Friday, 7 February 2020

PPSMI PERLUKAN PENELITIAN LEBIH MENDALAM

Tan Sr Dr Rais Yatim.
KOTA BHARU: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah, memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh.
Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata penelitian perlu dilakukan dengan mengambil kira latar belakang pendidikan negara dan Perlembagaan Persekutuan, selain peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.
Katanya, Akta Pendidikan khasnya mewajibkan pengajaran semua subjek dalam bahasa kebangsaan.
“Jadi, sekiranya Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Inggeris, ia perlu disegmenkan iaitu diajar dalam peringkat tertentu dalam bahasa Inggeris, tidak boleh semuanya sekali gus.
“Kemahiran bahasa Inggeris tidak boleh dicapai dengan pengajaran Matematik dan Sains. Murid Melayu perlulah belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukannya menerusi Matematik dan Sains begitu sahaja.
“Ketika isu ini bangkit pada 2003, kita berpendapat Kementerian Pendidikan perlu menjurus kepada bina dan keutuhan bangsa dengan bahasa Melayu. Sekiranya bahasa Inggeris diberi tahap tinggi, bahasa Melayu akan berada di paras bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Sepakat Anak Seni di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kerajaan perlu terus berusaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Katanya, dalam konteks itu, perancangan komprehensif harus dibuat dan beliau memohon supaya PPSMI tidak dilihat dari sudut politik.
“Saya menyarankan kedudukan bahasa Melayu sebagai tiang seri tamadun kita didukung. Tidak pula saya kata Matematik dan Sains tidak boleh diajar dalam bahasa Inggeris.
“Boleh diajar tetapi menerusi segmen dan pilihan. Terserah kepada Kementerian Pendidikan untuk beri perhatian secara profesional dan tidak boleh membuat pengumuman begitu sahaja mengikut selera politik,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

KPM AKAN KAJI PELAKSANAAN PPSMI UNTUK DIBAWA KE JEMAAH MENTERI


KUALA LUMPUR: Saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), akan dikaji oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
KPM dalam satu kenyataan menyebut bahawa sambil mengambil baik saranan itu, kajian yang dilakukan akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum pelaksanaannya
“Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bukanlah perkara baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Walaupun KPM telah memansuhkannya secara berperingkat-peringkat mulai 2012, namun Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
“Sehingga Januari 2020, sebanyak 2,292 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan DLP,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa Dr Mahathir merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah menyatakan pandangan beliau berhubung kepentingan murid mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Pandangan itu dilontarkan Dr Mahathir dalam sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi KPM pada 30 Januari lalu.
“Dr Mahathir berpendirian bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris,” menurut kenyataan itu.
Dr Mahathir semalam dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan masih menimbang sama ada untuk melaksanakan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat mengikut pendapat majoriti anggota Kabinet.
BERNAMA ONLINE

Thursday, 6 February 2020

PEMAHAMAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS, MUDAHKAN SESEORANG MEMAHAMI ARAHAN

PERDANA Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Amanat dan Aspirasi Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
PUTRAJAYA: Pemahaman Sains dalam bahasa Inggeris memudahkan seseorang memahami arahan yang diberi, berikutan bahasa itu kerap diguna dalam industri.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ilmu Sains kebanyakannya datang dalam bahasa Inggeris.
Beliau yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, biarpun ia boleh diterjemah ke bahasa Malaysia, namun perkataan digunakan bukan bahasa Inggeris biasa, justeru terjemahannya mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.
"Hari ini pun kita dapati mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi sains antarabangsa
kerap diadakan.
“Biasanya bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam bahasa Inggeris, Sains maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan," katanya ketika menyampaikan berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, pagi ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Dr Mahathir berkata, sebagai seorang Melayu, beliau sayangkan bangsa dan bahasa Melayu.
Namun, katanya, pertimbangan perlu diberikan kepada kemajuan bangsa.
"Sebenarnya, jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.
"Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata “Sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan”. Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih daripada hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Sains bukan satu ilmu yang statik, sebaliknya ada sahaja perkara baharu yang dikenali dan
diperalatkan setiap hari.
Berikutan itu, katanya, amat sukar untuk memahami, menterjemah dan mentafsirkan ke dalam bahasa Melayu.
Katanya, negara juga tidak mungkin mempunyai pakar sains yang akan menterjemahkan, berpuluh-puluh kertas hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang setiap hari.
"Jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu, kita akan ketinggalan kerana tidak mengguna ilmu ini. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baharu yang dicipta," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, negara ini ada tiga kaum utama, jika Sains diajar menggunakan bahasa Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan dan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan berkemungkinan mereka yang menguasai bahasa itu hanya akan berbincang sesama sendiri.
"Dalam bidang Sains ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa Kebangsaan, Mandarin dan Tamil berbincang sesama mereka," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

QUOTE PM MAHATHIR DI MAJLIS AMANAT & ASPIRASI KEMENTERIAN PENDIDIKAN




Sumber : Bernama Online
PM MAHATHIR DI MAJLIS AMANAT & ASPIRASI KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Wednesday, 5 February 2020

TOLAK PPSMI JIKA KPM TIDAK SEDIA

Presiden KONGRES, Anuar Hussien.
JERANTUT: Kongres Guru Dalam Perkhidmatan Malaysia (KONGRES) meminta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 2.0 tidak dilaksanakan jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bersedia sepenuhnya.
Presidennya, Anuar Hussien, berkata melaksanakan PPSMI dalam keadaan terburu-buru akan hanya meruntuhkan keseluruhan sistem pendidikan.
Katanya, KPM perlu menyediakan tenaga pengajar yang secukupnya serta mahir untuk subjek berkaitan terlebih dahulu selain dalam masa sama, perlu meneliti kesediaan guru sedia ada serta buku teks yang sesuai.
“Tempoh persediaan itu mengambil masa kerana setiap sudut perlu diperhalusi, jika tidak ia hanya akan menimbulkan masalah kemudian hari seperti beberapa program yang dilaksanakan KPM sebelum ini.
“Jangan jadikan guru dan murid bahan uji kaji, dan kekerapan perubahan yang berlaku secara mendadak akan memberi kesan jangka panjang yang negatif.
“Kita bimbang sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan itu nanti, guru dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan,” katanya.
Anuar berkata, bukan semua guru bahasa Inggeris boleh mengajar sains dan matematik begitu juga sebaliknya malah ketika ini berlaku guru mengajar subjek yang bukan kemahiran mereka.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), berkata perlaksanaan PPSMI sebelum ini gagal berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.
“Kajian itu mendedahkan kegagalan PPSMI berikutan ketidakupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris dan bukan disebabkan mereka tidak tahu subjek matematik dan sains.
“Kesilapan ini tidak harus diulang dan sewajarnya baiki kurikulum subjek bahasa Inggeris bukan menyentuh sains dan matematik,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 3 February 2020

KEMASUKAN KE INSTITUT PENDIDIKAN GURU 2020

Maklumat lanjut mengenai Syarat Umum, Syarat Akademik dan Syarat Bidang Pengkhususan boleh di dapati di http://bit.ly/pismpIPG atau http://bit.ly/pismp2020


Sumber : Facebook rasmi Institut Pendidikan Guru KPM
KEMASUKAN KE INSTITUT PENDIDIKAN GURU 2020

ULANGI KESILAPAN JIKA KEMBALI AJAR SAINS DAN MATEMATIK GUNA BAHASA INGGERIS

Gambar fail, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman .
KOTA BHARU: Kerajaan bakal mengulangi kesilapan lama, seandainya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan murid dan pelajar di negara ini, kembali dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A Aziz Deraman, berkata pelaksanaan kali pertama dahulu sudah membuktikan kesan negatif dengan kemerosotan pencapaian pelajar bagi menguasai kedua subjek penting itu.
Beliau berkata, Bahasa Melayu yang sekian lama digunakan sudah lengkap bagi tujuan penyampaian ilmu di semua peringkat dengan istilah serta padanan yang mencukupi.
“Tahap penguasaan Bahasa Melayu pun masih rendah dalam kalangan sebahagian pelajar terutama di luar bandar, apatah lagi tahap pencapaian Bahasa Inggeris mereka.
“Ilmu sepatutnya disampaikan dalam bahasa kebangsaan tetapi tentulah dengan tidak menolak kepentingan bahasa komunikasi antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
A Aziz berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pakar pendidikan, sarjana, ilmuwan dan bahasawan apabila mahu membuat keputusan penting itu dalam bidang pendidikan.
Katanya, pemikiran kolektif perlu ada dan perlu mengelak keputusan yang semata-mata mahukan penguasaan bahasa Inggeris yang tidak didasarkan kepada aspek pedagogi atau sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang betul.
“Para ilmuwan dan pakar pendidikan digesa untuk memandu kerajaan dalam membina sistem dan dasar pendidikan yang komprehensif dan menuju kemajuan masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Dalam senario masa kini, kita lebih perlu melihat semula seluruh kurikulum pendidikan kebangsaan demi mencapai matlamat perpaduan bangsa Malaysia yang kian retak dan jati diri negara yang semakin luntur,” katanya.
Mengulas lanjut, A Aziz berkata, strategi, kaedah serta pendekatan yang betul dan benar mesti dicari dengan merujuk kepada pelbagai pengalaman dalam pembangunan negara dan pembinaan bangsa bersandarkan pengalaman pelbagai negara maju yang lain.
Bagaimanapun katanya, hal itu tidak bermakna rakyat Malaysia tidak perlu mempelajari atau menguasai beberapa bahasa utama dunia misalnya bahasa Inggeris, malah bahasa lain juga memang penting dikuasai sebagai wahana komunikasi.
“Penarikan balik dasar sebelum ini oleh kerajaan sendiri sudah cukup memberikan pedoman yang berfaedah dan kita tidak mahu pisang berbuah dua kali,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE