SEREMBAN, 6 Okt -- Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara telah mengubah corak Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) para guru daripada ‘persaingan pengetahuan kepada ‘persaingan kreativiti, pembelajaran dan pemikiran secara bebas, bagi memenuhi keperluan pendidikan futuristik.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata meskipun berhadapan cabaran, para guru telah dapat menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan kaedah dan teknik PdPc bagi memastikan hasil pembelajaran tercapai dan semua murid dapat belajar tanpa halangan.
“Di samping itu, kaedah pentaksiran juga diubah suai selari dengan situasi semasa. Usaha ini telah dapat menghasilkan inovasi baharu dalam PdPc terutamanya, melalui pembelajaran dalam talian, penggunaan aplikasi teknologi terkini Youtube, Google Classroom, Zoom, Instagram dan sebagainya,” katanya dalam ucapan perasmian program Minda Inovasi Dinamik Institut Pendidikan Guru 2020 (MInD IPG 2020) di sini, hari ini.
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi rakaman video, Habibah turut menekankan bahawa ilmu pengetahuan berteraskan penyelidikan juga perlu diberi perhatian oleh guru kerana ia berupaya menghasilkan inovasi yang berimpak, relevan serta mampu menyelesaikan masalah dalam bilik darjah secara kreatif.
“Impak ledakan Revolusi Industri 4.0 masa kini mendesak guru untuk lebih proaktif dalam mengadaptasi perkembangan teknologi terkini dan kewujudan pelbagai disiplin ilmu masa kini turut menuntut para guru untuk meneroka lebih mendalam amalan terbaik dan terkini dalam PdPC,” katanya.
Habibah berkata situasi pandemik COVID-19 yang mencabar kini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membudayakan inovasi sebaliknya, memangkin semangat IPG untuk terus menongkah arus menerajui pembudayaan inovasi dalam normal baharu.
“Normal baharu bukan bermaksud mengehadkan kreativiti malah menuntut kita untuk berfikir di luar kotak,” katanya menambah pendidik seharusnya menjadi barisan hadapan dalam memastikan pendidikan dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada generasi akan datang.
Program MInD IPG 2020 yang turut dihadiri Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Dr Rusmini Ku Ahmad, merupakan program anjuran IPGM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM), dan disertai warga IPG dari 27 kampus di seluruh negara.
Sempena program itu, beberapa anugerah dipertandingkan sejak Julai lepas seperti Anugerah Citra Inovasi, yang dimenangi IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur dan Anugerah Bitara Emas Kategori Pensyarah, yang dimenangi IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka.
Turut dipertandingkan, anugerah Bitara Emas Kategori Gabungan (dimenangi IPG Kampus Ipoh, Perak); Anugerah Khas MInD Pamer (IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur); Anugerah Khas MInD Hibur (IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan), Anugerah Khas MInD Reka Cipta Logo (IPG Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur) dan Anugerah Kampus Cakna (IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu).
MInD 2020 yang merupakan penjenamaan semula
Hari Inovasi IPG (HaI) dilaksanakan secara maya dan bersemuka mulai tahun ini,
berikutan penularan wabak COVID-19.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment