Pandemik menimbulkan kesan ketara kepada pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) di serata dunia, sekali gus mendorong semua beralih kepada perkongsian dan penyampaian ilmu jarak jauh sambil menyahut pelbagai cabaran baharu yang timbul daripadanya.
Hakikatnya, bilik darjah atau dewan kuliah masih relevan sebagai ruang yang boleh memupuk pembangunan diri, meluaskan pemikiran dan membina persahabatan.
Sambil kembali ke kelas fizikal secara berperingkat, kita perlu mengetahui apa diperlukan dan cara menyesuaikan diri dengan rutin baharu demi kesejahteraan mental dan fizikal pelajar, pendidik serta juga barisan kakitangan pentadbiran.
Kajian menunjukkan pelajar mengalami cabaran kesihatan mental semasa pandemik kerana rasa terpisah dari segi sosial dan menghadapi tekanan tambahan untuk mengejar kecemerlangan.
Hasil tinjau selidik Relate Malaysia menunjukkan belia melaporkan tahap keresahan (48 peratus) dan kemurungan (45 peratus) tinggi pada awal pandemik.
Tempoh dua tahun lalu sungguh mencabar bagi pelajar. Dengan peralihan kepada penggabungan pembelajaran dalam talian serta bersemuka, kita akan dapat mengurangkan tekanan itu.
Kembali kepada pembelajaran menerusi kelas fizikal mungkin menimbulkan cabaran, lebih-lebih lagi kerana kita kini perlu menyesuaikan diri semula dengan rutin baharu – seperti bangun awal, menggayakan pakaian sesuai dan berulang alik ke kelas atau tempat kerja.
Amalan bekerja atau belajar dari rumah bermakna kita sudah tidak lagi ada batasan ruang dan masa yang membezakan antara pekerjaan dan pengajian, dengan rehat dan riadah.
Kita bekerja untuk tempoh lebih lama, kadangkala lebih daripada apa yang mampu diterima badan kita. Tidur malam yang nyenyak, senaman dan bersosial dengan penjarakan bertanggungjawab, sesungguhnya penting dalam rutin baharu ini untuk memupuk minda dan badan lebih sihat.
Bagi pelajar, kecemerlangan akademik menjadi keutamaan, namun kadangkala ia menjejaskan kesihatan diri apabila tekanan terlalu besar diletakkan terhadap diri sendiri, acap kali ditambah jangkaan tinggi ibu bapa atau penjaga.
Ini bukan sahaja dilihat di universiti, tetapi juga sekolah rendah dan menengah. Justeru, ibu bapa perlu lebih prihatin dan bijaksana dalam soal prestasi akademik, kerana dalam keadaan paling serius, ia mungkin menggugat kesejahteraan mental anak mereka.
Bagi pendidik, mungkin sukar untuk belajar dan menerapkan teknologi atau alat baharu ke dalam pelan pengajaran. Namun hakikatnya guru cemerlang tidak memerlukan teknologi canggih untuk menyampaikan ilmu dengan cara berkualiti.
Pendidik yang cemerlang akan berusaha berhubung dengan pelajar, termasuk memantau kesejahteraan mental dan emosi pelajar, walaupun di luar kelas.
Dalam Malaysia menggiatkan semula aktiviti sosial dan ekonomi, kita seharusnya mengambil langkah proaktif melindungi keselamatan dan kesejahteraan diri.
Ini bermakna pelajar, pendidik dan semua kakitangan pentadbiran yang kembali ke sekolah dan universiti, mestilah rajin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan menggalakkan amalan menjaga kebersihan diri.
Diharap rakyat akan lebih cakna kepentingan kesejahteraan mental, dengan bersikap ambil peduli dan prihatin terhadap satu sama lain, serta menjaga diri sambil meniti kehidupan dalam norma baharu ini.
Dr Hazel Melanie Ramos
Profesor Madya Psikologi Perindustrian
Organisasi University of Nottingham Malaysia (UNM)
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment