Monday 5 October 2020

NUTP SARAN JPN, PPD, SEKOLAH DIBERI KUASA TUTUP SEKOLAH JIKA ADA KES COVID-19


Presiden NUTP, Aminuddin Awang (dua kanan) pada Pelancaran Buku Kajian Penyelidikan Pedagogi dan Persekolahan Penjarakan Fizikal NUTP Pandemik COVID-19.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap kuasa untuk membuat pertimbangan di luar kebiasaan seperti menutup sesi persekolahan secara fizikal diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya ada kes COVID-19 membabitkan murid atau guru.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata pertimbangan sama turut harus diberikan kepada pihak yang mempunyai hubung kait dengan sekolah termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak pentadbiran sekolah sendiri supaya tindakan pantas dapat diputuskan membabitkan penutupan operasi institusi itu.

Ini kerana pihak JPN, PPD mahupun sekolah itu sendiri lebih mengetahui situasi sebenar yang berlaku termasuk keseriusan keadaan institusi berkenaan berdepan dengan ancaman kes COVID-19.

Sehingga kini katanya, arahan penutupan sesebuah sekolah akibat COVID-19 dibuat atas saranan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Justeru, saya berasakan pihak MKN dan KKM perlulah memberi suatu kuasa lebih luas kepada JPN, PPD atau pihak sekolah sendiri sebab mereka lebih tahu apa yang berlaku dalam sekolah.

"Sebelum ini kita selalu mengambil pendekatan tunggu dan lihat yang kebiasaannya lambat untuk membuat keputusan sedangkan kita harus tahu menguruskan murid di sekolah ini tidak sama dengan orang dewasa, jadi tindakan pantas harus dilaksanakan.

"Apatah lagi jika keadaan itu sudah jelas menampakkan ketidakselesaan dalam kalangan murid dan juga guru maka keputusan segera harus dibuat," katanya selepas melancarkan buku Model Persekolahan Penjarakan Fizikal dan Model Pedagogi Penjarakan Fizikal Pandemik COVID-19, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi di mana kira-kira 100 murid di sebuah sekolah kebangsaan di Ampang, dekat sini, terpaksa menjalani ujian saringan COVID-19 di klinik kesihatan selepas seorang guru disahkan positif pandemik itu.

Sesi persekolahan di sekolah itu difahamkan tetap berjalan seperti biasa kerana tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan JPN.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, meskipun penutupan sekolah secara fizikal dilaksanakan, kelas pembelajaran secara dalam talian boleh diteruskan seperti biasa.

Kaedah sama turut harus dipraktikkan terhadap penganjuran sukan dan ko-kurikulum di mana pihak sekolah sepatutnya diberikan kelonggaran untuk tidak meneruskan aktiviti berkenaan jika berdepan risiko COVID-19 tanpa dikenakan tindakan.

Ini kerana beliau berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat aduan daripada pihak sekolah yang diarahkan mengemukakan surat tunjuk sebab kerana kegagalan menganjurkan aktiviti sedemikian selaras dengan garis panduan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

"Walaupun ia kes terpencil, pihak sekolah seharusnya ada pilihan jika didapati berisiko boleh untuk tidak membuat aktiviti itu, ...kitapun faham aktiviti ini penting juga untuk menarik kedatangan murid ke sekolah, " katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment