Thursday 2 December 2021

TAK WAJAR PAKSA GURU - NUTP

Guru memeriksa suhu badan murid sebelum masuk ke bilik darjah di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah arahan supaya guru menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada murid sekolah rendah, setiap Rabu bermula semalam.

Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan, berkata NUTP menerima reaksi daripada guru yang memaklumkan tindakan itu berbahaya dan mendatangkan risiko tinggi kepada mereka kerana tiada pemakaian set pelindung diri (PPE), termasuk pelindung muka dan sarung tangan sewaktu ujian saringan dijalankan.

Katanya, NUTP mencadangkan ujian saringan itu dilakukan di rumah dengan dibantu oleh ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, murid yang dipilih akan dibekalkan kit ujian kendiri dan ibu bapa atau penjaga melakukan saringan di rumah masing-masing.

"Ibu bapa boleh menghantar keputusan ujian dengan memuat naik gambar kepada guru kelas masing-masing.

"Jika keputusan negatif, barulah murid dibenarkan ke sekolah. Jika keputusan sebaliknya, murid perlu dikuarantinkan di rumah.

"Cara ini dapat mengelakkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan guru dan warga sekolah kerana sekolah perlu ditutup, jika terdapat kes positif COVID-19," katanya.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan surat makluman mengenai pelaksanaan saringan bergilir itu.

Arahan itu selari dengan saranan Kementerian Kesihatan mahu melaksana 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran.

Kenyataan itu turut memaklumkan KPM membekalkan kit ujian kendiri COVID-19 ke sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Heng Suan, berkata NUTP amat berharap KPM dapat mengubah prosedur operasi standard (SOP) itu dalam usaha melindungi keselamatan dan kesihatan guru, murid dan warga sekolah.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment