Wednesday, 15 December 2021

GURU TOLAK VAKSIN PERLU HAYATI FALSAFAH PENDIDIKAN

Bukan sekali dua kita mendengar dakwaan mengenai pelbagai teori konspirasi mengenai vaksin. Malah kerana terlalu kerap diperkatakan dan disebarkan, tidak mustahil ia mampu menakutkan sebahagian anggota masyarakat.

Pengambilan vaksin menjadi sebahagian cara hidup kita hari ini selepas COVID-19 melanda dunia pada hujung 2019 bermula di Wuhan, China. Di Malaysia, kes pertama direkodkan pada 25 Januari 2020 membabitkan tiga warga asing yang melancong ke negara ini. Sejak itu, kes COVID-19 di Malaysia meningkat hingga 2,000 orang pada Mac tahun yang sama.

Hanya setahun selepas itu, dunia diperkenalkan dengan vaksin, iaitu Pfizer-BioNTech yang diluluskan pada 8 Januari 2021. Kemunculannya nyata melegakan banyak pihak susulan peningkatan kes kematian dan jangkitan mencecah jutaan orang.

Namun, bukan semua orang boleh menerima vaksin dengan hati terbuka. Terdapat sebilangan kita menerima maklumat tidak sahih dan pelbagai cerita keburukan vaksin sehingga takut untuk menerimanya. Malah, ada yang membuat kesimpulan sendiri dan tidak mempercayai kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan jabatan agama.

Antara yang menjadi perhatian adalah kelompok sekitar 2,500 orang guru. Pelbagai alasan diberikan selain ada yang berhadapan masalah kesihatan. Namun, tindakan mereka menolak vaksin menimbulkan kegusaran lebih besar kepada masyarakat kerana sekolah dan institusi pendidikan tinggi mula dibuka secara berperingkat.

Jika mereka menekankan mengenai hak asasi sebagai manusia untuk tidak dipaksa menerima vaksin, maka guru dan kakitangan sekolah yang mengambilnya juga berhak untuk mendapat hak mereka dari segi pergaulan dan persekitaran sihat.

COVID-19 bukan suatu perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar. Justeru, kematangan dalam berfikir baik buruk sesuatu hal perlu menjadi keutamaan bagi memastikan kehidupan seperti biasa.

Tahap risiko jangkitan COVID-19 terhadap guru yang melengkapkan kedua-dua dos vaksin adalah rendah berbanding mereka yang tidak menerimanya dan ini boleh membawa satu pencapaian terbaik dalam bidang pendidikan.

Walau bagaimanapun, jika seorang guru tidak divaksin dan tugasnya diambil alih oleh orang lain, tekanan emosi dan kepenatan melampau boleh terkesan kepada si penanggung tugas. Mereka terpaksa melaksanakan pekerjaan berganda berbanding orang lain.

Guru juga adalah ‘ibu bapa kedua’ bagi pelajar, maka mereka tidak boleh pentingkan diri dalam soal pengambilan vaksin. Apatah lagi, bukankah mereka juga berikrar untuk berperanan melahirkan pelajar seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Bukankah antara lirik Kami Guru Malaysia yang selalu dinyanyikan pada Hari Guru, “Kami guru Malaysia, berikrar dan berjanji, mendidik dan memimpin, putra puteri negara kita”.

Mungkin ia hanya lagu yang singkat dan ringkas, namun penuh bermakna jika mahu dihayati.

Aufa Mohd Nasir,
Perak

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment