KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah memiliki kerangka dan bersedia untuk melaksana prosedur operasi standard (SOP) baharu sebaik sesi persekolahan bersemuka dibuka kelak.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata beberapa SOP sudah dirangka dan ditambah baik dan akan dilaksanakan dijangka pada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kita sudah ada beberapa pendekatan yang sudah dirangka yang akan dilaksanakan berdasarkan situasi. Kita sudah ada perancangan untuk terus menambah baik SOP, namun begitu sebarang pelaksanaan tertakluk kepada situasi pada waktu itu.
"Kementerian akan lihat perkembangan dari semasa ke semasa. Situasi COVID-19 adalah dinamik. Tempoh buka sekolah pada fasa tiga (PPN) dan kita tidak tahu apa situasinya," katanya dalam wawancara khas secara maya bersama media berkenaan PPN hari ini.
Radzi berkata, berdasarkan risiko penularan dan penelitian kes jangkitan COVID-19 di sekolah sebelum ini, sebahagian besarnya berlaku di sekolah berasrama.
"Jika kita lihat data, semua sekolah asrama bila pelajar tinggal dalam asrama, ia susah untuk dikawal. Kita sudah buat pemetaan SOP dalam kelas, ia berfungsi dengan baik.
"Kita akan buat pemetaan satu persatu untuk melihat bagaimana sekiranya jangkitan berlaku, di mana murid itu duduk, mereka dengan siapa dan sebagainya. Ini sudah dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, menyentuh pengambilan khas seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 secara 'one-off' bermula Oktober ini, Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedia meneliti keperluan pengambilan mereka dari kalangan graduan yang tidak memiliki iktisas pendidikan.
"Apa yang berlaku kini, kita ada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan graduan pendidikan dari Universiti Awam (UA). Mereka ini sudah dilatih dalam pendidikan.
Namun sekiranya tempat yang ada tidak dapat dipenuhi graduan pendidikan ini, kita akan buka kepada lain. Selepas saringan dan mereka dapat tawaran, latihan akan diberikan kepada graduan yang tiada iktisas pendidikan ini.
"Mereka akan diberi latihan bagi memastikan dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang baik.," katanya.
Beliau berkata walaupun pengambilan dibuat secara terbuka, ia tidak bermakna kementerian berkompromi dengan kualiti guru.
"Kami akan pastikan supaya pendekatan ini tidak menjejaskan kualiti guru-guru yang bakal dilantik kelak," katanya.
Berkenaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Radzi berkata murid dan guru sudah mula membiasakan dengan prosesnya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment