Thursday, 17 June 2021

KAPASITI, KEUPAYAAN PENYIMPANAN TENTUKAN KELANCARAN PdPR



KUALA LUMPUR: Kapasiti sesuatu peranti termasuk memori dan storan sangat penting dalam memastikan proses pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar, dengan sekurang-kurangnya mempunyai memori tiga gigabait (3GB) dan storan bersaiz 16 GB ke atas.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan, Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali, berkata pada ketika ini sudah ada beberapa model telefon pintar dengan kapasiti 3GB RAM dan storan 32GB yang berharga murah di bawah RM400.

"Secara umumnya PdPR dilakukan dengan menggunakan perisian Google Meet dan Google Classroom. Apabila pengajaran secara atas talian dilakukan, perisian Google Meet akan digunakan.

"Dalam mana-mana perisian persidangan video, prestasi perisian itu bergantung kepada bilangan video yang dipaparkan. Lebih banyak skrin video, maka perkakasan memerlukan saiz memori yang lebih besar," katanya kepada BH, hari ini.

Baru-baru ini kerajaan Perak mengakui telefon pintar yang diagihkan secara percuma menerusi inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani adalah peranti berkualiti rendah yang hanya sesuai digunakan bagi tujuan pembelajaran.

Dr Sawal Hamid berkata, walaupun pelajar tidak menggunakan perisian lain, bilangan skrin video itu akan memberi kesan kepada perkakasan.

"Oleh itu, di dalam kelas dalam talian, biasanya kita mempunyai 30 murid atau lebih. Jadi lebih banyak skrin video yang akan ada di paparan, walaupun fungsi video dimatikan. Ini akan memberi kesan kepada perkakasan yang mempunyai memori rendah dan seterusnya menjejaskan kelancaran sesi pembelajaran itu.

"Secara umumnya, untuk menggunakan Google meet, spesifikasi minimum untuk memori adalah 500MB (megabait). Tetapi sebenarnya ia tidak begitu lancar sekiranya bilangan skrin yang banyak. Kalau boleh, 3GB RAM dan ke atas," katanya sambil menjelaskan perisian operasi sistem dan 'browser' juga memerlukan memori.

Katanya, memori bersaiz lebih daripada 2GB adalah lebih diperlukan.

Selain itu katanya, dalam era pembelajaran zaman ini, sumber maklumat dan pengetahuan bukanlah semata-mata menerusi pembelajaran rasmi seperti PdPR tetapi juga meliputi pembelajaran di luar kelas.

"Sebagai contoh, pada kebiasaannya, pelajar akan mendapatkan pengetahuan tambahan menerusi video dalam talian seperti YouTube. Adakalanya pembelajaran dari YouTube ini amat membantu pemahaman pelajar.

"Apabila kita menggunakan perkakasan seperti telefon pintar, adalah penting untuk menggunakannya dengan lancar tanpa 'lagging' atau 'slow down' berlaku sekiranya memori terlalu rendah.

"Apabila penggunaan perkakasan tidak lancar, maka ia akan mengganggu dan proses pembelajaran akan menjadi bosan," katanya yang berpendapat sumbangan tablet adalah lebih sesuai untuk proses pembelajaran.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Komputer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rizal Mohd Nor, berpendapat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyediakan garis panduan khusus kesesuaian peranti atau telefon pintar untuk kegunaan pelajar.

Katanya, adalah lebih baik jika sesuatu peranti itu dilengkapkan sistem operasi yang disesuaikan atau 'customized operating system' supaya daapat mengehadkan penggunaan aplikasi kepada perisian yang diluluskan KPM.

"Storan sesuatu peranti itu bergantung kepada keperluan aplikasi. Namun, ada maklumat daripada pembangun aplikasi XDA menyatakan Aplikasi Google, kebanyakan aplikasi yang digunakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) meletakkan had kepada dua gigabait (2GB).

"Justeru adalah lebih baik sekiranya storannya tidak kurang daripada 2GB untuk memastikan kegunaan PdPR berjalan lancar dan tanpa masalah di masa hadapan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 12 June 2021

GURU KELAS PEPERIKSAAN DIBERI KEUTAMAAN VAKSIN

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

KUALA LUMPUR: Guru kelas peperiksaan akan diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 sekiranya situasi pandemik semakin pulih dan terdapat keperluan menghadiri pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu sudah dibincangkan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

"Katakanlah kita nak buka sekolah dalam keadaan pandemik ini bertambah baik, kumpulan yang akan ke sekolah dahulu adalah pelajar kelas peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

"Dalam konteks ini selepas berbincang dengan menteri yang menguruskan PICK dan bersetuju supaya guru kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk menerima vaksin," katanya pada program Soal Rakyat Khas bertajuk 'Cabaran SPM Dalam Era Pandemik' yang disiarkan secara langsung hari ini.

BERITA HARIAN ONLINE




Thursday, 10 June 2021

LEPASAN SPM 2020 PERLU KEMAS KINI UPUonline


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan Fasa Pengemaskinian UPUOnline selama tujuh hari bermula 15 Jun dan ditutup pada jam 5 petang 21 Jun ini.

Ini bertujuan memberi peluang pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 terutama di luar bandar yang sudah memohon fasa pertama bagi mengemaskini pilihan program pengajian berdasarkan keputusan peperiksaan mereka.

KPT dalam kenyataan hari ini berkata, pemohon boleh mengemaskini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali program pengajian sudah dipanggil temu duga atau ujian.

Katanya, hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik

"Serentak dengan pengemaskinian itu, KPT akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama rakan strategik Universiti Malaya (UM) bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas ketika negara berdepan cabaran pendemik COVID-19.

"JMIPT Virtual 2021 membabitkan penyertaan semua universiti awam, politeknik, kolej komuniti; Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bahagian Biasiswa KPT.

"Program ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama pada 15 hingga 21 Jun khusus untuk pemohon lepasan SPM dan fasa kedua pada 8 hingga 12 Ogos kepada pemohon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta setaraf," katanya.

JMIPT Virtual 2021 menyediakan 29 slot webinar, sesi 'live chat' dan konsultasi secara berkelompok serta individu oleh pempamer secara virtual.

KPT turut mengekalkan jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian hotline, sistem

maklum balas dan e-mel rasmi sepanjang program berlangsung.

Pemohon, ibu bapa, penjaga, guru bimbingan dan kaunseling serta orang awam dijemput hadir ke program berkenaan.

BERITA HARIAN ONLINE

RADZI 'TABIK HORMAT' CALON SPM 2020

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin memberikan tanda tabik pada kepada semua calon SPM 2020 atas keupayaan mereka hadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh peperiksaan pada Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial yang, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, memberi 'tabik hormat' kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang disifatkan sebagai generasi hebat.

Ia berikutan kejayaan mereka mengharungi tempoh sukar sejak penularan COVID-19 sehingga menduduki peperiksaan awam itu, tahun ini.

Radzi menzahirkan pujian itu kepada kesemua calon terbabit, tanpa mengira apa juga keputusan diperoleh mereka dalam peperiksaan berkenaan.

"Untuk calon SPM 2020, apa saja keputusan yang anak-anak dapat pada hari ini, ingatlah anak-anak adalah generasi yang hebat.

"Belum pernah ada mana-mana calon SPM yang melalui dugaan, cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020.

"Tabik hormat pak cik kepada anak-anak sekalian," katanya pada Sidang Media Khas SPM 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Radzi mengaku tempoh sukar itu turut diharungi semua pihak, sekali gus berterima kasih kepada keseluruhan jentera di Kementerian Pendidikan (KPM), terutama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), atas usaha memastikan peperiksaan SPM 2020 berjalan lancar walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Beliau menegaskan, guru bagi calon SPM 2020 sudah melakukan yang terbaik untuk anak didik mereka, biarpun terpaksa berdepan penutupan sekolah, selain penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Alhamdulillah, calon SPM 2020 saudara-saudari telah melakukan yang terbaik.

"Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit pelaksanaan SPM 2020.

"Ia bukan sesuatu yang mudah. Guru sebagai petugas peperiksaan, bertugas pada hari peperiksaan, terbabit dalam pemarkahan peperiksaan serta yang mengajar calon SPM 2020, bagi pihak KPM, terima kasih saya ucapkan," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap semua ibu bapa terus memberi kepercayaan kepada KPM kerana kedua-dua pihak mahukan yang terbaik untuk pelajar.

Terdahulu, Radzi memaklumkan, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan serta pengendalian SPM 2020 berjalan lancar dan selamat di semua pusat peperiksaan.

Katanya, ia membabitkan pertambahan lebih 15,000 petugas peperiksaan berbanding ketika SPM 2019.

Beliau berkata, seramai 24,848 pemeriksa skrip jawapan peperiksaan turut dilantik.

"SPM 2020 adalah cukup berbeza. Belum pernah dalam sejarah, SPM dilaksanakan dalam situasi pandemik yang cukup besar.

"Menyedari kesukaran serta cabaran yang akan dihadapi dalam pelaksanaan peperiksaan kali ini, kita melakukan persiapan cukup rapi.

"Pertama sekali ialah menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan berkaitan meliputi kaedah yang boleh digunakan supaya peperiksaan dapat dijalankan dalam keadaan selamat," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan SPM 2020 diubah kepada kaedah dalam talian sepenuhnya, kecuali bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.


BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 6 June 2021

LAKSANA PdPR IKUT KESESUAIAN GURU, MURID


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu disesuaikan dengan keadaan guru dan murid, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau mengakui guru termasuk murid berdepan kekangan masing-masing untuk melaksanakan PdPR dalam tempoh sekarang susulan penularan COVID-19.

Justeru, katanya, tiga komponen penjajaran kurikulum digariskan merangkumi kandungan asas, kandungan tambahan dan kandungan pelengkap bagi membolehkan guru memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) paling sesuai dengan kekangan dihadapi mereka.

"Kami menerima banyak pertanyaan mengenai kurikulum, antaranya mengapa tidak dipendekkan, tidak dipotong dan tidak beri tumpuan kepada subjek tertentu.

"Sebenarnya kita sudah melaksanakan penjajaran kurikulum pada tahun lalu bagi membolehkan kandungan kurikulum disusun kepada tiga komponen utama.

"Komponen pertama adalah kandungan asas, kemahiran asas dan nilai asas yang perlu dikuasai semua murid. Jadi, guru akan memastikan murid dapat menguasai kandungan asas ini.

"Kita juga ada kandungan tambahan dan kandungan pelengkap. Selepas guru memastikan murid menguasai kandungan asas, jika ada masa, guru akan memberi tumpuan kepada kandungan tambahan dan jika masih ada masa, guru akan memberi tumpuan kandungan pelengkap serta melengkapkan secara keseluruhan," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Untuk setiap tahap murid, Radzi berkata, mereka disediakan kandungan asas yang perlu dikuasai dan ia komponen utama.

Justeru, katanya, apa yang penting perlu ditekankan adakah setiap guru mengetahui kemampuan dan kebolehan anak didik mereka.

"Guru lebih mengetahui dan menyusun perancangan supaya kandungan khususnya kandungan asas dapat dikuasai murid mengikut pendekatan terbaik.

"Sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, ia dibuat berdasarkan kesesuaian guru dan murid kerana kita sedar mereka ada kekangan masing-masing.

"Jadi, kurikulum itu dijajarkan dan membolehkan komponen utama dalam setiap PdP diberi tumpuan serta membolehkan guru memilih kaedah atau pendekatan paling sesuai," katanya.

Mengulas manual PdPR 2.0, Radzi berkata, ia satu panduan untuk membolehkan guru dan ibu bapa melihat secara holistik kaedah boleh digunakan dan paling optimum boleh dilaksanakan.

"Ia tidak semestinya dilaksanakan sepenuhnya seperti yang ada dalam manual itu.

"Apa yang diberikan itu adalah contoh dan guru lebih mengetahui pendekatan terbaik mengenai kurikulum akan diajarkan mereka. Sebab itu apa saja yang kita laksanakan dalam kurikulum, tumpuan utama adalah untuk kemenjadian murid secara keseluruhan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

PdPR SELAMA 25 HARI BERMULA 13, 14 JUN


KUALA LUMPUR: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.

"Kita sedia maklum waktu ini sekolah dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B.

"Kemudian murid akan mengikuti PdPR selama 25 hari persekolahan sehingga cuti berikutnya iaitu cuti pertengahan penggal bermula pada 16 Julai bagi negeri kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri kumpulan B.

"Dari tarikh itu bermula cuti pertengahan penggal sehingga 26 Julai untuk negeri kumpulan B dan 25 Julai untuk negeri kumpulan A.

"Jadi itulah takwim atau jadual penggal persekolahan yang ada dan berkuat kuasa pada hari ini," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Radzi berkata, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

"Ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

"Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

SPM 2021 DIADAKAN TAHUN DEPAN



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengumumkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan menduduki peperiksaan itu pada tahun depan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis akan bermula Mac 2022.

"Kementerian membuat keputusan ini selepas mengambil kira keadaan semasa dan cabaran perlu dilalui calon SPM 2021.

"Pengalaman kita dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan kita menganjakkan tempoh atau tarikh pelaksanaan SPM 2021 ke tahun depan.

"Kita yakin segala prosesnya dapat berjalan lancar sama seperti kita berjaya melaksanakan SPM 2020," katanya dalam sidang akhbar maya, hari ini.

Menjawab dakwaan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) kononnya kementerian gagal menguruskan SPM 2020, Radzi berkata, sebenarnya peperiksaan pada tahun lalu bukan saja yang paling mencabar, bahkan yang paling banyak dibuat penambahbaikan.

Beliau berkata, dalam sejarah pendidikan negara, belum wujud garis panduan untuk melaksanakan peperiksaan awam seperti SPM dalam tempoh pandemik.

Katanya, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga menggubal prosedur operasi standard (SOP) yang cukup lengkap, antaranya meningkatkan jarak antara meja kepada 1.5 meter berbanding 0.8 meter sebelum itu.

"Kalau ada calon yang batuk atau demam, kita asingkan mereka di bilik khas walaupun belum tentu mereka positif COVID-19.

"Bilik khas ini menempatkan tiga ke empat orang saja untuk mengurangkan gangguan kepada calon lain yang menduduki peperiksaan," katanya.

Radzi berkata, jumlah petugas turut ditingkatkan melebihi 48,000 orang di seluruh negara untuk memastikan SPM 2020 dapat dilaksana dengan lancar.

Beliau berkata, buat kali pertama juga proses semakan kertas jawapan SPM 2020 dibuat secara dalam talian dan ia bukan mudah kerana sebanyak lima juta kertas jawapan perlu diimbas untuk tujuan itu.

Katanya, walaupun SPM 2020 dibuat dalam dua sesi untuk memenuhi keperluan calon yang terpaksa dikuarantin, keputusannya dikeluarkan lebih awal berbanding tahun sebelumnya.

"Keputusan SPM 2020 buat kali pertama boleh disemak secara dalam talian, manakala sijilnya dicetak sebulan selepas keputusan berbanding lima ke enam bulan sebelum ini," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE