Friday 9 October 2020

KEPUTUSAN TUTUP SEKOLAH BERDASARKAN DATA, PERBINCANGAN - RADZI


Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Pendidikan berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

"Saya menerima banyak pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan menutup sekolah apabila terdapat peningkatan kes penularan COVID-19.

"Kami sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya malam tadi.

Radzi juga berkata kemungkinan terdapat pihak mendakwa kementeriannya seolah-olah lambat membuat keputusan, namun hakikatnya ia tidak begitu kerana negara tidak pernah berpengalaman menangani krisis seumpama ini.

"Ia tidak pernah berlaku, namun kita mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini mengenai pendekatan sesuai dalam keadaan tertentu," katanya.

Katanya lagi, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, operasi institusi pendidikan di bawah kementeriannya tetap berjalan lancar.

Mengulas penutupan sekolah di kawasan Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah bermula hari ini, beliau berkata keputusan diambil selepas pengesahan Kementerian Kesihatan bahawa kawasan itu adalah Zon Merah.

"Sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara sekiranya perlu akan dibuat di peringkat sidang khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 selepas menerima nasihat Kementerian Kesihatan," katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pihak termasuk rakyat negara ini untuk bekerjasama dalam menangani cabaran pandemik tanpa vaksin ini.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment