Thursday 10 June 2021

RADZI 'TABIK HORMAT' CALON SPM 2020

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin memberikan tanda tabik pada kepada semua calon SPM 2020 atas keupayaan mereka hadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh peperiksaan pada Sidang Media Khas SPM 2020 secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial yang, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, memberi 'tabik hormat' kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang disifatkan sebagai generasi hebat.

Ia berikutan kejayaan mereka mengharungi tempoh sukar sejak penularan COVID-19 sehingga menduduki peperiksaan awam itu, tahun ini.

Radzi menzahirkan pujian itu kepada kesemua calon terbabit, tanpa mengira apa juga keputusan diperoleh mereka dalam peperiksaan berkenaan.

"Untuk calon SPM 2020, apa saja keputusan yang anak-anak dapat pada hari ini, ingatlah anak-anak adalah generasi yang hebat.

"Belum pernah ada mana-mana calon SPM yang melalui dugaan, cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020.

"Tabik hormat pak cik kepada anak-anak sekalian," katanya pada Sidang Media Khas SPM 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Radzi mengaku tempoh sukar itu turut diharungi semua pihak, sekali gus berterima kasih kepada keseluruhan jentera di Kementerian Pendidikan (KPM), terutama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), atas usaha memastikan peperiksaan SPM 2020 berjalan lancar walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Beliau menegaskan, guru bagi calon SPM 2020 sudah melakukan yang terbaik untuk anak didik mereka, biarpun terpaksa berdepan penutupan sekolah, selain penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Alhamdulillah, calon SPM 2020 saudara-saudari telah melakukan yang terbaik.

"Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit pelaksanaan SPM 2020.

"Ia bukan sesuatu yang mudah. Guru sebagai petugas peperiksaan, bertugas pada hari peperiksaan, terbabit dalam pemarkahan peperiksaan serta yang mengajar calon SPM 2020, bagi pihak KPM, terima kasih saya ucapkan," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap semua ibu bapa terus memberi kepercayaan kepada KPM kerana kedua-dua pihak mahukan yang terbaik untuk pelajar.

Terdahulu, Radzi memaklumkan, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan serta pengendalian SPM 2020 berjalan lancar dan selamat di semua pusat peperiksaan.

Katanya, ia membabitkan pertambahan lebih 15,000 petugas peperiksaan berbanding ketika SPM 2019.

Beliau berkata, seramai 24,848 pemeriksa skrip jawapan peperiksaan turut dilantik.

"SPM 2020 adalah cukup berbeza. Belum pernah dalam sejarah, SPM dilaksanakan dalam situasi pandemik yang cukup besar.

"Menyedari kesukaran serta cabaran yang akan dihadapi dalam pelaksanaan peperiksaan kali ini, kita melakukan persiapan cukup rapi.

"Pertama sekali ialah menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan berkaitan meliputi kaedah yang boleh digunakan supaya peperiksaan dapat dijalankan dalam keadaan selamat," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan SPM 2020 diubah kepada kaedah dalam talian sepenuhnya, kecuali bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.


BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment