Thursday, 29 April 2021

PENJELASAN PKSK PERLU DIBUAT BERTERUSAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu lebih kerap menjelaskan bentuk konsep Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) supaya difahami semua pihak terutama guru, ibu bapa dan pelajar.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata ia bagi membolehkan pelaksanaan konsep pentaksiran baharu itu dilaksana secara terancang dan tidak dilihat terburu-buru tanpa persediaan mencukupi di peringkat pelaksanaannya.

"Guru diharap dapat memantapkan dan meningkatkan kecekapan diri dalam penguasaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) supaya keberkesanan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mencapai objektif dalam pengukuran dan penilaian murid," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas keputusan KPM memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Mohd Azizee juga mencadangkan sistem PKSK ditambah baik dari semasa ke semasa untuk melihat kemenjadian murid ke Sekolah Khusus adalah mereka yang benar-benar berkelayakan dan memenuhi objektif kewujudan sekolah khusus berkenaan.

Ogos tahun lalu, KPM memperkenalkan PKSK bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) serta Maktab Tentera Diraja (MTD).

Pelaksanaan PKSK merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).

Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian, manakala ujian Artikulasi Penulisan secara bertulis.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, memaklumkan pada November lalu bahawa pelaksanaan PKSK bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan serta akan diumumkan KPM kelak.

Menerusi pentaksiran baharu itu, antara kriteria lain diberi penekanan bagi kemasukan ke Sekolah Khusus adalah tahap pembabitan murid dalam aktiviti kokurikulum, sahsiah dan kepemimpinan, selain mengambil kira pelajar golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) atau mereka yang duduk di pedalaman.

Mohd Azizee berkata, pemansuhan UPSR adalah keputusan strategik yang dibuat selepas pelbagai sesi libat urus dilaksana KPM dengan semua pihak yang terkait dengan pendidikan khususnya kesatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

"Pengumuman ini perlu disambut dengan positif oleh semua pihak dan melihat kerangka pendidikan negara maju ke hadapan.

"Ia juga membolehkan kerangka fikir guru terhadap murid lebih universal dan melihat setiap murid mempunyai potensi serta bakat yang boleh dikembangkan, sesuai dengan keperluan pendidikan abad ke-21 dan negara menuju revolusi industri 4.0 (IR 4.0)," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Mohd Alif Anas Md Noor, berkata pemansuhan UPSR akan menjadikan sistem PBD lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid.

"Murid akan dinilai dengan lebih konklusif tanpa minda berasaskan peperiksaan yang dilihat terlalu memberi tekanan.

"Kejayaan seseorang murid tidak boleh dinilai menerusi akademik sahaja.

"Kita mesti adil dan saksama dalam penerimaan bahawa kemenjadian murid mesti dinilai secara holistik, sama ada daripada akademik, kokurikulum, ko-akademik, kepemimpinan, sahsiah dan kesihatan fizikal.

"Menerusi PBD yang akan diperkasakan, penilaian lebih terbuka akan dapat dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, GPMS berharap tiada lagi polemik dan pertikaian mengenai keputusan KPM itu dan menggesa semua pihak berganding bahu merencana laluan terbaik buat murid.

BERITA HARIAN ONLINE

MANSUR UPSR CABARAN BAHARU IBUBAPA


KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermakna bermula cabaran baharu kepada ibu bapa untuk mempersiapkan murid ke sekolah menengah, khususnya memastikan penguasaan murid dalam empat mata pelajaran teras UPSR.

Ketua Biro Pembangunan dan Penyelidikan Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, berkata pemansuhan UPSR adalah wajar supaya murid sekolah rendah tidak lagi dipaksa mengejar jumlah A dalam mata pelajaran.

"Cabaran utama yang akan dilalui ibu bapa susulan pemansuhan ini bukan saja perlu memastikan anak-anak berjaya menyiapkan kerja rumah, bahkan pada pada masa sama menjadi 'guru' di rumah.

"Umum mengetahui bilangan murid di dalam sebuah kelas adalah sekitar 35 hingga 40 orang, yang disebabkan oleh kepadatan penduduk di beberapa kawasan khususnya di bandar raya.

"Ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemerkasaan penilaian bilik darjah yang dilihat sebagai medium baharu menentukan tahap penguasaan murid di sekolah.

"Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak yang masih di bangku sekolah rendah diingatkan supaya tidak terkejut dengan pemansuhan ini dengan menamatkan kelas tuisyen secara drastik," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak ia dibatalkan tahun lalu, manakala pembatalan PT3 mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar membuat persediaan, khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.

Susulan pemansuhan UPSR, Kementerian Pendidikan akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah, selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Pembatalan PT3 pula akan digantikan dengan pentaksiran yang sama seperti tahun lalu iaitu melalui PKSK dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Muhamad Huzaimi berkata, kesinambungan pembelajaran murid Tahun 6 di pusat tuisyen masih perlu diteruskan bagi memastikan tahap penguasaan mata pelajaran teras UPSR itu tidak terjejas.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 25 April 2021

KETATKAN SOP DI SEKOLAH

Rina menyampaikan sumbangan kepada penduduk Tualang Sekah sempena Program Dapur Kita Wanita Perikatan Nasional di Jalan Tanjung Tualang.

BATU GAJAH: Kementerian Pendidikan mempunyai mekanisma sendiri untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, bagi mengekang jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata ibu bapa tidak perlu terlalu gusar kerana agensi kerajaan berusaha memastikan penularan wabak di sekolah dapat dibendung.

"Saya sangat memahami. Sebagai ibu bapa, sudah pasti kita akan merasa bimbang. Sayangkan anak kita dan hendak menjaga keselamatan anak apabila melihat beberapa kluster sekolah, akibat penularan COVID-19 ini.

"Saya yakin kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan akan mengambil SOP yang lebih ketat untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dapur Kita dan menyampaikan sumbangan barang mentah kepada 25 penduduk Tualang Sekah di Kapal Korek TT5, Jalan Tanjung Tualang.

Rina berkata, sekolah dibuka kerana Kementerian Pendidikan tidak mahu pelajar ketinggalan tetapi pada masa sama, pelaksanaan SOP akan mengurangkan jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mesti mempercepat kajian pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

"Saya berharap agar pihak Kementerian Kesihatan juga akan memandang serius mengenai hal ini memandangkan kanak-kanak juga antara mereka yang berisiko.

"Saya menggesa agar vaksin untuk kanak-kanak ini dapat dipercepat kerana sekarang ini vaksin hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Vaksin kena ada dua-dua. Sebab kanak-kanak juga terdedah dengan COVID-19," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 24 April 2021

MEMBACA TINGKAT ILMU, DAYA PEMIKIRAN

Tarikh 23 April setiap tahun, kita akan menyambut Hari Buku Sedunia. Insentif ini dicetuskan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menggalakkan pembacaan, penerbitan dan hak cipta.

Tarikh ini dipilih bersempena ulang tahun kematian sasterawan tersohor dunia seperti Miguel de Cervantes, William Shakespare dan Inca Garcilaso de la Vega yang banyak menyumbang karya kesusasteraan bermutu tinggi.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan sempena menyambut Hari Buku Sedunia ini. Kita boleh menyumbang buku kepada orang tidak berkemampuan, memberi hadiah buku ilmuwan dan intelektual kepada rakan, selain menceritakan kisah menarik daripada buku cerita kepada anak.

Bagi diri kita pula, cuba membaca buku bukan daripada topik kebiasaan kita. Terokailah tema, gaya penulisan atau genre buku berbeza. Luaskan pandangan dan cubalah suatu makalah baharu.

Sekiranya ramai memulakan trend sebegini, minat membaca akan kembali bertaut dalam hati masyarakat.

Membaca menjadi amalan mulia hingga ayat al-Quran pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra yang bermaksud 'bacalah.'

Ayat daripada surah al-'Alaq ini sangat signifikan dalam kehidupan kerana Allah SWT menerangkan penciptaan manusia daripada sesuatu yang hina kemudian memuliakan kita dengan kebolehan membaca, menulis dan meneroka ilmu pengetahuan.

Namun, manusia lupa akan kejadiannya dan tidak bersyukur terhadap nikmat diberikan serta melampaui batas dalam perbuatan. Manusia berasakan diri mereka serba cukup dan sempurna.

Umat Islam yang memegang teguh dengan ajaran Islam tidak menolak ilmu keduniaan seperti matematik, sains dan teknologi. Terdapat ilmuwan Islam yang tersohor seperti Ibnu Sina, terutama dalam bidang perubatan; al-Khawarizmi (matematik ); al-farabi (sains) dan Jabir ibn Hayyan (kimia) yang menjadi tonggak pengetahuan pada zaman mereka.

Hasil penulisan mereka diterjemahkan berulang kali ke pelbagai bahasa. Buku ilmuwan Islam menjadi rebutan dari seluruh pelosok benua. Mereka juga menjadi pelita bagi membuka jalan pada zaman kegelapan masyarakat Barat ketika itu. Tamadun Islam menjadi teguh, terkenal dan menjadi rujukan hingga serata dunia.

Inilah kepentingan membaca dan berilmu. Tanpa membaca kita akan mudah tertipu, percaya sesuatu yang tidak sahih, mundur dan akan menjadi malas.

Dengan ilmu pengetahuan berkat dan luas, negara akan dapat dibina, manakala pemikiran rakyat akan menjadi lebih maju. Membaca buku akan memberi ketenangan, kepuasan dan melahirkan perasaan ingin tahu.

Daya ingatan dan memori kita akan menjadi semakin baik kerana sentiasa dirangsang dengan fakta dan imaginasi. Bersempena dengan Hari Buku Sedunia, seluruh rakyat Malaysia wajar membeli sebuah buku dan mula membaca

Prof Madya Dr Azrul Hafiz Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE

PdPR TUNTUT KOMITMEN LUAR BIASA PELAJAR, TENAGA PENGAJAR

PdPR tuntut komitmen luar biasa pelajar.

Negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan COVID-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Justeru, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian masih menjadi kaedah terbaik perlu dilaksanakan ketika pandemik belum reda.

Menjadi keperluan kepada tenaga pengajar untuk melengkapkan silibus pembelajaran di sekolah dan universiti masing-masing. Jika negara maju, pelaksanaan pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan.

Meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam melaksanakannya, Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetap komited merencanakan pelbagai kaedah dan strategi agar proses PdPR berjalan sempurna.

Kebolehcapaian internet sudah pasti antara perkara penting berkait kelas dalam talian. Oleh itu, perlu ada usaha mengenal pasti tahap kebolehcapaian internet setiap pelajar untuk membantu tenaga pengajar menentukan kaedah bersesuaian dapat diambil.

Tidak dapat dinafikan pelbagai kekangan timbul, terutama bagi pelajar di kawasan pedalaman yang kurang mendapat liputan rangkaian akses internet. Oleh itu, tenaga pengajar dan pelajar perlu menggunakan platform bersesuaian seperti media sosial supaya dapat berhubung tanpa gangguan.

Ini amat penting bagi mengelakkan pelajar tertinggal sesi pembelajaran, sekali gus berupaya merangsang sistem kognitif pelajar secara berterusan.

Selain itu, pembelajaran kokurikulum universiti antara terjejas dalam melaksanakan aktiviti secara bersemuka. Silibus ini menawarkan pelbagai teras seperti sukan, kebudayaan, uniform, seni, pengurusan, inovasi dan keusahawanan.

Setiap pelajar perlu mendaftar dua kursus kokurikulum berbeza dalam semester berlainan secara dalam talian. Mereka perlu lulus dalam dua kursus berjumlah dua jam kredit untuk membolehkan bergraduat.

Namun, dengan kecanggihan teknologi sedia ada, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum berubah secara drastik dengan pengajar perlu turut sama menguasai ilmu teknologi maklumat dalam menangani kekangan masalah pembelajaran.

Kebelakangan ini, pelbagai aktiviti kokurikulum berjaya dilaksanakan universiti seperti program Webinar COVID-19 anjuran Majlis Kokurikulum Awam Malaysia (UniCC) dan Borak Santai Kopi O anjuran Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program ini terbuka kepada semua penonton menggunakan Facebook sebagai medium agar pelajar mengikut aktiviti kokurikulum terus mendapat maklumat dan memenuhi jam kredit.

Tenaga pengajar melalui teras masing-masing menggunakan kreativiti dalam memberi tugasan kepada pelajar.

Justeru, universiti di negara ini diminta agar terus mengorak langkah dalam memperkukuhkan dan mempelbagaikan kaedah PdPR termasuk aktiviti kokurikulum.

Tiada mustahil jika kita sama-sama berganding bahu memastikan setiap halangan diselesaikan seperti pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Melihat penularan wabak COVID-19 secara positif, ia mencetuskan semangat dan usaha luar biasa bagi warga pendidik dalam memastikan semua pelajar tidak ketinggalan.

Tenaga pengajar berusaha menjadi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Mereka tanpa segan silu berguru menggunakan pelbagai medium termasuk YouTube bagi meningkatkan keupayaan kendiri untuk mendidik pelajar seiring teknologi semasa.

Selari dengan norma baharu, PdPR secara dalam talian memerlukan komitmen dan sokongan tinggi.

Bagi tujuan itu, ibu bapa perlu memahami normal baharu pendidikan, melengkapkan pelajar dengan teknologi seperti komputer riba, telefon dan akses internet agar mereka dapat menghadiri kelas dalam talian tanpa risau.

Usaha luar biasa dan komitmen pelajar tidak berbelah bahagi juga penting dalam pelaksanaan PdPR.

Pembabitan mereka bukan sekadar mendengar syarahan pengajar, bahkan memberikan maklum balas dan menyiapkan tugasan diberikan dengan sempurna.

Sekiranya pelajar tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam aktiviti kokurikulum, ia hanya bertepuk sebelah tangan. Malah, ilmu disampaikan tidak menjadi pengetahuan kepada pelajar.

Tenaga pengajar perlu memberikan khidmat pendidikan terbaik ketika wabak COVID-19 kerana ia memerlukan daya usaha dan tenaga luar biasa semua pihak.

Dr Muhamad Saufi Che Rusuli
Pengarah Pusat Kokurikulum, Universiti Malaysia Kelantan

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 22 April 2021

SYOR PPD PUSAT SEHENTI SELESAI ISU PdPR, DidikTV

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai pusat sehenti dalam menyelesaikan dan menangani masalah berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta DidikTV KPM.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata ini berikutan PPD adalah medium terbaik untuk berhubung dengan ibu bapa yang menghadapi kerumitan dan membawa masalah setempat kepada pihak atasan dengan segera.

"Saya cadangkan KPM boleh mewujudkan talian hotline dan diuruskan oleh kakitangan berdedikasi yang ditugaskan khusus untuk menangani dan mengatasi apa sahaja perkara ini (PdPR dan DidikTV) di peringkat daerah berbanding dipusatkan di negeri atau peringkat kebangsaan.

"Ini cara penyelesaian yang baik untuk membantu ibu bapa di pedalaman. Misalnya, wakil rakyat mudah dihubungi di peringkat daerah, jadi hanya PPD yang mempunyai akses mudah kepada ibu bapa, seterusnya membawa perkara tersebut ke peringkat pusat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai persediaan terhadap PdPR sekiranya sekolah ditutup semula berikutan jangkitan COVID-19 di institusi itu.

Sejak seminggu lalu, dilaporkan terdapat jangkitan COVID-19 di sekolah yang menyebabkan beberapa kluster dikesan di sekolah dan institusi pendidikan di beberapa negeri.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Selangor pada Isnin lalu mengeluarkan arahan supaya 19 sekolah di negeri itu ditutup selepas kes jangkitan COVID-19 dikesan di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, Mohamad Ali berpendapat KPM perlu mempertimbangkan supaya semua sekolah di seluruh negara ditutup sementara selama dua minggu memandangkan terdapat banyak petunjuk negatif yang mengancam kesihatan dan keselamatan warga sekolah.

"Tetapi ibu bapa janganlah rasa gentar dan curiga kerana saya percaya ini yang sebaiknya, kita memikirkan dari segi keselamatan serta nyawa anak kita dan pada masa yang sama kita tidak mengetepikan pendidikan. Jadi buat masa ini, inilah cara yang terbaik," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berpendapat adalah tidak adil jika sekolah ditutup sepenuhnya kerana laporan menunjukkan jangkitan COVID-19 tidak datang daripada sekolah, tetapi jangkitan dalam komuniti menerusi ibu bapa atau penjaga pelajar.

Sebaliknya, beliau berkata sokongan daripada semua pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing, dapat meningkatkan lagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

"PIBG dan orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan seharusnya menjadi pihak terakhir yang meminta penutupan sekolah disebabkan beberapa kes terpencil. Mereka tidak perlu menekan butang panik dan menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

"Sebaliknya, dalam situasi seperti ini, mereka perlu membantu pengurusan sekolah untuk meningkatkan pematuhan SOP di sekolah dan mendapatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah," katanya dan menambah ahli PIBG boleh memantau pergerakan pelajar atau ibu bapa semasa datang dan balik sekolah, secara sukarela.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata sekiranya sekolah diarahkan tutup dan dibuka sekali lagi, KPM diharap dapat menyediakan SOP untuk membuka sekolah secara bergilir sahaja, seperti yang disarankan tahun lalu.

Katanya, penggiliran jadual jelas dapat mengawal bilangan pelajar dan kakitangan ke sekolah untuk tempoh tertentu apabila separuh pelajar ke sekolah dan separuh lagi PdPR mengikut tahap.

"Agak telah menjadi norma baharu PdPR ini, ibu bapa pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Memandangkan kes jangkitan COVID-19 kian menaik, kebarangkaliannya sekolah terpaksa ditutup semula adalah tinggi. PdPR adalah langkah terakhir kerana tiada pilihan lain. Hendak atau tidak, ibu bapa pun tiada pilihan," katanya.

BERNAMA ONLINE

Wednesday, 21 April 2021

NUTP SYOR SISTEM PENGGILIRAN DI SEKOLAH

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan sistem penggiliran untuk murid hadir ke sekolah dibuat bagi mengelak kesesakan dan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata menerusi sistem itu, setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan dan penggiliran dilakukan dengan pembahagian hari bagi murid untuk hadir ke sekolah dan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Dalam tempoh terdekat ini kita nak cadangkan supaya diadakan sistem penggiliran bagi sekolah yang dibuka bertujuan mengelak kesesakan murid di sekolah.

"Contohnya, satu kelas Tahun Enam ada 40 murid, bahagikan kepada dua kumpulan, kalau sekolah di Kedah, Kelantan atau Johor, kumpulan A datang ke sekolah pada Ahad, Isnin, Selasa manakala kumpulan B pula menjalani PdPR.

"Seterusnya bagi Rabu dan Khamis penggiliran dilakukan yang mana kumpulan B hadir ke sekolah manakala kumpulan A sebaliknya. Jadi proses pembelajaran bersemuka antara murid dan guru masih ada dan pada masa sama bilangan yang hadir itu dalam kawalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) semalam supaya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menutup semua sekolah buat sementara waktu.

Presiden PIBGN, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata ia susulan peningkatan kes di beberapa negeri dan pertambahan kes membabitkan guru dan murid sekolah.

Ditanya sama ada cadangan penggiliran itu akan membebankan guru dan juga ibu bapa yang sudah kembali keluar bekerja, Aminuddin berkata ia antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan dalam usaha berterusan mengekang penularan COVID-19.

"Kalau nak fikir masalah bagi pihak ibu bapa yang bekerja, kalau sekolah diarah tutup pun, akan timbul juga masalah untuk mereka kerana siapa nak jaga anak di rumah.

"Maksudnya setiap perkara yang hendak dibuat itu ada kekurangan dan kelebihannya, tapi bagi saya dalam keadaan sekarang ini dan usaha untuk mengekang penularan COVID-19 mungkin itu antara cadangan yang boleh dipertimbangkan," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya sememangnya tidak bersetuju cadangan penutupan sekolah seluruh negara hanya kerana kes berlaku di sekolah di negeri tertentu.

Katanya, penutupan sekolah seluruh negara hanya akan mewujudkan 'kemiskinan pembelajaran' dalam kalangan murid di negara ini.

"Kita mahu penutupan hanya kepada sekolah di kawasan yang berisiko dan yang mana guru dan pelajar didapati positif COVID-19.

"Sekarang ini murid kita dah terlalu banyak kekurangan dalam aspek untuk hadir ke sekolah dan belajar secara bersemuka.

"Walaupun PdPR boleh dilaksanakan tapi kalau nak lihat impak positifnya, bersemuka itu lebih memberi kesan, tapi kalau keadaan terdesak, PdPR itu benda yang wajib kita laksanakan sebab tiada pilihan lain," katanya.

Tambah beliau, masalah kadang kala bukan membabitkan SOP di sekolah tetapi yang lebih dibimbangkan ialah kekurangan maklumat dan sejarah pergerakan murid sebelum hadir ke sekolah.

"SOP di sekolah tidak ada masalah , yang kita bimbang murid yang hadir ke sekolah itu kita tidak tahu mereka dari mana, siapa kontak rapat sebelum pergi ke sekolah dan kadang-kadang mereka yang disahkan positif tidak menunjukkan gejala sebelum itu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

PERKEMAS GARIS PANDUAN DI SEKOLAH

Gambar hiasan

Pembelajaran secara bersemuka di sekolah penting untuk mengatasi limitasi pembelajaran dalam talian, terutama murid yang belum mempunyai kemahiran asas pembelajaran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Berdasarkan data daripada portal Untuk Malaysia, antara Januari hingga Februari lalu terdapat 1,176 murid dilaporkan tidak boleh membaca, menulis dan mengira.

Justeru, pembukaan sekolah secara berperingkat semula sejak 8 Mac hingga 5 April lalu, memberi peluang kepada lebih 5 juta murid kembali ke sekolah untuk meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka.

Harus diingat, pembukaan sekolah semula kerana ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bukan kali pertama. Sekolah dan institusi pendidikan dibuka pada 15 Julai tahun lalu, tetapi terpaksa ditutup pada 9 November berikutnya peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

Justeru, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu serta Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0.

Meskipun pelbagai garis panduan dikeluarkan KPM, kes dalam kalangan murid berlaku. Justeru, apakah penyelesaian lain boleh dilakukan?

Pertama, kaedah bubble protection, iaitu murid dibahagikan kepada kumpulan lebih kecil seramai 12 individu. Kumpulan ini belajar, makan dan menjalankan aktiviti sesama. Pergerakan pelajar akan dihadkan bersama kumpulan sendiri.

Cara pembelajaran seperti ini penting untuk murid prasekolah dan sekolah rendah kerana mereka tidak dapat fokus sewaktu pembelajaran dalam talian. Mereka lebih suka melakukan aktiviti aktif berbanding duduk di hadapan komputer.

Pembahagian kepada kumpulan kecil itu mengurangkan risiko penularan COVID-19 kepada pelajar selain kumpulan terbabit.

Cadangan ini digunakan di beberapa negara seperti Denmark, Jerman, Finland dan Norway. Konsep ini berjaya diaplikasi sejak sekolah dibuka di negara terbabit dengan tiada peningkatan kes secara drastik dilaporkan.

Kedua, pengenalan jadual kelas bergilir seperti di Uruguay. Murid akan bergilir antara kelas dalam talian dan bersemuka. Inisiatif ini mengurangkan bilangan murid dalam kelas pada satu-satu masa.

Dengan kaedah ini juga, murid bermasalah akses internet boleh mendapatkan bahan pembelajaran tertinggal pada hari pembelajaran bersemuka.

Dalam konteks Malaysia, cadangan jadual kelas bergilir dapat mengurangkan kesesakan di tempat menunggu ibu bapa, fasiliti sekolah dan tempat awam lain kerana limitasi ruang untuk menjalankan prosedur operasi standard (SOP).

Ketiga, memberi keutamaan guru dalam pemberian vaksin. Hal ini tidak terikat kepada guru bertugas di bawah KPM, bahkan semua guru sekolah berdaftar.

Ia penting kerana guru akan mengajar lebih 100 murid seminggu sehingga berisiko menjadi ejen penyebar COVID-19.

Pendekatan pembelajaran bersemuka tidak dapat dinafikan menjadi pilihan utama kepada murid dan guru. Namun, keselamatan murid juga penting untuk diberikan keutamaan demi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Danial Farook,
Persatuan Belia Harmoni Malaysia dan Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 18 April 2021

HARAP ISU PENGKELASAN SUKAN IKUT KAUM TIDAK BERULANG - HALIMAH

Halimah (tengah) menyerahkan barang keperluan dalam Program Ihya Ramadan Parlimen Kota Tinggi di Dewan Felda Air Tawar Dua, hari ini.

KOTA TINGGI: Kementerian Perpaduan Negara berharap isu pengkelasan kaum tidak berulang sama ada membabitkan sukan atau sebarang aktiviti persatuan dan pertubuhan di sekolah.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, beliau berharap pihak pengurusan sekolah perlu lebih sensitif mendepani isu berkenaan pada masa depan.

Katanya, sebagai institusi pendidikan, kerajaan berusaha mengelak bibit perpecahan wujud dalam kalangan pelajar sekolah.

"Isu ini sudah ditangani kementerian berkaitan. Namun saya berharap isu ini tidak berulang. Bukan saja dalam sukan tetapi perkara lain seperti persatuan atau pertubuhan.

"Pihak pengurusan sekolah sama ada pengetua atau guru besar, tolong ambil berat perkara ini. Jangan kita mulakan bibit perpecahan," katanya selepas Program Ihya Ramadan Parlimen Kota Tinggi di Dewan Felda Air Tawar Dua di sini, hari ini.

Semalam, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan 1 sehingga menimbulkan bantahan awam.

Pengetua sekolah berkenaan sudah meminta maaf kerana mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajar.
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 17 April 2021

KPM AMBIL TINDAKAN SEKOLAH TETAPKAN AKTIVITI KOKURIKULUM IKUT KAUM

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap sebuah sekolah menengah di Johor, yang dikatakan menetapkan syarat sesetengah aktiviti kokurikulum kepada pelajar Tingkatan Satu termasuk sukan, hanya terbuka untuk satu kaum saja.

Terkejut dan dukacita dengan perkara itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, panduan dikeluarkan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.

"Biarlah anak-anak kita main bersama tanpa mengira siapa mereka. Kita tahu sukan adalah satu medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan. Dalam bersukan, semua ahli pasukan akan berikhtiar sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.

"Tentunya tidak pernah terlintas di fikiran mereka kaum lain. Sebab itulah sukan menjadi wadah yang dapat mewujudkan semangat kebersamaan yang jitu," katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor, itu dan memuat naik gambar sekeping surat mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum saja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina saja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

BERNAMA ONLINE

PANDEMIK DIDIK PELAJAR LEBIH CEKAL, KREATIF


Pandemik COVID-19 menyebabkan masyarakat terpaksa hidup dalam norma baharu termasuk mengubah pendidikan terutama pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki peperiksaan hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, pelajar terbabit terpaksa mengambil peperiksaan itu awal tahun ini, sekali gus menyebabkan mereka turut digelar sebagai pelajar SPM Pro Max. Gelaran itu diambil daripada jenama telefon pintar.

Namun, ungkapan itu sebenarnya mengandungi seribu satu kisah suka duka terpaksa ditempuhi pelajar hingga menduduki SPM. Antaranya, pembelajaran dalam talian, tiada aktiviti sukan atas padang dan aktiviti kokurikulum tidak lagi dilakukan secara bersemuka.

Mereka juga terjejas apabila terpaksa melalui sesi pembelajaran dalam talian yang tentu kurang berkesan berbanding sesi konvensional seperti diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, Musa Harith Al-Attas Syed Ahmad Zaki.

Baginya, masalah pencapaian jalur lebar atau internet dan kekurangan kelengkapan untuk belajar menjadi penghalang untuk memperoleh ilmu secara lancar.

Natijahnya, ilmu disampaikan tidak mampu diterima secara baik dan proses pelajaran dan pembelajaran (PDP) kurang lancar.

Sementara itu, pelajar SMK Seri Tangkak, Nur Aryn Sofeaa M Nor, sebahagian pelajar menghadapi tekanan untuk memahami pelajaran atau topik kerana terpaksa mengikuti pendidikan sendirian berbanding sebelumnya sering mengadakan kumpulan belajar.

Namun, ia tidak boleh dijadikan batu penghalang untuk melakar kejayaan dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sedar atau tidak mereka memiliki pengalaman pembelajaran dalam talian lebih awal daripada mahasiswa di universiti.

Pelajar terbabit turut dilatih mencari bahan rujukan tambahan dan merancang waktu belajar mengikut kesesuaian masa mereka.

Hal ini membentuk dan mendidik jiwa mereka lebih berdisiplin serta bijak menguruskan masa. Ini menjadikan mereka lebih siap siaga sebelum melangkah ke alam universiti jauh lebih mencabar dan lebih memerlukan usaha berlipat ganda.

Betapa hebatnya generasi pelajar yang mengambil SPM ini kerana sesi pembelajaran berbanding pelajar yang menduduki peperiksaan itu pada tahun sebelumnya. Anda ialah pelajar terhebat dan teruskanlah usaha mencipta serta melakar pelbagai kejayaan.

Anda bukan generasi kurang menikmati tempoh persekolahan, tetapi sentiasa bersiap siaga dan menyiapkan selangkah lebih dekat ke universiti.

Justeru, teruskan langkah ke menara gading, peluang diberikan kepada anda tetap sama seperti pelajar sebelum ini. Namun, anda jauh lebih hebat kerana mempunyai pengalaman pembelajaran luar biasa dan mungkin tidak mampu dilalui orang sebelum ini.

Pelbagai universiti awam dan swasta, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan martrikulasi tersedia untuk anda menyambung pendidikan.

Walaupun pengalaman pembelajaran dilalui berbeza, jalan terhadap visi dan misi kejayaan tetap sama. Jadikan cabaran ini sebagai titik permulaan kepada kejayaan, bukan batu penghalang untuk berjaya.

Rancang dan rangka jalan kejayaan seperti sebelum ini. Tidak bermakna penambahan satu lembaran dalam sebuah buku akan memusnahkan penceritaannya, sebaliknya ia akan menyerikan lagi jalan cerita hidup kita.

Siti Roseelyiza Arshad,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 13 April 2021

PINGGIRKAN SUBJEK SENI LANGKAH KURANG BIJAK

TERDAPAT segelintir ibu bapa yang kurang senang dengan subjek Pendidikan Seni Visual (PSV). Hal ini boleh dilihat menerusi mesej yang tular dalam media sosial sebelum ini malah ketika sistem persekolahan berlangsung dalam talian atau Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), ada ibu bapa yang mengabaikan subjek itu.

Antara faktor hal demikian berlaku kerana PSV biasanya memerlukan pelbagai alatan dan bahan disediakan misalnya pinggan dan cawan kertas, alatan kraf seperti riben, tali, manik dan hiasan lain yang mungkin mahal dan tidak mampu disediakan selain dilihat remeh kerana perlu kerap dibeli setiap minggu mengikut silibus.

Diakui, ada kala keperluan menyediakan alatan dan bahan adalah penting dalam penghasilan sesuatu karya seni. Namun, ia sebenarnya sama sahaja dengan mata pelajaran lain misalnya Sains, Pendidikan Jasmani atau Kemahiran Hidup yang turut memerlukan alatan dan bahan yang tertentu bagi membolehkan sesuatu aktiviti dalam kaedah pembelajaran itu berlangsung.

Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa tidak mampu menyediakan alatan dan bahan yang diperlukan maka pihak sekolah dan guru perlulah mencari kaedah alternatif yang bersesuaian. Namun, mengabaikan subjek PSV itu atas alasan ia bukan mata pelajaran teras adalah tindakan kurang bijak. PSV sebenarnya subjek yang boleh membantu tekanan emosi. Hal ini berdasarkan terdapat banyak hasil kajian pakar yang mendapati aktiviti seni boleh dijadikan terapi dan meningkatkan kesihatan mental.

Di Malaysia, PSV diperkenalkan secara formal sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Dalam konteks ini, pendidikan seni sekolah rendah adalah lebih luas kerana menggabungkan seni visual, muzik dan seni persembahan. Bagi memupuk minat pelajar dalam mata pelajaran kesenian, pihak sekolah dan ibu bapa perlulah lebih terbuka untuk memberi ruang kepada murid untuk meluahkan diri (ekspresi) mereka melalui aktiviti seni.

Pada tahap sekolah rendah, ramai murid yang tidak mampu menterjemahkan pandangan atau perasaan mereka melalui penulisan. Justeru, seni dilihat sebagai medium yang sangat berkesan bagi tujuan berkenaan. Aktiviti kesenian juga mampu memperbaiki tahap keyakinan pelajar, seterusnya dapat meningkatkan keterampilan mereka.

Ibu bapa perlu sentiasa memberi galakan kepada anak-anak untuk memberi komitmen yang sama rata bagi semua mata pelajaran yang diambil di sekolah. Ibu bapa termasuk guru tidak sepatutnya meletakkan keutamaan hanya kepada sebilangan mata pelajaran sahaja dan mengenepikan sebilangan yang lain, seperti PSV.

Peranan guru dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran bagi abad ke-21 ini sudah melalui proses transformasi dengan guru bukan lagi menjadi tumpuan sebaliknya pelajar itu sendiri.

Ini bertepatan dengan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar atau 'student-centered learning'. Ini bermakna, peranan ibu bapa untuk membantu anak dalam pembelajaran juga perlu turut berubah. Ibu bapa seperti juga guru, perlu menjadi pemudah cara dalam proses pembelajaran anak-anak.

PSV sangat berpotensi untuk menarik perhatian pelajar kerana ia bukan sahaja mata pelajaran yang boleh membentuk sahsiah diri, tetapi juga membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan menawarkan peluang kerjaya. Jika kita lihat dengan mata yang luas terdapat banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan program dalam pelbagai jurusan seni dan reka bentuk dari peringkat sijil hinggalah ke doktor falsafah.

Dalam kaedah pembelajaran subjek PSV, pemahaman yang baik terhadap teori dan konsep sesuatu karya seni mampu melahirkan idea yang kreatif bukan sahaja untuk berkarya, tetapi juga bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh yang demikian, guru dan pelajar haruslah kreatif dan inovatif bagi menggantikan alatan dan bahan yang bersesuaian serta yang tidak membebankan kewangan ibu bapa.

Penggunaan alatan dan bahan daripada sumber semula jadi atau kitar semula serta dengan memperbanyakkan aktiviti seni secara kolaboratif mungkin boleh dijadikan penyelesaian kepada pemasalahan ini.

Saya percaya umumnya masyarakat kini sedar bahawa seni tidak hanya terbatas kepada kemahiran melukis dan stensil sahaja. Pengetahuan dan kemahiran seni juga tidak hanya terbatas kepada aplikasi dan pekerjaan dalam bidang seni.

Malah, kemahiran melukis misalnya boleh digunakan dalam proses penjanaan idea dan berkomunikasi secara lebih efektif. Ibnu Sina, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, Alexander Graham Bell dan James Dyson adalah antara contoh tokoh ilmuan dan pencipta yang menggunakan kemahiran melukis bagi meneroka dan menyampaikan idea baharu mereka.

Seiring dengan kemajuan teknologi digital, medium dan media yang digunakan bagi menghasilkan dan mempersembahkan sesuatu karya seni juga turut berkembang. Aplikasi seni boleh dilihat dalam penghasilan laman web, animasi 3D, rekaan permainan digital dan simulasi.

Seni turut diaplikasikan dalam media baharu seperti realiti maya (virtual reality) dan realiti bertambah (augmented reality). Perubahan ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam konteks seni, ini kerana melalui sorotan sejarah seni itu sendiri sentiasa relevan dan berkembang mengikut peredaran zaman.

Prof Madya Dr Muhammad Zaffwan Idris 
Pensyarah kanan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI

BERITA HARIAN ONLINE

GURU PERLU KREATIF, BEBAS PILIH BAHAN SENI

Subjek PSV tidak hanya menumpukan kepada kemahiran melukis dan kraf semata-mata

Pendidikan Seni Visual (PSV) mendedahkan murid dengan pelbagai bidang yang berkaitan dengan seni misalnya sejarah seni, seni halus, seni kraf, reka bentuk dan komunikasi visual.

Setiap tajuk yang diperkenalkan dalam bidang ini juga sangat meluas dan lengkap; antaranya pakaian tradisional, perhiasan diri alat kebesaran, perhiasan Diraja, catan, arca, batik, ukiran, reka bentuk industri, hiasan dalaman, landskap, ilustrasi dan seni foto.

Bagi memastikan murid dapat mengikuti mata pelajaran ini dengan baik, setiap topik yang diperkenalkan akan melalui empat fasa pembelajaran iaitu persepsi seni (pandangan), eksplorasi (penerokaan), ekspresi (luahan) dan apresiasi (penghargaan).

Bagi persepsi seni, pelajar akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan secara teori berkaitan dengan topik yang dipelajari.

Pada fasa eksplorasi, dengan berpandukan pengetahuan yang dipelajari, murid akan menjalankan aktiviti penerokaan secara individu mahupun berkumpulan bagi menguji pemahaman mereka menggunakan bahan dan alatan yang bersesuaian.

Pada fasa ekspresi adalah tahap merangsang murid untuk menghasilkan karya kreatif mereka dan fasa terakhir iaitu apresiasi, pelajar akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam penghasilan karya melalui persembahan ataupun pameran.

Ini bermakna, bukan sahaja pelajar didedahkan dengan domain pembelajaran secara kognitif (pengetahuan) tetapi juga secara psikomotor (kemahiran) dan efektif (nilai).

Perlu diketahui, subjek PSV tidak hanya menumpukan kepada kemahiran melukis dan kraf semata-mata, seperti mana yang umum sangkakan.

Melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, mata pelajaran PSV dirangka supaya dapat melahirkan pelajar yang holistik sejajar dengan falsafah pendidikan negara.

Guru haruslah kreatif dan diberi kebebasan untuk memilih bahan dan alatan yang bersesuaian serta mudah diakses oleh pelajar dalam menghasilkan sesuatu karya seni.

Melalui mata pelajaran PSV, murid bukan sahaja mempelajari teori dan mempraktikkan kemahiran, malah turut didedahkan dengan kekayaan budaya seni negara serta mengenali tokoh-tokoh dalam seni visual. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai jati diri dan kecintaan kepada tanah air.

Ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan aktiviti penghasilan karya seni dan kraf bersama-sama anak sebagai suatu aktiviti yang membosankan, sebaliknya ia boleh dijadikan sebagai aktiviti kekeluargaan sama seperti beriadah dan berkelah. Karya seni dan kraf yang dihasilkan juga berpotensi untuk dijadikan hiasan pada dinding rumah atau kegunaan seharian.

Bagi guru yang mengajar mata pelajaran PSV, mereka haruslah kreatif dan diberi kebebasan untuk memilih bahan dan alatan yang bersesuaian serta mudah diakses oleh pelajar dalam menghasilkan sesuatu karya seni.

Sebagai contoh, bagi topik kraf batik, sekiranya pihak sekolah atau ibu bapa tidak mempunyai akses kepada alatan dan bahan bagi menghasilkan batik canting atau batik blok, maka guru boleh memilih untuk menjalankan aktiviti penghasilan batik celup kerana ia tidak memerlukan kepada alatan dan bahan yang kompleks serta lebih mudah dihasilkan.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 9 April 2021

55,000 GURU TERIMA SUNTIKAN VAKSIN PADA FASA KEDUA

55,000 guru berusia dan berisiko tinggi dijangka dimasukkan dalam kelompok penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

SUNGAI BESAR: Seramai 55,000 guru berusia dan berisiko tinggi dijangka dimasukkan dalam kelompok penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu diharap dapat membantu mengekang peningkatan kluster COVID-19 khususnya membabitkan institusi pendidikan.

"Sebelum ini, empat guru tersenarai menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama ekoran berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak itu.

"Mereka (guru) terbabit mengambil suntikan itu bersama Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

"Justeru, fokus kita sekarang ialah seramai 55,000 guru lagi akan menerima suntikan pada fasa kedua ini," katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin: Taklimat Isu Semasa Kempen Kesedaran COVID-19 di Dewan Seri Bernam, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya

Muslimin berkata, guru yang tidak disenarai menerima suntikan pada fasa kedua dijangka menerima vaksin pada fasa ketiga dan empat selepas ini.

"Suntikan vaksin (dalam kalangan guru) bertujuan memastikan suasana selamat dan selesa ketika berada di sekolah.

"Jadi, kita berharap semua guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

BETITA HARIAN ONLINE

DIDIK ANAK ILMU KESIHATAN, KESELAMATAN


DI sebalik kanak-kanak mudah terdedah dengan virus dan bakteria, masih ramai ibu bapa kurang menekankan Amalan Pendidikan Kesihatan dan Keselamatan untuk diterapkan di rumah dalam menangani pandemik COVID-19.

Ketidakseriusan itu ada kalanya mendedahkan anak kepada kemungkinan terkena jangkitan COVID-19.

Antara amalan perlu diberikan penekanan adalah meminta anak 'berkawan' dengan pelitup atau pelindung muka dan cecair pembasmi kuman.

Bahan ini perlu sentiasa disediakan di dalam beg, selain mengingatkan anak untuk membawanya apabila berada di luar kawasan rumah.

Ada segelintir kanak-kanak akan membuang pelitup muka di sekolah. Ini boleh meningkatkan risiko terkena jangkitan.

Virus ini mungkin dibawa dan disebarkan rakan mereka yang juga tidak mengenakan pelitup muka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyediakan pelitup muka tambahan, selain sering mengingatkan anak terhadap kepentingannya.

Amalan penjarakan fizikal juga perlu ditekankan, terutama ketika berada dalam situasi berkumpulan di luar rumah. Jika diperhatikan, ibu bapa selalu menekankan anak untuk menjaga jarak fizikal di rumah akan menyebabkan mereka melakukan amalan terbabit di mana-mana sahaja termasuk sekolah.

Namun, kanak-kanak yang tidak diingatkan peraturan ini, akan cenderung bergaul dan bermain bersama kawan tanpa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini termasuklah tidak menggalakkan mereka berada bersama dengan ahli keluarga lain tanpa mengikuti standard dicadangkan.

Walaupun penekanan ini sukar dilakukan, amalan yang menjadi rutin harian akan mendorong mereka lebih berjaga-jaga apabila berada dalam komuniti luar.

Ibu bapa juga perlu menyediakan buku saintifik mempunyai elemen interaktif mengenai COVID-19 dan mendorong anak untuk mencari maklumat dalam usaha mencegah virus ini melalui pelbagai platform.

Walaupun nampak mudah dilaksanakan, ia sebenarnya mempunyai prosedur betul yang ibu bapa perlu membuat kajian dahulu kerana mengambil kira aspek kesesuaian perkembangan maklumat.

Contohnya, jika ibu bapa ingin berkongsi maklumat berkaitan simptom pandemik ini kepada anak berusia 5 hingga 6 tahun, mereka boleh menggunakan media seperti video yang mempunyai informasi mudah dan jelas.

Selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), teknologi juga antara item paling penting boleh diperkasakan ibu bapa dalam mendidik akan terhadap ilmu kesihatan dan keselamatan.

Hakikatnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat, manakala pencegahan terbaik adalah bermula daripada diri sendiri.

Nur Azam Ghazali
Felo Perdana 2020, Kementerian Pendidikan

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 5 April 2021

KP PELAJARAN BERSARA HARI INI

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim mengetip perakam waktu pada hari terakhir ketika majlis persaraannya di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim mengakui banyak cabaran perlu dihadapinya walaupun hanya setahun menjawat jawatan berkenaan.

Beliau berkata, cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ketika pandemik COVID-19 melanda negara sejak Januari tahun lalu sehingga kini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan cabaran itu dapat dihadapi dengan bantuan semua pihak termasuk dalam kalangan pegawai di kementerian serta di luar kementeriannya.

"Kita dapat cari jalan penyelesaian (ketika COVID-19) supaya sesi pelajaran dapat dilakukan sama ada di sekolah mahupun di rumah.

"Besar harapan saya supaya sistem pendidikan negara ini dapat ditambah baik supaya aspirasi yang sudah disasarkan sebelum ini dapat dicapai untuk kebaikan generasi akan datang," katanya ketika ditemui majlis persaraan dan 'clock out' di kementeriannya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan dua timbalannya, Datuk Dr Mah Hang Soon serta Muslimin Yahaya.

Sebelum ini, Habibah, 59, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran pada 10 Januari tahun lalu, sekali gus menjadi wanita kedua menggalas jawatan berkenaan.

Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB).

BERITA HARIAN ONLINE

'PEMATUHAN SOP BUKAN SETAKAT DI SEKOLAH'

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin (kanan) pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berserta amalan norma baharu perlu diamalkan sepanjang masa dan tidak terhad di sekolah atau sektor pendidikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan berlaku peningkatan kluster jangkitan COVID-19 dalam sektor pendidikan, yang kebanyakannya dikaitkan dengan rakan sekerja dan kontak sosial.

"Pemantauan berterusan oleh pihak pengurusan sekolah adalah penting kerana pematuhan SOP dan norma baharu mesti diamalkan oleh guru, murid, pekerja di sekolah, pengawal keselamatan dan di kantin," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, dua kluster jangkitan COVID-19 membabitkan sektor pendidikan mencatat jangkitan tertinggi, iaitu Kluster Paloh Rambai di Kelantan dan Kluster Jalan Hevea Scruciana di Selangor, membabitkan guru dan kakitangan sekolah serta kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Apabila kes positif dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di sektor pendidikan sama ada anak murid, guru atau kakitangan, katanya, pasukan kesihatan akan digerakkan untuk membuat siasatan kes atau kluster.

Beliau berkata, ia merangkumi pengesanan kes dan kontak, selain menyelia pihak sekolah dalam menjalankan pembersihan dan disinfeksi.

"Pihak PKD akan membuat penilaian risiko dan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan pengurusan kes dan kluster dapat dijalankan sebaik mungkin.

"Bagi tujuan langkah pencegahan dan kawalan, pihak PKD akan menasihatkan pihak pengurusan sekolah menutup sementara kelas yang terbabit dengan kes positif atau sekolah, bergantung kepada penilaian dijalankan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

BICARA SANTAI BUKU : PASPORT JENAZAH

Program Bicara Santai Buku anjuran Unit Perpustakaan IPGK Tuanku Bainun.
Saksikan bagaimana seorang 'pemandiri kanser' berkongsi pengalaman tentang perjuangannya menghadapi kanser. Berkongsi tentang ibrah dan hikmah disebalik ujian yang amat berat ini.
Panel:
Pn Hjh Shakirah Md Din @ Md Zain
Jabatan Pengajian Inggeris
IPG Kampus Tuanku Bainun

Moderator :
Huzairul Hezri bin Saidin
Tarikh : 8 April 2021 (Khamis)
Masa : 9.00 - 11.00 pagi
Disiarkan secara langsung di laman fb rasmi IPG Kampus Tuanku Bainun https://www.facebook.com/ipgktuankubainun
Untuk warga pendidik semua, pautan SPLKPM akan diberikan semasa program berlangsung.

MEMBACA LAHIR GENERASI UNGGUL

Gambar hiasan

Pada 2019, laman web Picodi melaporkan sekitar 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun. Angka ini sedikit rendah berbanding Turki dan Russia.

Sumber sama mendedahkan 22 peratus rakyat Malaysia tidak banyak membaca atau tidak berminat dengan buku. Secara perbandingan, tabiat membaca rakyat Malaysia masih boleh dipertingkatkan.

Antara kemungkinan mengapa tabiat membaca sukar dipupuk adalah ketagihan terhadap peranti elektronik. Masa lapang pelajar sering dipenuhi dengan menonton video, melayari media sosial dan permainan maya.

Membaca turut dilihat membebankan, lalu cuba dielakkan sesetengah pelajar. Stigma sebegini harus diatasi. Pelajar harus sedar kepentingan membaca dalam membangunkan keperibadian unggul, selain membentuk pemikiran dan intelektual pelajar secara lebih menyeluruh.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan 10 kemahiran penting dalam pekerjaan ketika era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Antaranya pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah kompleks, yang mana kemahiran ini dapat dibentuk melalui amalan membaca.

Dalam era IR4.0 juga, pembabitan pelajar dalam bidang sains dan teknologi menjadi keutamaan. Namun, penumpuan pelajar terhadap bidang ini semata-mata boleh menyebabkan aspek kemanusiaan terabai.

Seorang saintis dan novelis British, C P Snow menjelaskan pertembungan antara dunia sains dan kemanusiaan pada 1959. Konsep Two Cultures ini menjelaskan pemisahan antara sains dan kemanusiaan yang berlaku dalam masyarakat Barat.

Kurangnya pertalian antara dua budaya intelektual ini mengakibatkan konflik, lalu menyebabkan usaha dalam penyelesaian masalah dunia terbantut.

Kekurangan nilai kemanusiaan penghalang besar ke arah pemupukan nilai insaniah dalam diri pelajar. Pengkhususan terlalu mendalam menyebabkan pelajar tidak cuba menerokai ilmu di luar bidang dan mengasah kemahiran sosial.

Akibatnya, kemahiran berkaitan kemanusiaan seperti cara berkomunikasi dan pemahaman terhadap emosi lemah.

Pembacaan karya bercorak sastera contohnya sarat dengan isu setempat membolehkan pelajar memahami masyarakat sekeliling. Menurut Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, sastera adalah seismograf kehidupan yang mengandungi analisis perihal manusia dan masyarakat.

Melalui penghayatan karya sastera, isu masyarakat daripada pelbagai sudut pandang dapat difahami dengan mendalam. Pemahaman terhadap permasalahan tempatan dan global membolehkan pelajar berfikir secara kritis berkenaan penyelesaian.

Membaca juga dapat memperkayakan penguasaan kosa kata pelajar. Hal ini boleh membantu pelajar yang lemah dalam penulisan karangan dalam mempelbagaikan penggunaan perkataan.

Kemampuan menulis turut bergantung jumlah pembacaan seseorang. Dengan banyak membaca, pelajar lebih cekap mendapatkan serta menyusun idea penulisan.

Pihak sekolah berperanan mewujudkan ekosistem mesra pembaca kepada pelajar. Program sedia ada seperti Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) boleh diperkasakan, selain mewujudkan budaya perbincangan buku.

Pelajar boleh berkongsi bahan bacaan dengan rakan sekelas dan guru. Senarai bahan bacaan di perpustakaan juga harus dikemas kini, selari penerbitan terkini serta minat pelajar. Program bicara buku secara santai juga boleh diadakan melalui kelab membaca di sekolah.

Di rumah, ibu bapa juga memainkan peranan. Perpustakaan mini boleh diwujudkan dengan diisi bahan bacaan bersesuaian kepada anak. Minat anak untuk membaca secara konsisten sehingga ke muka akhir bergantung pemilihan bahan. Bahan bacaan sesuai dengan minat akan lebih memberi motivasi.

Elakkan penggunaan peranti elektronik, sebaliknya membaca secara fizikal melalui buku atau majalah, atau menggunakan peranti khas pembacaan seperti Kindle.

Ringkasnya, amalan membaca sememangnya kaedah terbaik memastikan pelajar dihasilkan sistem pendidikan kebangsaan menyeluruh keperibadiannya.

Dengan membaca, insan seimbang yang mampu berfikiran kritis, mempunyai nilai empati yang tinggi, berpengetahuan dan bersemangat cintakan negara mampu direalisasikan.

Justeru, usaha semua pihak diperlukan bagi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Dr Norshah Aizat Shuaib
Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

BERITA HARIAN ONLINE

PELAJAR, GURU PERLU PATUH SOP SETIAP MASA

Radzi melawat SMK dato' Abu Bakar Baginda, Bandar Baru Bangi

BANGI: Pelajar, guru dan warga sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada setiap masa bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selamat, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pelajar terutamanya perlu sentiasa mematuhi SOP ketika tiba di sekolah dan semasa proses penyuraian selepas tamat sesi persekolahan bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan mereka dan warga sekolah.

"Kita sudah ada SOP cukup lengkap dan teratur, apa yang penting adalah pematuhan, malah ibu bapa juga perlu sentiasa mengingatkan anak supaya mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita tekankan kepada pihak sekolah setiap SOP ditetapkan itu mesti dipatuhi dan murid perlu sentiasa diingatkan supaya mematuhi SOP," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di Bandar Baru Bangi pada hari pertama pembukaan semula sekolah menengah untuk Kumpulan B, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Pembukaan semula sekolah menengah semalam membabitkan Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B memulakan persekolahan hari ini.

Sementara itu, Radzi berpuas hati dengan perjalanan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan sekolah menengah hari ini. 

BERNAMA ONLINE