
CALON SPM di Sabah menggunakan bahan ulang kaji e-buku sepanjang penutupan sekolah, berikutan penularan COVID-19.

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kesemua 384 sekolah di Klang, Selangor dan tiga daerah di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran yang diklasifikasikan sebagai zon merah COVID-19, akan ditutup bermula esok sehingga 23 Okt ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu melibatkan 142 sekolah di Klang dan 242 sekolah di tiga daerah berkenaan di Sabah.
"Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang mempunyai asrama termasuk kolej vokasional juga ditutup," menurut kenyataan itu.
Justeru, ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan dinasihat agar menjemput anak mereka yang tinggal di asrama sekolah dan kolej vokasional terlibat.
Namun, pelajar boleh juga memilih untuk terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah dan akan berada di bawah penjagaan warden, menurut kenyataan itu.
"Keperluan makan dan minum murid sepanjang menunggu untuk diambil atau yang memilih untuk kekal di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan dalam tempoh penutupan sekolah itu, pengetua dan guru besar akan memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian mereka.
"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," menurutnya.
Sementara itu, bagi sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terlibat dengan penutupan, boleh menjadualkan semula peperiksaan ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.
"Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," menurut KPM.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula Jumaat ini susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.
BERNAMA ONLINE
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Keputusan
mengenai penutupan sekolah seluruh negara akan dibuat pada peringkat Sidang
Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19, kata Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya keputusan itu akan dibuat
berdasarkan keperluan, setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan
(KKM).
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
sentiasa memantau keadaan kes COVID-19 di sekolah seluruh negara. Jika ada
sebarang kes COVID-19 melibatkan warga sekolah, KPM akan bekerjasama rapat
dengan KKM dalam menanganinya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan
khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya yang disiarkan secara
langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari
ini.
Dalam hal ini, Muhyiddin berkata KKM akan
memaklumkan kepada KPM mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi
menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru serta kakitangan sekolah.
Menyedari ramai ibu bapa yang bimbang
mengenai kehadiran anak-anak ke sekolah, beliau berkata setakat ini kerajaan
memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota
Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan
sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai
termasuk persidangan besar dan kenduri kahwin bagi mengurangkan kebarangkalian
jangkitan COVID-19.
“Walau bagaimanapun, kerajaan akan
mendapatkan input daripada KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk
cadangan mengadakan SOP (prosedur operasi standard) tambahan jika perlu,” kata
beliau.
Menekankan aspek pematuhan SOP, Perdana
Menteri berkata petugas barisan hadapan dari agensi penguatkuasaan akan
dihantar semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhannya.
“Jika ada yang melanggar undang-undang,
hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat.
Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan! “ katanya.
BERNAMA ONLINE