KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif COVID-19 ditutup buat sementara waktu bagi melaksanakan langkah pencegahan sewajarnya.Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS bimbang dengan kes positif COVID-19 di beberapa sekolah di seluruh negara ketika ini dan apa yang lebih merisaukan, sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai kes jangkitan itu tetap berjalan seperti biasa.
"CUEPACS mendapat maklum balas, hampir semua sekolah yang merekodkan kes COVID-19 dalam kalangan warganya tidak kira sama ada murid atau guru mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.
"Kemerosotan kehadiran murid ini berasas kerana ibu bapa sudah pasti bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan virus itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, langkah penutupan sementara sekolah itu akan membolehkan proses mengenal pasti kontak rapat dapat dilaksanakan, sekali gus mengelakkan risiko penularan lain.
Katanya, ia juga tidak perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang, cukup sekadar untuk menyelesaikan ujian saringan kontak rapat dan kerja sanitasi di sekolah.
"Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, CUEPACS bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan.
"Pada masa yang sama, kerja pembersihan dan sanitasi sekolah dapat dijalankan dengan lebih lancar tanpa kehadiran murid. Harus diingatkan, apabila membabitkan kes COVID-19 di sekolah, kontak rapatnya adalah terlalu ramai," katanya.
Adnan menjelaskan, langkah itu juga akan memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka dan warga sekolah termasuk guru, selain selari dengan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini bahawa sekolah yang merekodkan kes positif COVID-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan boleh diarah tutup serta dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, tindakan itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat dikawal.
"Justeru, adalah wajar Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menutup sementara sekolah yang mencatatkan kes positif COVID-19.
"Jangan kita merisikokan warga sekolah dengan pelbagai prosedur tambahan dan tidak perlu. Keutamaan kita adalah untuk memastikan keselamatan warga sekolah dan mencegah penularan jangkitan virus ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment