Friday, 17 December 2021

DidikTV KPM HARGAI JASA 1,093 GURU

Kuala Lumpur: Selepas hampir 10 bulan bersiaran, DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) menerbitkan hampir 3,000 episod yang mengandungi pelbagai pengisian khususnya kandungan berasaskan kurikulum dan juga kokurikulum.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Nini Yusof, berkata kejayaan DidikTV KPM tidak dapat dilaksanakan tanpa pengor- banan 1,093 guru penyampai yang terbabit dalam penerbitan kandungan berasaskan kurikulum.

“Kami juga ingin melahirkan rasa bangga dengan hampir 50 guru terbabit dalam penerbitan kandungan berasaskan kokurikulum, selain perkongsian ilmu di luar bilik darjah.

“Saya dimaklumkan ada guru yang bukan sahaja berkorban masa dan tenaga, tetapi juga wang ringgit bagi memastikan kandungan DidikTV KPM dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya murid di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Terima Kasih Cikgu anjuran DidikTV KPM di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Perhubungan dan Khidmat Khas, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM, Roslina Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif DidikTV NTV7, Seelan Paul.

Seramai 350 guru seluruh negara hadir memeriahkan majlis penghargaan yang julung kali diadakan.

Mewakili Pengarah BSTP KPM, Maznah Abu Bakar, Roslina dalam ucapannya, merakam jutaan terima kasih atas pengor- banan 1,093 guru yang berkorban masa, tenaga dan juga wang ringgit bagi memastikan tanggungjawab sebagai seorang guru dapat dijalankan dengan penuh dedikasi dan ikhlas.

“Pemilihan guru penyampai daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan cara penyampaian guru begitu kreatif serta mudah diterima murid menjadikan DidikTV KPM mendapat sambutan yang positif.

“KPM juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Media Prima Berhad khususnya kru DidikTV KPM yang bertungkus lumus sepanjang 10 bulan siaran DidikTV KPM bagi memastikan setiap rancangan yang diterbitkan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Guru Cemerlang Sains Sekolah Kebangsaan (SK) (2) Taman Selayang, G Devi, berkata pembabitannya dalam program DidikTV adalah satu pengalaman berharga selain usaha membantu anak murid menimba ilmu melalui pendidikan TV.

“Meskipun pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dijalankan, DidikTV KPM menjadi platform terbaik untuk pelajar sekolah.

“Kami bukan sahaja berpeluang menjadi guru penyiaran tetapi interaksi antara dua hala bersama murid juga dijalankan melalui kelas atas talian di DidikTV KPM,” katanya.

Guru Cemerlang Prasekolah SK (Orang Asli) Sayong Pinang, Kulai, Johor, Alfian Mansor, majlis penghargaan itu bukan sahaja peluang untuk bertemu rakan seperjuangan tetapi rasa dihargai sebagai seorang daripada guru yang terbabit dalam DidikTV KPM.

“Terima kasih dan tahniah DidikTV KPM atas penganjuran majlis seperti ini. Ia memberi semangat kepada saya sebagai seorang guru untuk terus berkhidmat apatah lagi menyampaikan ilmu kepada anak bangsa terdiri daripada anak Orang Asli,” katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment