Wednesday, 23 June 2021

PEMILIHAN GURU MENERUSI PEMILIHAN KHAS PERLU INTEGRITI TINGGI

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pemilihan calon guru menerusi program pengambilan khas adalah proses sangat kritikal dan perlu berjalan dengan teratur serta berdasarkan prinsip integriti yang tinggi, kata Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Zawawi Ismail.

Beliau berkata, ia proses bagi memastikan bakal guru terpilih nanti bukan sekadar dilantik, tetapi menyumbang secara efektif kepada pembangunan pendidikan tanpa menimbulkan sebarang impak negatif yang boleh mengganggu sistem pendidikan negara.

"Ia perlu dilakukan secara teratur dan berhati-hati bagi memastikan kualiti bakal guru terjamin dengan memberikan fokus kepada calon guru yang berkelayakan dari aspek akademik, penampilan dan sikap serta memiliki jiwa seorang guru," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, KPM mengumumkan bakal membuat pengambilan khas secara 'one-off' membabitkan sejumlah 18,702 guru bagi gred DG41 yang turut dibuka kepada graduan bukan bidang pendidikan bagi mengatasi isu kekurangan guru di negara ini.

Zawawi bagaimanapun berkata, pengambilan guru secara khas ini bertepatan dengan keperluan semasa khususnya bagi memastikan tenaga ikhtisas perguruan seperti graduan dilatih tetapi belum dilantik dapat diberikan ruang memberikan khidmat mereka sebagai guru.

Beliau berkata, ia juga dapat memastikan masa depan generasi mendatang terjamin, sekali gus KPM mampu merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Selain itu, kerjasama erat di antara KPM dan universiti awam (UA) sedia terjalin dalam program latihan guru serta penyelidikan pendidikan masa depan wajar diperkukuhkan supaya perancangan lebih menyeluruh dapat dirangka dan direalisasikan.

"Ia bagi memastikan program latihan guru dijalankan UA dan institusi pendidikan guru (IPG) lain selari dengan keperluan dan cabaran masa depan pendidikan negara," katanya.

Zawawi berkata, kerjasama antara KPM dan UA juga perlu membabitkan perkongsian pintar membabitkan data, unjuran, perancangan, inovasi, penyelarasan, penyelidikan serta permuafakatan berterusan dalam pelbagai aspek.

Katanya, ia bagi membolehkan semua institusi yang terbabit secara langsung atau tidak, dapat menyumbang dalam pembangunan pendidikan di negara ini.

"Kejayaan masa depan pendidikan negara memerlukan penggemblengan tenaga serta kepakaran dan kolaborasi semua pihak," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment