Beliau mengakui guru termasuk murid berdepan kekangan masing-masing untuk melaksanakan PdPR dalam tempoh sekarang susulan penularan COVID-19.
Justeru, katanya, tiga komponen penjajaran kurikulum digariskan merangkumi kandungan asas, kandungan tambahan dan kandungan pelengkap bagi membolehkan guru memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) paling sesuai dengan kekangan dihadapi mereka.
"Kami menerima banyak pertanyaan mengenai kurikulum, antaranya mengapa tidak dipendekkan, tidak dipotong dan tidak beri tumpuan kepada subjek tertentu.
"Sebenarnya kita sudah melaksanakan penjajaran kurikulum pada tahun lalu bagi membolehkan kandungan kurikulum disusun kepada tiga komponen utama.
"Komponen pertama adalah kandungan asas, kemahiran asas dan nilai asas yang perlu dikuasai semua murid. Jadi, guru akan memastikan murid dapat menguasai kandungan asas ini.
"Kita juga ada kandungan tambahan dan kandungan pelengkap. Selepas guru memastikan murid menguasai kandungan asas, jika ada masa, guru akan memberi tumpuan kepada kandungan tambahan dan jika masih ada masa, guru akan memberi tumpuan kandungan pelengkap serta melengkapkan secara keseluruhan," katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Untuk setiap tahap murid, Radzi berkata, mereka disediakan kandungan asas yang perlu dikuasai dan ia komponen utama.
Justeru, katanya, apa yang penting perlu ditekankan adakah setiap guru mengetahui kemampuan dan kebolehan anak didik mereka.
"Guru lebih mengetahui dan menyusun perancangan supaya kandungan khususnya kandungan asas dapat dikuasai murid mengikut pendekatan terbaik.
"Sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, ia dibuat berdasarkan kesesuaian guru dan murid kerana kita sedar mereka ada kekangan masing-masing.
"Jadi, kurikulum itu dijajarkan dan membolehkan komponen utama dalam setiap PdP diberi tumpuan serta membolehkan guru memilih kaedah atau pendekatan paling sesuai," katanya.
Mengulas manual PdPR 2.0, Radzi berkata, ia satu panduan untuk membolehkan guru dan ibu bapa melihat secara holistik kaedah boleh digunakan dan paling optimum boleh dilaksanakan.
"Ia tidak semestinya dilaksanakan sepenuhnya seperti yang ada dalam manual itu.
"Apa yang diberikan itu adalah contoh dan guru lebih mengetahui pendekatan terbaik mengenai kurikulum akan diajarkan mereka. Sebab itu apa saja yang kita laksanakan dalam kurikulum, tumpuan utama adalah untuk kemenjadian murid secara keseluruhan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment