Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mengembalikan kuasa guru untuk merotan pelajar yang melakukan kesalahan berat, seperti membuli rakan.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), menjelaskan ketika ini, hanya pengetua atau guru besar dibenarkan merotan pelajar berasaskan Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Setiausaha Agungnya, Wang Heng Suan, berkata NUTP pernah mencadangkan untuk mengembalikan hukuman rotan yang tidak memudaratkan pelajar atas tujuan mendisiplinkan mereka, bukan mencederakan.
“Hukuman rotan masih relevan dalam usaha mendidik pelajar kerana itu hukuman terakhir jika pelajar itu masih melakukan kesalahan berat, selain memberi amaran atau memanggil penjaga ke sekolah,” katanya di sini semalam.
Pekeliling 2003 melarang hukuman dera ke atas pelajar perempuan, manakala hukuman dera kepada pelajar lelaki yang dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian hanya boleh dilakukan oleh guru besar atau diwakilkan kepada kakitangan lain.
Sementara itu, di Port Dickson, Kongres Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatan khas warden di setiap asrama sekolah.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata warden itu dapat melakukan tugas secara sepenuh masa dan lebih cekap tanpa terbabit dengan tugas lain.
“CUEPACS mengambil berat terhadap kes buli yang berlaku di institusi pendidikan dan masa sama, kami amat simpati pada warden yang bertugas kerana itu di bawah tanggungjawab mereka.
“Warden bertugas ini dilantik dalam bentuk tambahan tugas daripada guru yang sedang bertugas, sedangkan mereka sendiri tidak rela,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, ramai guru menolak untuk menjadi warden kerana tanggungjawabnya amat berat, manakala elaunnya tidak setimpal.
Di Ipoh, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim, berkata Pegawai Perhubungan Sekolah boleh memantau disiplin pelajar dan membendung salah laku seperti buli.
Beliau berkata, anggota polis yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah mestilah dimanfaat sebaik mungkin untuk kesejahteraan pelajar dan guru.
“Itu sebab kita ada Pegawai Perhubungan Sekolah. Gunakannya untuk kesejahteraan sekolah,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment