Tuesday, 6 October 2020

HARGAI JASA, PENGORBANAN PENSYARAH

Individu bergelar pensyarah menjalankan tugas mereka dengan mendidik dan membentuk pelajar supaya anak didik menjadi manusia berketrampilan, berperibadi unggul serta menjadi pewaris kepimpinan negara

MALAYSIA menyambut Hari Akademia yang diraikan setiap 5 Oktober bermula tahun lalu. Kementerian Pendidikan memutuskan Oktober akan diperkenalkan sebagai Bulan Akademia Malaysia dengan nama Hari Warga Akademia SeMalaysia.

Tarikh 5 Oktober dipilih bersempena sambutan Hari Guru Sedunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Oleh itu Oktober diperkenalkan sebagai Bulan Akademia dengan pelbagai program wacana dan intelektual sebagai pengisian program sepanjang bulan berkenaan.

Ia antara inisiatif Kementerian Pendidikan bagi menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik pada pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah.

Dengan wujudnya satu hari khas ini, maka dapatlah seluruh negara menghargai serta meraikan sumbangan dan pengorbanan pensyarah di Malaysia sebagaimana negara meraikan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Usaha meraikan kelompok pensyarah yang melatih modal insan yang bakal mengisi tenaga kerja menunjukkan kementerian amat komited dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi berkualiti, malah mempersiapkan mereka menjadi ahli akademik bertaraf global.

Pensyarah antara insan sentiasa mengamalkan sikap penuh integriti dan berhemah sepanjang kelas yang dihadiri pelajar di universiti, kolej mahupun institusi kemahiran tempat mereka bertugas.

Tugas hakiki pensyarah adalah mengajar. Mereka berkongsi ilmu akademik tanpa culas, malah turut dikehendaki melunaskan tugasan lain dalam usaha meninggikan tahap kesarjanaan mereka.

Berdepan kerenah pelajar dalam kelas, mereka juga dikehendaki berkongsi dapatan kajian dan penyelidikan dijalankan, malah turut diharap menghasilkan pelbagai inovasi yang dapat digunakan demi kemaslahatan ummah.

Selain mengajar, pensyarah perlu menjalankan penyelidikan dalam bidang mereka mahupun kolaborasi penyelidikan bersama bidang lain.

Mereka tidak jemu terus mendapatkan dana penyelidikan sama ada peringkat nasional mahupun antarabangsa yang juga menyaksikan penyertaan bersama rakan akademia lain dari dalam dan luar negara.

Mereka juga diharapkan dapat menerbitkan pelbagai kertas kerja akademik berbentuk ilmiah di samping menulis secara santai di akhbar dan majalah.

Walaupun jadual seharian sangat padat, mereka sentiasa meluangkan masa untuk menjadi penyelia kepada pelajar. Tugas sebagai seorang penyelia menuntut mereka meneliti kerja akademik pelajar di samping melawat organisasi yang terbabit latihan industri pelajar.

Ramai pensyarah aktif menulis buku sama ada dalam bidang mereka sendiri, kreatif ataupun sastera demi memastikan ilmu diperoleh dapat dimanfaatkan orang lain. Bukanlah tugas mudah menerbitkan sebuah buku kerana ia memakan masa agak lama.

Terkadang mereka ini dipanggil pelbagai pihak swasta dan agensi lain untuk menjalankan kerja perundingan dalam bidang tertentu. Ramai juga terbabit kerjasama dengan institusi luar negara bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.

Ada juga yang sanggup menyambung pengajian pada peringkat sarjana mahupun doktor falsafah dengan menggunakan wang sendiri. Mereka ini bolehlah dikatakan wira tidak didendang yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi memastikan ketinggian ilmu dapat dicapai supaya dapat berkongsi kembali dengan pelajar dalam kelas mahupun dengan masyarakat apabila tiba masanya.

Malah, mereka juga tidak pernah merungut mengeluarkan perbelanjaan sendiri saat ingin membentangkan hasil penyelidikan dek kerana kurangnya peruntukan dari institusi. Mereka dengan rela hati tidak mengenakan apa-apa bayaran saat dijemput pelbagai kelompok masyarakat.

Ini semua dilakukan dengan penuh semangat hanya dengan matlamat ingin berkongsi ilmu, selain membantu komuniti di sekeliling.

Kadangkala mereka antara dijemput membincangkan pelbagai isu semasa dalam pelbagai rancangan televisyen mahupun radio. Kepakaran mereka dalam bidang tertentu di samping berkongsi dalam lenggok bahasa mudah difahami segenap lapisan masyarakat akan membantu menghilangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap yang sedang melanda negara.

Buah fikiran dan kepakaran mereka ini yang dilihat dapat membantu negara menuju status negara maju dan bertamadun. Kita tidak mahu sebuah negara yang hanya moden dengan ekonomi tinggi tanpa modal insan yang baik.

Sudah pasti mana-mana individu bergelar pensyarah menjalankan tugas mereka dengan mendidik dan membentuk pelajar supaya anak didik menjadi manusia berketrampilan, berperibadi unggul serta menjadi pewaris kepimpinan negara.

Hargailah mereka ini yang dengan tulus ikhlas. Bukanlah penghargaan semata-mata diharapkan. Pun begitu apa yang diharapkan masyarakat dan kepimpinan negara sama-sama mengerti dan memahami peri pentingnya kehadiran mereka dalam masyarakat.

Selamat Hari Pensyarah! Teruskan kecemerlangan anda!

Suhana Mohamed,
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Pasir Gudang

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment