Sunday, 5 December 2021

REKOD TERTINGGI KELULUSAN PERMOHONAN GURU BERTUKAR


PENDANG: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan 11,469 atau 55 peratus daripada 20,772 permohonan guru untuk bertukar tempat kerja, rekod pertukaran tertinggi setakat ini berbanding purata 22 hingga 31 peratus antara 2017 hingga 2020.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan kelulusan itu yang akan diumumkan secara rasmi esok adalah pendekatan baharu KPM untuk membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti yang mereka hasratkan.

"Kita juga turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada," katanya selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, di Jalan Jenun, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM turut memberi tumpuan kepada sejumlah guru berasal dari Semenanjung yang sudah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, ini kerana dalam permohonan mereka ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke Sememanjung atas faktor tertentu.

"Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan mahu pun negeri terdekat dengan tempat dipohon.

"Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu," katanya.

Beliau berharap usaha yang dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan para guru terbabit selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) ketika melawat Akademi Sains Pendang. Turut sama Pengetua Akademi Sains Pendang, Harris Ganae Nainar (dua kiri).

BERITA HARIAN ONLINE

SESI SEKOLAH DITERUSKAN HINGGA CUTI PENGGAL




PENDANG: Sesi persekolahan bersemuka di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan tetap diteruskan hingga cuti penggal yang dijadualkan hujung minggu ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata penutupan sementara sekolah dalam tempoh ini hanya akan dibuat mengikut saranan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan penilaian risiko jangkitan kes COVID-19 di sesebuah sekolah.

"Kes aktif COVID-19 membabitkan pelajar sekarang adalah antara 200 ke 250 berbanding jumlah yang hadir sekolah iaitu seramai kira-kira 4.5 juta orang.

"Jumlah itu adalah jauh lebih rendah berbanding dengan keseluruhan pelajar, jadi kita perlu lihat dalam konteks kita bergerak ke fasa endamik ini akan berlaku.

"Tapi kita akan kawal dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak virus ini merebak. ..insya-Allah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini," katanya ditemui selepas merasmikan Akedemi Sains Pendang, di Jalan Jenun, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim merangkap Ahli Parlimen Pendang.


Radzi (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian pelajar ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pihak sekolah akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan PKD untuk memastikan memastikan keadaan penularan kes COVID-19 terkawal.

"Kalau ada cadangan penutupan dari KKM kita akan akur, seperti dalam kes Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya. Bila ramai pelajar terbabit dan guru dikuarantin, maka kapasiti sekolah itu sudah tidak ada. Dalam konteks ini ramai jadi kontak rapat, maka KKM minta sekolah ini ini ditutup, maka SSP ditutup (itulah) pendekatannya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai ciapan di Twiter bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020, Radzi berkata, keadaan itu berkemungkinan berlaku kerana perasaan pelajar yang renggang dengan sistem persekolahan dalam tempoh pendemik COVID-19.

Sesi persekolahan secara bersemuka sangat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid dan pelajar tercicir dalam pelajaran.

"Berikutan itu, intervensi dapat dibuat lebih awal setelah dapat mengesan permasalahan dihadapi murid dan pelajar.

"Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan.

"Sebab itu walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita dah bincang bahawa amat penting sekolah dibuka," katanya.

Radzi (dua kanan) beramah mesra dengan dua pelajar Nur Diana Batrisyia Ikhwan,13, (dua kiri) dan Fatin Maisarah Ahmad Miswan,13, (kanan) ketika melawat persekitaran akademi pada Majlis Perasmian Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun.Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim (kiri).

BERITA HARIAN ONLINE


Thursday, 2 December 2021

TAK WAJAR PAKSA GURU - NUTP

Guru memeriksa suhu badan murid sebelum masuk ke bilik darjah di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah arahan supaya guru menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada murid sekolah rendah, setiap Rabu bermula semalam.

Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan, berkata NUTP menerima reaksi daripada guru yang memaklumkan tindakan itu berbahaya dan mendatangkan risiko tinggi kepada mereka kerana tiada pemakaian set pelindung diri (PPE), termasuk pelindung muka dan sarung tangan sewaktu ujian saringan dijalankan.

Katanya, NUTP mencadangkan ujian saringan itu dilakukan di rumah dengan dibantu oleh ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, murid yang dipilih akan dibekalkan kit ujian kendiri dan ibu bapa atau penjaga melakukan saringan di rumah masing-masing.

"Ibu bapa boleh menghantar keputusan ujian dengan memuat naik gambar kepada guru kelas masing-masing.

"Jika keputusan negatif, barulah murid dibenarkan ke sekolah. Jika keputusan sebaliknya, murid perlu dikuarantinkan di rumah.

"Cara ini dapat mengelakkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan guru dan warga sekolah kerana sekolah perlu ditutup, jika terdapat kes positif COVID-19," katanya.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan surat makluman mengenai pelaksanaan saringan bergilir itu.

Arahan itu selari dengan saranan Kementerian Kesihatan mahu melaksana 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran.

Kenyataan itu turut memaklumkan KPM membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 ke sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Heng Suan, berkata NUTP amat berharap KPM dapat mengubah prosedur operasi standard (SOP) itu dalam usaha melindungi keselamatan dan kesihatan guru, murid dan warga sekolah.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 30 November 2021

SURAT PEKELILING IKHTISAS BAHARU BAGI PERTUKARAN GURU

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) baharu bagi pertukaran guru untuk memastikan urusan pertukaran mereka dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata SPI KPM Bil 7/2021: Pelaksanaan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Sekolah dan Kolej Vokasional dikeluarkan pada 23 September lalu bagi menggantikan SPI Bil 3/75: Panduan Bagi Pertukaran Guru-Guru dan SPI Bil 1/1978: Tarikh Bagi Pertukaran Guru-Guru, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Beliau memaklumkan, SPI itu turut menyertakan garis panduan sebagai rujukan kepada pengetua atau guru besar dan PPP yang berkhidmat di sekolah serta kolej vokasional di bawah KPM.

"Berdasarkan kepada garis panduan itu, KPM menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen dan kepentingan serta keperluan perkhidmatan.

"Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang bertanya dasar terkini kerajaan dalam usaha penempatan semula guru berasal dari Sarawak yang bertugas di Semenanjung supaya dapat ditempatkan semula di Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai SPI berkenaan, Radzi berkata, antara masalah yang dikenal pasti KPM berhubung isu pertukaran guru adalah asas yang digunakan selama ini berpandukan SPI lama, yang mana pertukaran dan penempatan guru dibuat secara berasingan.

"SPI yang menjadi asas pertukaran guru yang digunakan selama ini dikeluarkan pada 1975 dan 1978...terlalu lama.

"Apa yang berlaku sebelum ini, biasanya pertukaran guru dibuat secara berasingan dengan penempatan baharu, yang buat penempatan guru akan tempatkan guru dan yang buat pertukaran, akan buat pertukaran guru.

"Jadi disebabkan hal ini, jumlah (guru) yang boleh bertukar tidak ramai. Dalam pendekatan baharu ini, kita laksanakan penempatan guru selaras dengan pertukaran, jadi kita boleh maksimumkan jumlah pertukaran dan insya-Allah, kita akan dapat selesaikan masalah ini secara lebih menyeluruh," katanya.

Radzi berkata, kategori bagi guru yang berjauhan daripada pasangan sememangnya menjadi keutamaan untuk permohonan pertukaran, namun dalam konteks tertentu, opsyen mata pelajaran yang diajar guru berkenaan sudah melebihi keperluan yang diperlukan di negeri yang dimohon.

"Justeru, tindakan terbaik yang kita lakukan adalah menawarkan negeri atau daerah terdekat dengan kawasan asal atau tempat tinggal guru berkenaan," katanya.

Menjawab soalan King Sing mengenai langkah mengatasi masalah elaun guru yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung, Radzi berkata, penjawat awam termasuk guru bagi kategori itu layak menerima elaun Bayaran Insentif Perumahan Wilayah (BIPW), selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2001: Elaun Perumahan Wilayah Bagi Pegawai Yang Bertukar Wilayah.

"Kadar bayaran BIPW adalah berbeza mengikut gred jawatan dan lokasi di mana guru itu berkhidmat.

"Sebarang perubahan kepada kadar bayaran insentif ini adalah tertakluk kepada pertimbangan agensi pusat dan kedudukan kewangan semasa kerajaan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

TREND KEHADIRAN MURID LEBIH 85 PERATUS



KUALA LUMPUR: Purata trend kehadiran murid ke sekolah sejak sekolah dibuka bermula 3 Oktober lalu hingga semalam adalah melebihi 85 peratus.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ketika ini, sebanyak 10,060 sekolah sedang beroperasi di seluruh negara, membabitkan lebih 4.38 juta murid.

"Trend kehadiran ini menunjukkan pembukaan sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.

"Pembukaan semula sekolah secara bersemuka ini juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

"Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk terus memastikan pengoperasian sekolah secara bersemuka berjalan dengan teratur dan selamat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya mengenai perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lalu dan bagaimana penerimaan guru, murid serta ibu bapa secara umumnya mengenai pembukaan sekolah.

Radzi memaklumkan, sehingga semalam, semua sekolah rendah dan menengah di bawah KPM di negeri Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah beroperasi sepenuhnya, membabitkan 6,091 sekolah rendah dan 2,075 sekolah menengah, dengan lebih 4.25 juta murid.

Bagi Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa Tiga, sebanyak 1,894 sekolah sudah beroperasi, membabitkan 1,526 sekolah rendah dan 368 sekolah menengah.

"Pengoperasian secara bersemuka bagi sekolah rendah di negeri ini (Fasa Tiga) hanya membabitkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah dengan jumlah keseluruhan seramai 49,563 orang.

"Bagi sekolah menengah pula, pengoperasian secara bersemuka membabitkan murid kelas peperiksaan, MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan murid kelas PPKI dengan jumlah murid seramai 84,497 orang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai sama ada KPM mempunyai perancangan untuk melaksanakan kehadiran murid tanpa penggiliran ke arah negara menuju fasa endemik, Radzi berkata, buat masa ini, kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran sudah dilaksanakan bagi murid kelas peperiksaan jika 90 peratus murid kelas peperiksaan di sekolah terbabit sudah menerima vaksinasi COVID-19.

"Ketika ini, semua murid kelas peperiksaan sudah hadir ke sekolah tanpa penggiliran, kecuali empat sekolah yang belum mencapai 90 peratus vaksinasi atas sebab tertentu dan kita sedang usahakan.

"Bagi murid lain, kita sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kohort mana yang boleh dimasukkan berikutnya tanpa penggiliran.

"KPM sebaik-baiknya mahu murid kembali ke sekolah tanpa penggiliran secepat mungkin, namun kita sentiasa mengambil kira faktor kesihatan dan berbincang dengan KKM, terutama dalam konteks varian baharu COVID-19," katanya.

Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung ujian saringan COVID-19 ke atas murid sekolah rendah, Radzi berkata, KPM akan memastikan bekalan kit ujian kendiri yang diperlukan disediakan di sekolah sehingga sesi persekolahan ditutup pada 11 dan 12 Disember ini.

"Apabila sekolah dibuka semula pada tahun depan, kita akan sediakan kit ujian ini untuk mereka selagi mana strategi ujian yang diumumkan KKM ini diguna pakai," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 27 November 2021

SARINGAN COVID-19 SEKOLAH RENDAH SETIAP RABU


Pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah akan dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah akan dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata pihaknya yang mengeluarkan surat pemakluman mengenai pelaksanaan saringan bergilir itu dalam masa terdekat.

"KPM menyambut baik saranan Kementerian kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran, selaras Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan (NTS) yang ditetapkan KKM.

"KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri COVID-19 ke sekolah rendah bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan seperti tatacara pelaksanaan ujian kendiri COVID-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0," kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, KPM menyarankan agar ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula Isnin ini.

Katanya, ia sebahagian daripada NTS selain bertujuan mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

"Antara perkara di bawah strategi ini adalah keperluan untuk sekolah rendah, yang mana muridnya adalah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan.

"Ujian ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya pada 10 peratus sampel (murid) daripada populasi murid sekolah secara bergilir-gilir dan pada sampel yang berbeza setiap minggu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 26 November 2021

'MURID SEKOLAH JALANI SARINGAN MINGGUAN MULAI ISNIN INI' - KHAIRY




PUTRAJAYA: Mulai Isnin ini, murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, bagi mengelakkan wujudnya kluster pendidikan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian terbabit adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan.

"Antara perkara daripada strategi ini adalah keperluan murid sekolah rendah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan secara mingguan.

"Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10 peratus sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah," katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, murid terbabit akan menjalani ujian saringan secara bergilir kepada sampel berbeza setiap minggu bagi melihat wujud kesan gejala atau sebaliknya.

"Kalau bergejala, sudah tentu mesti buat ujian tetapi kalau tidak bergejala pun, di sekolah rendah, mesti buat ujian sampel daripada populasi pelajar bagi memastikan tidak wujud kluster di peringkat sekolah," katanya.

Berdasarkan strategi itu, murid terbabit akan menjalani ujian kendiri COVID-19 dan dipantau oleh institusi sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjaga dan pelawat kini dibenarkan melawat pesakit di semua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, kebenaran itu bagaimanapun diputuskan untuk beberapa kategori pesakit yang sedang menerima rawatan.

"Selepas mendengar rintihan daripada rakyat mengenai dasar lawatan bagi penjaga dan pelawat di hospital KKM, kita sudah memutuskan untuk membenarkan lawatan untuk beberapa kategori pesakit.

"Sebagai contoh, pesakit yang menghidap penyakit kritikal dan memerlukan penjagaan, pesakit tenat, kurang upaya, warga emas, yang memerlukan bantuan komunikasi membabitkan pesakit kanak, ibu dalam proses bersalin dan sebagainya," katanya.


Murid sekolah rendah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 mingguan secara bergilir, mulai Isnin ini. - Foto hiasan

BERITA HARIAN ONLINE