Sunday, 6 June 2021

SPM 2021 DIADAKAN TAHUN DEPAN



KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengumumkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan menduduki peperiksaan itu pada tahun depan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis akan bermula Mac 2022.

"Kementerian membuat keputusan ini selepas mengambil kira keadaan semasa dan cabaran perlu dilalui calon SPM 2021.

"Pengalaman kita dalam menguruskan SPM 2020 membolehkan kita menganjakkan tempoh atau tarikh pelaksanaan SPM 2021 ke tahun depan.

"Kita yakin segala prosesnya dapat berjalan lancar sama seperti kita berjaya melaksanakan SPM 2020," katanya dalam sidang akhbar maya, hari ini.

Menjawab dakwaan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) kononnya kementerian gagal menguruskan SPM 2020, Radzi berkata, sebenarnya peperiksaan pada tahun lalu bukan saja yang paling mencabar, bahkan yang paling banyak dibuat penambahbaikan.

Beliau berkata, dalam sejarah pendidikan negara, belum wujud garis panduan untuk melaksanakan peperiksaan awam seperti SPM dalam tempoh pandemik.

Katanya, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga menggubal prosedur operasi standard (SOP) yang cukup lengkap, antaranya meningkatkan jarak antara meja kepada 1.5 meter berbanding 0.8 meter sebelum itu.

"Kalau ada calon yang batuk atau demam, kita asingkan mereka di bilik khas walaupun belum tentu mereka positif COVID-19.

"Bilik khas ini menempatkan tiga ke empat orang saja untuk mengurangkan gangguan kepada calon lain yang menduduki peperiksaan," katanya.

Radzi berkata, jumlah petugas turut ditingkatkan melebihi 48,000 orang di seluruh negara untuk memastikan SPM 2020 dapat dilaksana dengan lancar.

Beliau berkata, buat kali pertama juga proses semakan kertas jawapan SPM 2020 dibuat secara dalam talian dan ia bukan mudah kerana sebanyak lima juta kertas jawapan perlu diimbas untuk tujuan itu.

Katanya, walaupun SPM 2020 dibuat dalam dua sesi untuk memenuhi keperluan calon yang terpaksa dikuarantin, keputusannya dikeluarkan lebih awal berbanding tahun sebelumnya.

"Keputusan SPM 2020 buat kali pertama boleh disemak secara dalam talian, manakala sijilnya dicetak sebulan selepas keputusan berbanding lima ke enam bulan sebelum ini," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE



No comments:

Post a Comment