Sunday 4 October 2020

COVID-19: NUTP CADANGKAN SEKOLAH DALAM ZON JANGKITAN GUNA KAEDAH PdPR


Petugas Kesihatan membuat ujian saringan COVID-19 terhadap murid-murid Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, yang kini ditutup selepas seorang guru wanita sekolah itu positif COVID-19 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan sekolah yang terletak dalam zon jangkitan pandemik COVID-19, melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), berbanding persekolahan secara bersemuka.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata ada dalam kalangan guru berdepan trauma dan berada dalam keadaan tertekan, berikutan kawasan sekitar sekolah tempat mereka bertugas mencatatkan kes positif yang tinggi, sekali gus menimbulkan risiko untuk terdedah dengan jangkitan.

"Setakat ini sekolah dalam zon itu menunggu keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan negeri masing-masing dan akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana pihak terbabit mempunyai maklumat lebih tepat.

"Kita merasakan sekolah perlu ditutup dan jika keadaan benar-benar terdesak PdPR boleh dijalankan sama pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan dahulu," katanya ketika dihubungi BH.

Aminuddin berkata, ketika ini guru bertugas dalam keadaan trauma, tertekan berikutan perlu memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan dengan berkesan tetapi pada masa sama perlu berhati-hati berikutan kebarangkalian jangkitan yang tinggi di zon merah.

"Malah menerusi pekeliling KPM bertarikh 2 Oktober lalu, kementerian terbabit sudah menyelesaikan manual PdPR yang bertujuan memberi panduan kepada guru melaksanakan kaedah itu secara berstruktur dan terancang serta membolehkan murid mengikuti secara optimum.

"Ia akan dilaksanakan secara dalam talian dengan sokongan capaian internet, menggunakan peranti dan belajar secara 'real-time' mengikut had umur murid.

"Bagi pendekatan PdPR luar talian, murid akan belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian Internet. Selain itu, pendidikan boleh diteruskan dengan kaedah 'off-site' iaitu pembelajaran di pusat komuniti," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata, pihaknya berharap pihak berkenaan dapat menyediakan garis panduan sesuai bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan baharu.

"Dengan peningkatan kes sejak beberapa hari ini, ramai ibu bapa bimbang untuk menghantar mereka menjalani persekolahan berikutan risiko tinggi terhadap jangkitan terutama pesakit yang tiada gejala.

"Dalam keadaan negara masih dilanda COVID-19, kita berharap kerajaan dapat memberi jaminan keselamatan rakyat termasuk warga pendidikan" katanya.

Selain guru, kebimbangan juga tercetus dalam kalangan ibu bapa yang anak-anak mereka belajar di sekolah berdekatan kawasan penularan kluster khususnya kluster Seri Anggerik di Selangor.

Kebimbangan itu menyaksikan ada ibu bapa mengambil langkah tidak membenarkan anak masing-masing ke sekolah kerana bimbang penularan berpunca dari Sabah itu, yang setakat ini sudah menjangkiti lebih 15 mangsa dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment