Wednesday, 7 October 2020

KEPUTUSAN TUTUP SEKOLAH TERTAKLUK NASIHAT KKM - PM MUHYIDDIN

 

YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Keputusan mengenai penutupan sekolah seluruh negara akan dibuat pada peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya keputusan itu akan dibuat berdasarkan keperluan, setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes COVID-19 di sekolah seluruh negara. Jika ada sebarang kes COVID-19 melibatkan warga sekolah, KPM akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam menanganinya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari ini.

Dalam hal ini, Muhyiddin berkata KKM akan memaklumkan kepada KPM mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru serta kakitangan sekolah.

Menyedari ramai ibu bapa yang bimbang mengenai kehadiran anak-anak ke sekolah, beliau berkata setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai termasuk persidangan besar dan kenduri kahwin bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan COVID-19.

“Walau bagaimanapun, kerajaan akan mendapatkan input daripada KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP (prosedur operasi standard) tambahan jika perlu,” kata beliau.

Menekankan aspek pematuhan SOP, Perdana Menteri berkata petugas barisan hadapan dari agensi penguatkuasaan akan dihantar semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhannya.

“Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan! “ katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment