Thursday, 16 December 2021

BANTU GURU, PENSYARAH TINGKAT KUALITI PdP

Sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, rata-rata institusi pengajian menggunakan pelbagai kaedah teknologi bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), namun tidak semua pelajar mahupun pendidik mampu memiliki gajet.

Kini, permintaan penggunaan gajet baik komputer, tablet atau telefon pintar semakin perlu untuk setiap ahli keluarga. Namun, bagi keluarga berpendapatan rendah atau sederhana, kos ditanggung bukan sedikit, terutama jika mempunyai ahli yang ramai.

Sudah tentu boleh berkongsi, namun jika jadual penggunaan gajet sama, maka ada yang terpaksa berkorban tidak menghadiri PdP untuk membolehkan ahli keluarga lain menggunakan gajet terbabit.

Sebelum ini, kita ada mendengar bantuan kerajaan kepada pelajar sekolah melalui pemberian duit tunai RM100 seorang untuk keperluan pendidikan mereka. Namun, adakah ia mencukupi?

Ada juga langkah proaktif sesetengah pihak mengagihkan komputer riba dan tablet kepada sekolah di Malaysia. Usaha ini perlu dipertingkatkan kerana masih ada pelajar belum mendapat bantuan sepatutnya.

Dalam konteks keperluan tenaga pengajar seperti guru di sekolah dan pensyarah di institusi pengajian tinggi pula, mereka seperti diketepikan daripada menerima bantuan sama.

Benar mereka mempunyai gaji setiap bulan dan dilihat seperti mampu membeli peranti sendiri. Namun, bagi yang mempunyai ahli keluarga atau anak ramai, kedudukan kewangan mereka juga terhad.

Mungkin guru dan pensyarah sudah mempunyai komputer peribadi sendiri, namun bagi menambah baik proses PdP kebanyakan mereka harus menggunakan aplikasi yang memerlukan bayaran langganan agak tinggi.

Selain perisian percuma, PdP dalam talian memerlukan kreativiti dan inovasi lebih untuk memudahkan proses pemindahan pembelajaran berlaku lebih efektif.

Contohnya, proses pembelajaran hibrid di institusi pengajian memerlukan peranti yang mempunyai ciri-ciri canggih seperti kamera web kanta lebar supaya pelajar dapat melihat keseluruhan persekitaran kelas dan fungsi audio lebih jelas.

Peranti sebegini agak mahal dan institusi pembelajaran sendiri tidak mampu menyediakannya untuk setiap bilik kelas atau dewan kuliah.

Oleh itu, ada guru atau pensyarah terpaksa berkorban membeli alatan menggunakan wang peribadi mereka walaupun terpaksa berhutang.

Selain langganan aplikasi dalam talian, pelbagai latihan atau bengkel melalui medium sama turut membantu guru dan pensyarah untuk mahir dalam proses PdP dalam talian serta secara hibrid, namun kesediaan peranti dan aplikasi masih belum mencukupi.

Oleh itu, proses meningkatkan kemahiran mereka menjadi terhad. Malah, ada antara mereka mungkin tidak mempunyai talian internet stabil sama ada di rumah atau di institusi pengajian itu sendiri.

Antara penyelesaian jangka masa pendek adalah pemberian bayaran insentif teknologi sama ada secara sekali gus atau berperingkat kepada guru dan pensyarah.

Ini membolehkan mereka membuat pembelian peranti diperlukan serta membayar langganan servis seperti talian internet lebih stabil dan aplikasi pendidikan yang boleh memperkasakan proses PdP mereka.

Pemberian ini mungkin dilihat kecil sekarang, tetapi kesannya penting untuk membantu penggunaan teknologi tenaga pengajar supaya lebih berkembang dan berdaya saing.

Dr Safiah Omar
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment