Friday, 16 December 2022

BORANG CADANGAN PESANAN BAHAN PERPUSTAKAAN


Borang Cadangan Pesanan Bahan Perpustakaan boleh dimuat turun di pautan berikut:


Klik untuk muat turun

Thursday, 15 December 2022

KPM AKTIFKAN SEMULA MAJLIS PENASIHAT PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996 secepat mungkin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata MPPK akan dipengerusikannya sendiri dan dianggotai 15 ahli yang dipilih terdiri daripada pemegang taruh dalam bidang pendidikan termasuk aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.

“Dengan adanya MPPK ini nanti diharapkan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.

“Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Fadhlina berkata pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk mencadangkan nama individu bersesuaian untuk menganggotai MPPK dan senarai ahli yang terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau berkata KPM akan meneruskan dasar pendidikan sedia ada dan melakukan penambahbaikan proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.

Ditanya sama ada KPM akan melaksanakan satu daripada perkara di bawah manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu pengikitafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), beliau berkata ia bukan menjadi keutamaan KPM pada masa ini, sebaliknya tumpuan utama Kerajaan Perpaduan adalah untuk menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Menurut beliau, apa-apa isu terkait rapat termasuk yang dibangkitkan sekarang seperti UEC akan diilhat dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keutamaan.

Sementara itu, mengenai rungutan guru-guru berhubung isu penempatan semula yang didakwa tidak telus, Yusran Shah berkata pihaknya mengambil maklum akan aduan tersebut.

“Tujuan asal (penempatan semula) adalah untuk memastikan guru-guru ini tidak berkhidmat terlalu lama di sesebuah sekolah, ada yang berkhidmat sampai 20 tahun di sesebuah sekolah, jadi kita nak lihat ada perubahan.

“Walau bagaimanapun kita juga menyedari akan pandangan dari guru-guru tentang kesukaran mereka apabila berlaku penempatan semula. Oleh itu, di peringkat kementerian kita dah ada beberapa perbincangan untuk penambahbaikan dari segi penempatan semula itu sendiri,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 13 December 2022

HUI YING FOKUS NAIK TARAF SEKTOR PENDIDIKAN NEGARA

Lim Hui Ying mengimbas kad akses bagi memulakan tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sambil disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Majlis Lapor Diri Timbalan Menteri Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Putrajaya.

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Lim Hui Ying akan terus berganding bahu bersama warga kementerian dalam menaik taraf sektor pendidikan di negara ini.

Hui Ying berkata, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana yakin kemampuannya untuk menjawat jawatan berkenaan.

"Saya rasa amat bangga kerana ini hari pertama saya memasuki kementerian ini, apa yang penting saya akan memberi sokongan penuh terutamanya kepada YB Menteri (Fadhlina Sidek) untuk menaik taraf pendidikan di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di kementeriannya, hari ini.

Hui Ying yang tiba di kementerian berkenaan jam 8.25 pagi itu turut diiringi Fadhlina, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Dalam pada itu, Hui Ying enggan mengulas lanjut ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa pemilihannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan disebabkan beliau anak veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau juga tidak mahu mengulas mengenai cadangan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).

"Tiada komen untuk isu itu, ini adalah hari pertama saya. Biar saya (dapatkan taklimat supaya) lebih faham berkaitan hal berkenaan (isu UEC)," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Hui Ying menewaskan dua pencabarnya selepas meraih majoriti 28,754 undi di Parlimen Tanjong.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 10 December 2022

FADHLINA DENGAR PANDANGAN MENGENAI ISU PENDIDIKAN

Fadhlina menenangkan adik, Mohamad Zafril Amsyar Mohd Hafiz, 8, yang akan berkhatan ketika Program Khatan Perdana Kadun Jawi 2022 pada Sabtu.

NIBONG TEBAL - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam proses mendengar dan mengambil pandangan daripada semua pihak berhubung beberapa isu bagi memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik.

Beliau berkata, berikutan Kementerian Pendidikan yang diterajuinya antara yang besar, adalah penting untuk mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak terlibat sebelum membuat sebarang pendirian berhubung pendidikan negara.


"Ada beberapa isu dalam pendidikan yang kita sedang lihat dan ketika ini proses saya mendengar serta mengambil pandangan daripada semua pihak terutama konsultasi kerana ia sangat penting kepada saya sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan Kementerian Pendidikan.

"Konsultasi ini melibatkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, pengarah-pengarah pendidikan, guru-guru, pemegang taruh, ibu bapa dan kanak-kanak sendiri. Saya akan mengambil semua pandangan serta kritikan diberikan oleh mereka secara serius," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu ditemui selepas hadir pada Program Khatan Perdana Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi. Program yang disertai 100 kanak-kanak itu dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.Sementara itu, Fadhlina berkata, satu sidang akhbar khas akan diadakan minggu depan bagi mengumumkan beberapa perkara terutama perkara berbangkit dan pendirian Kementerian Pendidikan berhubung isu pendidikan.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjung sebagai Timbalan Menteri Pendidikan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam Jumaat.

"Saya mengalu-alukan Ahli Parlimen Tanjung yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dan saya percaya pelantikan ini antara langkah memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik," katanya.

SINAR HARIAN ONLINE

Saturday, 3 December 2022

HARAP MENTERI BAHARU BERI KEUTAMAAN KEPADA PENDIDIKAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

Gambar hiasan

TASEK GELUGOR, 3 Dis (Bernama) -- Pengusaha Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) berharap pendidikan berkaitan program perkembangan awal kanak-kanak akan turut diberi keutamaan oleh Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Fadhlina Sidek.

Pengasas tadika swasta Tadika Khalifah Intelek, Rohani Abdul Ghani berkata segmen ini tidak diberi banyak tumpuan sebelum ini dan ini tidak mengoptimumkan kebolehan industri dalam mencungkil bakat serta menerapkan budaya kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

“Kita mempunyai harapan yang tinggi ke atas Menteri Pendidikan baharu agar mengutamakan pendidikan awal untuk kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah.

“Saya yakin dengan kebolehan beliau yang merupakan seorang peguam. Tambahan pula beliau selama ini memang aktif memperjuangkan isu wanita dan kanak-kanak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sambutan Festival Kanak-kanak Pulau Pinang 2022 di Pusat Konvensyen Perda di sini hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR dan Ahli Parlimen Nibong Tebal sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas semalam.

Sementara itu, festival yang dianjur oleh Tadika Khalifah Intelek dengan kerjasama Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) itu disambut meriah dengan kehadiran lebih 3,000 peserta bagi meraikan keunikan dan kekuatan setiap kanak-kanak.

Bertemakan “The Power of Children”, Rohani berkata festival tersebut dianjurkan bertujuan untuk menyediakan satu platform untuk kanak-kanak bertemu, bermain dan berkembang dari segi sosial, emosi dan fizikal.

BERNAMA ONLINE

FADHLINA SIDEK: DARIPADA AKTIVIS KEPADA MENTERI PENDIDIKAN

Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pengalaman sebagai aktivis dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam serta hal kebajikan kanak-kanak dilihat mampu membantu Fadhlina Sidek dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Pendidikan yang baharu.

Sebelum aktif dalam politik, Fadhlina, 45, banyak terlibat dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Kerjaya politik beliau bermula pada 2020 selepas menyertai PKR dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, sebelum memenangi pemilihan PKR untuk jawatan Ketua Wanita parti itu pada Julai tahun ini.

Beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara yang dilantik pada 1 Sept 2021 bagi mewakili Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Datuk Dr Siddiq Fadzil itu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih sebelum menamatkan alam persekolahan pada 1994 di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Kajang, Selangor.

Fadhlina kemudian melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan LLB (Syariah) pada 2002, selain meraih Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fadzli Arsad dan dikurniakan enam cahaya mata.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Fadhlina pertama kali dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal dan berjaya menewaskan penyandang Datuk Mansor Othman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 16,293 undi.

SINAR HARIAN ONLINE

AKTIVIS GUSAR KEUPAYAAN FADHLINA SEBAGAI MENTERI PENDIDIKAN

Gambar hiasan - pelajar sekolah

PETALING JAYA: Aktivis pendidikan meragui kemampuan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, untuk menerajui Kementerian Pendidikan, kerana beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, menyifatkan jawatan itu sukar dan dikhuatiri Ahli Parlimen Nibong Tebal itu akan mengambil masa yang lama untuk memahami permasalahan sistem pendidikan yang dihadapi.

"Isunya di sini bukan orang baharu atau tidak, tetapi latar belakangnya kerana semakan mendapati beliau adalah seorang peguam dan tiada pengalaman mengendalikan isu-isu pendidikan.

"Ini mungkin memakan masa jika beliau ingin bermula dari 'kosong'," katanya seperti dilaporkan oleh portal, FMT, sambil menyifatkan pelantikan ketua wanita PKR itu adalah di 'luar jangkaan'.

Sebelum ini, kumpulan itu antara yang lantang mendesak kerajaan supaya melantik menteri pendidikan yang berani memperkenalkan dasar progresif bagi memperbaiki sistem pendidikan, sekalipun cadangannya "tidak popular".

Dalam laporan sama, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, pula berharap Fadhlina boleh memainkan peranan untuk memperbaiki sistem pendidikan negara.

"Jadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa, bukan mendekati mereka dengan memperkenalkan sistem pendidikan satu aliran," katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap agar lebih banyak sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) selain diberi sokongan dan bantuan kewangan yang mencukupi.

"Pada masa yang sama, Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) harus diberi keutamaan dalam pelaburan," tambahnya.

Pada sidang media khas di Putrajaya malam tadi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR sebagai Menteri Pendidikan.

Fadhlina yang juga pengamal undang-undang, sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara.

Sebelum ini, aktivis dan peguam itu kurang berminat menceburi politik meskipun mempunyai hubungan rapat dengan PKR, melalui arwah bapanya, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Siddiq Fadzil yang juga orang kepercayaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang peguam syarie, Fadhlina juga pernah mengetuai pasukan peguam yang mewakili Anwar dalam kes qazaf yang dikaitkan dengan dakwaan seks luar tabii.

Sebaik menyertai PKR pada Julai 2020, Fadhlina cepat bangkit dalam parti itu. Mandat pertamanya adalah sebagai pengerusi biro guaman dan pembangunan komuniti, dan kemudiannya dilantik sebagai Senator lantikan dari Pulau Pinang.

BERITA HARIAN ONLINE