KUALA LUMPUR: Kapasiti sesuatu peranti termasuk memori dan storan sangat penting dalam memastikan proses pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar, dengan sekurang-kurangnya mempunyai memori tiga gigabait (3GB) dan storan bersaiz 16 GB ke atas.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan, Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali, berkata pada ketika ini sudah ada beberapa model telefon pintar dengan kapasiti 3GB RAM dan storan 32GB yang berharga murah di bawah RM400.
"Secara umumnya PdPR dilakukan dengan menggunakan perisian Google Meet dan Google Classroom. Apabila pengajaran secara atas talian dilakukan, perisian Google Meet akan digunakan.
"Dalam mana-mana perisian persidangan video, prestasi perisian itu bergantung kepada bilangan video yang dipaparkan. Lebih banyak skrin video, maka perkakasan memerlukan saiz memori yang lebih besar," katanya kepada BH, hari ini.
Baru-baru ini kerajaan Perak mengakui telefon pintar yang diagihkan secara percuma menerusi inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani adalah peranti berkualiti rendah yang hanya sesuai digunakan bagi tujuan pembelajaran.
Dr Sawal Hamid berkata, walaupun pelajar tidak menggunakan perisian lain, bilangan skrin video itu akan memberi kesan kepada perkakasan.
"Oleh itu, di dalam kelas dalam talian, biasanya kita mempunyai 30 murid atau lebih. Jadi lebih banyak skrin video yang akan ada di paparan, walaupun fungsi video dimatikan. Ini akan memberi kesan kepada perkakasan yang mempunyai memori rendah dan seterusnya menjejaskan kelancaran sesi pembelajaran itu.
"Secara umumnya, untuk menggunakan Google meet, spesifikasi minimum untuk memori adalah 500MB (megabait). Tetapi sebenarnya ia tidak begitu lancar sekiranya bilangan skrin yang banyak. Kalau boleh, 3GB RAM dan ke atas," katanya sambil menjelaskan perisian operasi sistem dan 'browser' juga memerlukan memori.
Katanya, memori bersaiz lebih daripada 2GB adalah lebih diperlukan.
Selain itu katanya, dalam era pembelajaran zaman ini, sumber maklumat dan pengetahuan bukanlah semata-mata menerusi pembelajaran rasmi seperti PdPR tetapi juga meliputi pembelajaran di luar kelas.
"Sebagai contoh, pada kebiasaannya, pelajar akan mendapatkan pengetahuan tambahan menerusi video dalam talian seperti YouTube. Adakalanya pembelajaran dari YouTube ini amat membantu pemahaman pelajar.
"Apabila kita menggunakan perkakasan seperti telefon pintar, adalah penting untuk menggunakannya dengan lancar tanpa 'lagging' atau 'slow down' berlaku sekiranya memori terlalu rendah.
"Apabila penggunaan perkakasan tidak lancar, maka ia akan mengganggu dan proses pembelajaran akan menjadi bosan," katanya yang berpendapat sumbangan tablet adalah lebih sesuai untuk proses pembelajaran.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Komputer Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rizal Mohd Nor, berpendapat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyediakan garis panduan khusus kesesuaian peranti atau telefon pintar untuk kegunaan pelajar.
Katanya, adalah lebih baik jika sesuatu peranti itu dilengkapkan sistem operasi yang disesuaikan atau 'customized operating system' supaya daapat mengehadkan penggunaan aplikasi kepada perisian yang diluluskan KPM.
"Storan sesuatu peranti itu bergantung kepada keperluan aplikasi. Namun, ada maklumat daripada pembangun aplikasi XDA menyatakan Aplikasi Google, kebanyakan aplikasi yang digunakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) meletakkan had kepada dua gigabait (2GB).
"Justeru adalah lebih baik sekiranya storannya tidak kurang daripada 2GB untuk memastikan kegunaan PdPR berjalan lancar dan tanpa masalah di masa hadapan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment