Wednesday, 17 February 2021

DidikTV KPM PELENGKAP PdPR


KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM yang mula bersiaran hari ini, mampu mengatasi banyak isu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Antara lain, inisiatif berkenaan akan dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin yang berdepan masalah mengikuti PdPR kerana tiada gajet atau masalah capaian internet.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli juga percaya, DidikTV bakal merapatkan jurang di antara pelajar di bandar dan luar bandar, selain menjadi pelengkap kepada PdPR.

"Saluran TV pendidikan memang ditunggu-tunggu ibu bapa dan guru kerana ia boleh meliputi seluruh negara, membantu mengatasi isu pelajar keciciran atau ketinggalan ketika tempoh pandemik kerana faktor gajet dan internet.

"Kandungannya biasanya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bermakna KPM dapat memastikan kurikulum pelajar di seluruh negara dalam tempoh pandemik ini adalah selaras.

"Saluran itu juga menggunakan guru cemerlang dan mahir menggunakan kaedah pengajaran yang boleh diterima semua, sekali gus memastikan standard pengajaran yang sama di seluruh negara.

"Melalui TV Pendidikan, konsep kesamarataan dalan pendidikan dapat diterjemahkan dan tiada jurang yang terlalu besar antara golongan bandar dan luar bandar," katanya ketika dihubungi BH.


Abdul Rahim berkata, kebiasaannya, kandungan TV Pendidikan adalah sama dengan sukatan pelajaran yang diajar di sekolah, sekali gus membantu murid untuk lebih faham apa yang diajar guru dalam PdPR.

"Jika sesi persekolahan secara bersemuka kembali pada masa depan, guru boleh terus menyambung daripada apa yang dipelajari melalui PdPR dan DidikTV KPM kerana kandungannya selaras DSKP dan buku teks," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata pihaknya turut menyokong penuh usaha KPM memperkenalkan saluran DidikTV dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid di seluruh negara.

"Tepat pada masanya, saluran TV pendidikan seperti ini diperlukan demi membantu murid seluruh negara mendapat akses pembelajaran melalui televisyen di rumah ketika wabak COVID-19 melanda seluruh dunia.

"Mengikuti pendidikan secara dalam talian memang bagus, tetapi terdapat kekangan dalam kalangan sesetengah murid dan keluarga yang tidak mampu menyediakan peranti. Pada masa sama, ada beberapa kawasan alami liputan internet tidak stabil, malah ada langsung tiada internet," katanya.

Beliau berkata, DidikTV memudahkan pengajaran kerana rata-rata setiap keluarga memiliki televisyen dan mudah mendapat capaian siaran.

Jasni berharap ibu bapa dapat membimbing anak-anak mereka mengikut penjadualan yang bakal disediakan DidikTV dan apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak, guru masih boleh menjadikan DidikTV sebagai nilai tambah kepada PdP di kelas.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, yakin DidikTV akan memberi banyak manfaat kepada pelajar.

Sambil menyambut baik inisiatif KPM itu, beliau berharap saluran berkenaan akan membantu mengatasi isu pembelajaran dalam talian dihadapi sesetengah pelajar, ibu bapa dan guru.


"Yang penting, kandungannya perlu menjurus pada silibus KPM. Ini memang harapan ibu bapa kerana jika pengisian hanya bersifat pengetahuan umum, ia tidak memberi impak mendalam. DidikTV akan melengkapkan pendidikan pelajar dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Nazri Ahmad, DidikTV ditunggu-tunggu ibu bapa yang berdepan kekangan kos untuk membeli data internet dan gajet kepada anak-anak untuk mengikuti PdPR.

Katanya, ramai pelajar, sama ada di bandar atau luar bandar, ketinggalan pelajaran apabila terpaksa bergantung pada PdPR dalam talian semata-mata kerana terpaksa berkongsi penggunaan telefon pintar atau peranti lain dengan adik-beradik atau ketika ibu bapa keluar bekerja.

"Saya yakin usaha ini tidak akan menjadi pembaziran dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita kena cuba dulu. Mungkin ia boleh menjadi siaran yang ditunggu-tunggu pelajar seperti zaman dahulu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 16 February 2021

IBU BAPA, PELAJAR LUAR BANDAR TERUJA DidikTV


Kuala Lumpur: Ibu bapa dan pelajar di luar bandar antara yang paling teruja menunggu siaran saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM yang bermula esok.

Mereka berharap dengan inisiatif diambil KPM itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, berbanding secara dalam talian yang sering terganggu disebabkan liputan internet yang lemah.

Di Sik, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, Nurul Ain' Muhamad Nazri, 12, mengakui sangat teruja apabila mengetahui DidikTV KPM akan mula bersiaran, esok.

"Capaian internet di rumah saya kurang memuaskan untuk belajar secara maya. Saya juga kurang selesa belajar kerana saiz telefon saya kecil. Jadi, apabila ada DidikTV, saya lebih senang dan yakin akan lebih puas belajar sebab layar televisyen lebih besar.


"Kami murid di luar bandar pasti akan mendapat manfaat dengan saluran khusus diperkenalkan KPM ini dan tak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada internet," kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Jumaat lalu, KPM mengumumkan akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari.

Majlis pelancaran saluran yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari itu, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM memaklumkan, saluran DidikTV itu juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai di Kuala Ketil, Baling, Habibah Md Tanziri, 33, juga mengakui inisiatif KPM itu akan memberi banyak manfaat dan dimensi baharu untuk pelajar mengikuti PdPR.


Katanya, sebagai pendidik di kawasan luar bandar, beliau melihat sendiri cabaran dihadapi pelajarnya disebabkan capaian internet yang perlahan.

"Sebelum ini, jika saya kongsi video tutorial, proses untuk memuat naik atau memuat turun video sangat lambat kerana masalah internet. Sekarang dengan DidikTV, pelajar akan lebih mudah untuk belajar tanpa gangguan.

"Sekiranya pelajar kurang faham subjek yang diajar menerusi tontonan TV, pasti guru akan lebih mudah memberi penerangan lanjut kerana kami juga melihat dan mendengar perkara yang sama di televisyen," katanya.

Bagi Tan Guang Cheong, 56, beliau sangat gembira apabila kerajaan memperkenalkan saluran khusus berkenaan selepas hampir setahun anaknya terpaksa belajar di rumah.

"Sekiranya anak dapat belajar menerusi televisyen, kami ibu bapa juga dapat duduk sekali untuk menghayati apa yang guru ajar, sama seperti belajar secara bersemuka. Anak akan lebih memberi tumpuan berbanding PdPR dalam talian.

"Apa yang saya lihat, apabila belajar dalam talian, anak kurang serius kerana tidak dipantau sepenuhnya, saya dan isteri pun bekerja. Apabila ada DidikTV, saya yakin anak akan lebih mudah faham setiap subjek yang diajar," katanya yang tinggal di Jitra.

Di Gua Musang, ibu bapa kepada murid Orang Asli di lapan sekolah pedalaman daerah ini menyambut baik usaha KPM yang diyakini memudahkan semua pelajar mengikuti pengajian lebih berkesan sepanjang sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan sekolah di perkampungan Orang Asli di Gua Musang adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Bihai, Tohoi, Pasik, Pasir Linggi, Hendrop, Pos Brooke dan Pulat.

Penghulu Orang Asli Pos Tuel, Halim Shariff mengakui murid Orang Asli di pedalaman sukar belajar dalam talian kerana capaian internet yang lemah, malah ada sesetengah kampung masyarakat itu langsung tiada liputan internet dan rata-rata penduduk tiada telefon pintar.

"Kami harap dengan adanya DidikTV, ia akan membawa perubahan dalam dunia pendidikan dan boleh ikuti di rumah," katanya.

Kamal Rami, 52, dari Pos Brooke, berkata beliau mahu melihat anak-anaknya belajar dalam keadaan sempurna, sekali gus melihat DidikTV sebagai langkah yang bijak demi memastikan tiada jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar .

Di Johor Bahru, pekerja swasta, R Chitra, 42, berharap DidikTV dapat memenuhi silibus pembelajaran takwim terbaru pelajar, selain mampu menarik minat pelajar mengikuti pembelajaran.

"Pembelajaran secara visual lebih digemari anak, teknik penyampaian perlu menarik perhatian supaya pelajar kekal di hadapan televisyen serta memahami subjek. Dalam keadaan semasa, saya yakin DidikTV boleh membantu dan menyokong kaedah PdPR.

"Ia dijangka mampu menyelesaikan 70 peratus masalah capaian internet yang digunakan dalam PdPR kerana semua rumah mempunyai siaran televisyen berbanding capaian internet," katanya.

Dua anaknya, P Sacheen, 11, dan P Rovan, 9, juga berharap DidikTV dapat memberi kefahaman lebih mendalam mengenai sesuatu subjek kerana pembelajaran di televisyen lebih mudah dan menyeronokkan.




"Kalau guna telefon, skrin agak kecil dan capaian internet perlahan. Mungkin pembelajaran di televisyen berbeza, menarik dan lebih selesa. DidikTV antara pilihan yang perlu ada bagi menyokong PdPR, selain latihan," kata mereka.

BERITA HARIAN ONLINE

CUEPACS SOKONG PdPR 2.0 DITANGGUH


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong penuh kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan permohonan penangguhan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pelbagai masalah dalam PdPR 1.0 perlu diperbaiki secara menyeluruh sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan.

Menurutnya, NUTP telah melakukan kajian dan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0 berdasarkan kepada realiti pembelajaran rakyat Malaysia sepanjang tempoh Covid-19.

“Pelbagai pendapat serta pandangan bagi pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan guru telah diambil kira dalam kajian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah tiba masanya ia ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor seperti capaian internet, gajet untuk pembelajaran serta keadaan ruang belajar yang selesa.

“Ini dapat dilihat di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah capaian internet dan guru-guru terpaksa mencari alternatif lain seperti terpaksa meredah sungai atau hutan untuk memberi tugasan kepada murid.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai penjawat awam tidak mampu menyediakan gajet untuk lima anak dan harga gajet sekarang mahal kerana permintaan yang tinggi pada waktu ini.

"Kemudahan jalur lebar dan telefon pintar serta komputer riba sangat penting bagi memastikan proses PdPR berjalan secara lancar sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.

SINAR HARIAN ONLINE

MANSUH PdPR 2.0, GUNA KAEDAH PdPR 1.0

Aminuddin Awang

SHAH ALAM- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengekalkan cara pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah 1.0 (PdPR 1.0) yang lebih flekisibel berbanding PdPR 2.0 yang digunapakai hari ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, ini memandangkan jadual waktu PdPR 2.0 yang diselarasakan, diatur seperti jadual sesi persekolahan secara bersemuka sekitar jam 7 pagi hingga 1 petang yang menimbulkan pelbagai masalah.

Katanya, KPM perlu mengekalkan cara pembelajaran PdPR 1.0 yang hanya memperuntukkan masa beberapa jam sahaja untuk murid sekolah rendah dan juga pelajar sekolah menengah.

“Perkara ini dibangkitkan kerana KPM seolah-olah tidak mengambil kira situasi semasa yang menambah bebanan kepada murid yang terpaksa berkorban menggunakan peranti iaitu telefon bimbit yang turut dikongsi dengan adik beradik yang lain dan juga ada yang menggunakan telefon ibu dan bapa mereka.

“Maka Pihak KPM seharusnya melihat situasi semasa yang dihadapi guru, murid dan ibu bapa yang amat tertekan dengan situasi semasa ketika negara masih lagi berperang dengan wabak Covid-19.

“Ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka, maka ramai antara pelajar ini terpaksa berkongsi telefon bimbit dan ini menimbulkan masalah yang tidak berkesudahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Aminuddin berkata, pelaksanaan PdPR versi 2.0 perlu dilakukan dengan merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menetapkan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.

Menurut beliau lagi, seharusnya semua golongan pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Justeru Aminuddin menegaskan, pihak KPM harus memikirkan pendekatan terbaik bagi meneruskan pembelajaran anak-anak di rumah dengan tidak menambah bebanan dan tekanan kepada mereka.

Tegasnya, KPM seharusnya memudahkan dan menambah baik PdPR 1.0 yang lebih baik dan fleksibel dan boleh diterima oleh murid-murid dan ibu bapa.

"Panduan pelaksanaan jadual waktu PdPR 2.0 dilihat agak membebankan dengan peruntukan masa yang ditetapkan mulai jam 7.30 pagi hingga jam 1.00 tenga hari iaitu lima jam setengah dan peruntukkan masanya yang lebih lama.

"Berbanding sebelum ini dalam PdPR versi 1.0 yang hanya memperuntukkan masa untuk pra sekolah selama dua jam, sekolah rendah dua hingga tiga jam dan menengah rendah dan atas tiga hingga empat jam," katanya lagi.

Aminuddin menambah, peruntukkan masa tempoh layar maksimum mengikut umur itu adalah berdasarkan sumber daripada www.eyepromise.com dengan merujuk kepada The American Of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization [WHO].

Aminuddin menegaskan, pihak KPM dengan jelas tidak mematuhi panduan tempoh layar maksimum tersebut dan perkara itu perlu diteliti semula.

SINAR HARIAN ONLINE

Monday, 15 February 2021

SEGERAKAN PEMERKASAAN KURIKULUM PdPR

Langkah lebih proaktif dalam PdPR perlu dilaksanakan segera


ISU keciciran murid sememangnya sudah lama wujud. Ini disebabkan banyak faktor seperti akses pendidikan terhad selain faktor kemiskinan.

Namun, akibat pandemik COVID-19, kadar keciciran murid sekolah semakin meningkat. Perhatian khusus harus diberikan, terutama kepada murid Tahun Satu.

Malaysia mula melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Selepas itu, sesi pembelajaran bersemuka bertukar kepada mod dalam talian sepenuhnya.

Merujuk kepada manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), ada tiga kaedah PdPR, iaitu secara dalam talian (online), luar talian (offline) atau off-site.

Namun, selepas hampir setahun diguna pakai, masih ada isu berkait yang perlu perhatian KPM. Banyak sekali dibincangkan aspek kualiti dan prestasi pencapaian pelajar melalui kaedah PdPR.

Kasihan murid Tahun Satu pada tahun ini yang baru melangkah ke alam persekolahan. Lebih kasihan kepada murid Tahun Satu tahun depan.

Melihat kepada kenaikan statistik kes COVID-19, dapat dijangka sekolah secara bersemuka masih belum dapat dijalankan. Maka, pelajar ini bergantung sepenuhnya kepada PdPR.

Justeru, KPM harus mencari penyelesaian tuntas agar mereka ini tidak menyumbang kepada kenaikan kadar keciciran pada tahun berikutnya. Langkah lebih proaktif melalui pemerkasaan kurikulum PdPR perlu dilaksanakan segera.

Huraizah Arshad,
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, 
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar

BERITA HARIAN ONLINE

MTUC GESA KERAJAAN PERBAIKI PdPR

MTUC mahu penilaian dan pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini mengambil kira semua golongan rakyat. 


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan memperbaiki segera pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelak jurang pendidikan di negara ini menjadi semakin besar.

Susulan itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata Kementerian Pendidikan perlu meneliti semula keupayaan sesebuah keluarga terutama daripada golongan B40 dan keluarga luar bandar yang berdepan masalah ketika pelaksanaan PdPR.

Katanya, mengikut rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kadar pemberhentian kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat tinggi dan ini boleh dijadikan petunjuk mengenai keupayaan sesebuah keluarga dalam menghadapi PdPR.

Beliau berkata, golongan ibu bapa dalam kalangan B40 tidak mungkin dapat menyediakan peranti untuk PdPR kerana keutamaan mereka adalah menyediakan makanan kepada keluarga.

"Pendidikan adalah cara mengubah masa depan golongan B40 dan setiap murid mempunyai hak mendapatkan akses pendidikan bagi mencapai potensi masa depan.

"Justeru, MTUC berharap penilaian dan pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini mengambil kira semua golongan rakyat.

"Jika pelaksanaan PdPR kali pertama ini menyebabkan masalah kepada golongan rentan, MTUC mendesak kerajaan memperbaikinya dan mencari penyelesaian tuntas sebelum PdPR kali kedua dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Baharin berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu PdPR kali kedua ditangguhkan kerana menambah bebanan murid, guru dan ibu bapa berdasarkan kajian yang dijalankannya.

Mengikut kajian itu, ibu bapa bukan saja terbeban kerana sukar membantu anak belajar, malah timbul isu tekanan ekonomi dihadapi golongan keluarga B40, menyebabkan ada antara murid tidak mempunyai peranti.

Kamarul Baharin menyifatkan permintaan NUTP supaya PdPR ditangguhkan adalah wajar dan tepat terutama apabila kajian itu dilakukan berdasarkan realiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) ketika tempoh penularan COVID-19.

Katanya, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew turut menerima 40,000 permohonan dari seluruh negara untuk mendapatkan bantuan peranti tablet.

"Ini sebahagian petunjuk kepada Kementerian Pendidikan bahawa masih ramai ibu bapa golongan B40 yang tidak berupaya menyediakan peranti bagi pembelajaran PdPR anak mereka.

"Kemudahan jalur lebar juga antara masalah perlu dipertimbangkan. Tidak mungkin isu ini dapat diselesaikan individu seperti Ustaz Ebit Lew kerana ia membabitkan kos tinggi," katanya.

Kamarul Baharin berkata, sehingga kini Kementerian Pendidikan tidak memberikan data atau analisa kepada masalah PdPR.

"Penambahan masa PdPR akan menguntungkan sebahagian murid tetapi bagi yang menghadapi masalah, ia akan menyebabkan jurang pendidikan semakin besar.

"Ini tidak seharusnya terjadi dalam usaha kerajaan menuju 'Kemakmuran Bersama'," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 14 February 2021

'PAKCIK' RADZI NASIHAT CALON TENANG JAWAB SOALAN SPM

Radzi berharap calon SPM lakukan yang terbaik bagi menghadapi peperiksaan.

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radzi Jidin berharap calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya sentiasa tenang dan terus berusaha untuk menjawab yang terbaik dalam setiap subjek diambil.

Menteri Kanan (Pendidikan) itu berkongsi rasa calon SPM kali ini berdepan dugaan besar dalam menghadapi peperiksaan berikutan kekangan akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan sesi persekolahan terpaksa dilanjutkan sehingga tahun ini.

Sambil membahasakan dirinya sebagai 'pakcik', Radzi mahu calon peperiksaan menjadikan kisahnya sebagai 'budak kampung' yang berupaya belajar ke luar negara dan berjaya dalam pelajaran sebagai inspirasi untuk menghadapi peperiksaan.

"Kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM, pakcik amat memahami pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi sepanjang tempoh setahun lalu.

"Lakukanlah yang terbaik dalam ruang lingkup kekangan yang ada. Selebihnya sama-sama kita berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa.

"Apabila tiba hari peperiksaan untuk sesuatu kertas, maka tamatlah tempoh kita berusaha. Ketika itu, tenangkanlah perasaan kerana ruang untuk kita berusaha sebelum peperiksaan telah selesai.

"Ruang seterusnya untuk berusaha ialah sewaktu menjawab peperiksaan. Ikhtiarlah yang terbaik semasa menjawab soalan. Selesai menjawab, maka selesailah ikhtiar kita untuk mata pelajaran itu. Selebihnya kita berserah dan bertawakal.

"Begitulah rutin untuk mata pelajaran berikutnya. Apa yang penting, ketika berusaha dan berikhtiar itu, kita mestilah sentiasa tenang," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada November tahun lalu, Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari ini.

Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021.

Seramai 400,445 calon mendaftar untuk SPM tahun ini, manakala bagi SVM, 14,492 calon semester dua dan 8,371 calon di semester empat.

Radzi berkata, kementerian akan terus berusaha memastikan peperiksaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

"Pakcik anak kampung, membesar di kampung, merantau mencari ilmu dan diamanahkan membangunkan pendidikan generasi pewaris negara. Pak Cik tidak sempurna, tapi yakinlah anak-anak, kami di KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Katanya, kementerian akan lancarkan saluran khusus TV Pendidikan pada Rabu ini serta menambah slot untuk pelajar yang bakal menduduki SPM mengikuti kelas yang diajar guru berpengalaman.

Radzi turut berkongsi kisah hidupnya sebagai anak kampung kelahiran Ketereh, Kelantan yang terpaksa berjauhan dengan keluarga serta merantau ke luar negara untuk menyempurnakan pendidikannya.

Malah, katanya beliau tidak dapat berada di sisi ayahnya yang meninggalkan dunia, namun pasrah dengan ketentuan itu yang menguatkan lagi semangatnya untuk menimba ilmu serta menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

"Aku akan sentiasa ingat pesan arwah abah, 3B!". Inilah azimat yang dipegang siang dan malam. Alhamdulillah, budak kampung ini mendapat keputusan yang baik pada semester dua.

"Tanpa dijangka, budak ini mendapat surat daripada pihak universiti. Budak ini terpilih menerima anugerah sebagai salah seorang daripada tiga orang pelajar antarabangsa terbaik di dalam fakulti beliau.

"Ini adalah sebahagian daripada coretan perantauan budak kampung yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan. Budak kampung ini bukanlah ingin bercerita mengenai kejayaannya.

"Ini menceritakan setiap daripada kita melalui halangan, cabaran dan dugaan berbeza. Apa yang penting, kita terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik.," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE