berkembang seperti pengenalan IT dan ilmu kecerdasan buatan (AI).
Justeru, Dr Mahathir berkata, bahasa Inggeris perlu dipelajari dan dikuasai secara mendalam.
“Jika tidak, sukar untuk kita mendapatkan terjemahan ilmu ke dalam bahasa kita. Perasaan kebangsaan mungkin mendorong kita mengekalkan bahasa sendiri, namun ini menyebabkan bangsa kita tidak berkembang maju,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE